
Domino Semenanjung
- 10 July 2015
- Uncategorized
Biar jelas, kemenangan atau kekalahan dalam pilihan raya ditentukan kerusi marginal. Untuk gandingan pembangkang baru membentuk sebuah kerajaan yang stabil dengan keabsahan (legitimasi) yang kukuh, menumpaskan UMNO di Semenanjung Malaysia harus menjadi keutamaan.
Namun untuk UMNO tumpas bagai domino, kita tidak seharusnya tumpu di kubu kuat kita, sebaliknya kita perlu mencurahkan usaha di kawasan yang paling lemah, iaitu di kerusi marginal.
UMNO memenangi 88 kerusi di peringkat nasional, termasuk 14 kerusi dari Sabah dan satu dari Labuan. 73 kerusi selebihnya datang dari Semenanjung Malaysia.
Daripada 73 kerusi di Semenanjung, UMNO akan menang sekurang-kurangnya 30 kerusi di kawasan kampung, yang mana direka khas untuk UMNO sebermulanya, dengan campuran undi FELDA, undi pos, dan kerahan jentera kerajaan ketika UMNO berkempen. Pembangkang seharusnya lupakan sahaja 30 kerusi ini.
Untuk kerusi selebihnya, yang mana kebanyakannya terdiri daripada berbilang kaum, berpotensi untuk tumpas lantaran kemarahan terhadap UMNO semenjak tahun 2008 di kalangan bukan-Melayu, dan tsunami Melayu yang bakal mengombak ekoran tekanan dan kederitaan ekonomi yang disebabkan kerajaan UMNO.
Daripada 39 kerusi marginal yang dimenangi Barisan Nasional dengan majoriti kurang daripada 10% dalam PRU yang lalu, 32 kerusi itu dimiliki UMNO. Inilah gelanggang pertaruhan untuk PRU akan datang.
Menumpukan fokus di gelanggang pertengahan, dengan menawarkan pimpinan yang mantap, dasar yang jelas, dan mesej yang meyakinkan untuk menyatupadukan semua golongan etnik – sementara meluncur di gelombang pemberontakan Melayu yang sedang mengombak, bakal mencondongkan dacing untuk menyebelahi pembangkang.
Garis 6%
Tidak sukar untuk keseimbangan ini dipecahkan seandainya kita meneliti data bahawa 38 kerusi parlimen yang dimenangi Barisan Nasional dalam PRU13, hanya dengan margin kurang daripada 10%. Selain daripada 38 kerusi ini, BN memenangi kerusi Teluk Intan melalui pilihan raya kecil pada tahun 2014 dengan margin 0.6%.
Padahal satu peralihan 6% secara puratanya bakal menghancurkan 27 kerusi marginal dan BN akan mengambil alih tempat pembangkang.
Daripada 39 kerusi marginal, 10 dimenangi dengan margin kurang daripada 2%, iaitu P76 Teluk Intan (0.6%), P89 Bentong (0.7%), P96 Kuala Selangor (0.8%), P159 Pasir Gudang (1.1%), P93 Sungai Besar (1.1%), P142 Labis (1.1%), P29 Machang (1.6%), P26 Ketereh (1.8%), P12 Jerai (1.9%) dan P119 Titiwangsa (1.9%).
11 kerusi lagi dimenangi dengan margin dari 2% hingga 4%, iaitu P78 Cameron Highlands (2.1%), P158 Tebrau (2.3%), P58 Bagan Serai (2.5%), P118 Setiawangsa (2.7%), P140 Segamat (3.1%), P144 Ledang (3.3%), P53 Balik Pulau (3.6%), P18 Kulim Bandar-Baharu (3.6%), P3 Arau (3.6%), P161 Pulai (3.8%) dan P67 Kuala Kangsar (3.9%).
6 kerusi lagi dimenangi dengan margin dari 4% hingga 6%, iaitu P146 Muar (4.1%), P11 Pendang (4.3%), P94 Hulu Selangor (4.6%), P90 Bera (5.1%), P92 Sabak Bernam (5.3%) dan P14 Merbok (5.7%).
Garis 6% sungguh bermakna. UMNO mempertahankan kubu selamatnya, Rompin dalam pilihan raya kecil pada Mei 2015, dengan penurunan undi 6%, iaitu dari 67% ke 61%. Seandainya keputusan PRK Rompin menjadi kayu ukur yang membayangkan potensi peralihan undi Melayu kepada pembangkang di seluruh negara, maka UMNO akan kehilangan 27 kerusi parlimen.
12 kerusi selebihnya dimenangi dengan margin dari 6% hingga 10%, iaitu P16 Baling (6.3%), P42 Tasek Gelugor (6.4%), P75 Bagan Datok (6.5%), P13 Sik (6.8%), P5 Jerlun (7.3%), P141 Sekijang (8.2%), P77 Tanjong Malim (8.3%), P27 Tanah Merah (8.6%), P41 Kepala Batas (9.1%), P81 Jerantut (9.3%), P61 Padang Rengas (9.4%) dan P2 Kangar (9.5%).
Pertarungan di kerusi campuran
Daripada 39 kerusi, 5 kerusi mempunyai lebih 90% pengundi Melayu, 6 kerusi dengan pengundi Melayu dari 80% hingga 90%, dan 5 kerusi dengan pengundi Melayu dari 70% hingga 80%.
8 kerusi mempunyai pengundi Melayu dari 60% hingga 70%; 7 kerusi dengan pengundi Melayu dari 50% hingga 60% dan 8 kerusi selebihnya dengan pengundi Melayu di bawah paras 50%.
Dengan kata lain, 16 daripada 39 kerusi terdiri daripada lebih 70% pengundi Melayu, sementara 23 selebihnya adalah kawasan campuran dengan pengundi Melayunya di bawah 70%.
Pertarungan di Pantai Barat
Seandainya kita meneliti negeri-negeri di mana kerusi marginal ini berasal – selain 3 kerusi KeADILan di Kelantan yang kalah kononnya disabotaj oleh cawangan PAS, dan 7 kerusi dari Kedah, selebihnya kebanyakan tertabur di Pantai Barat Semenanjung, mempunyai ciri-ciri semi-urban, berbilang kaum dan kebanyakannya dengan majoriti Melayu yang kecil dalam komposisi etnik.
Perlis – 2 kerusi – P2 Kangar (PAS); P3 Arau (PAS)
Kedah – 7 kerusi – P5 Jerlun (PAS), P11 Pendang (PAS), P 12 Jerai (PAS), P13 Sik (PAS), P14 Merbok (PKR), P16 Baling (PAS), P18 Kulim Bandar Baru (PKR)
Kelantan – 3 kerusi – P26 Ketereh (PKR), P27 Tanah Merah (PKR), P29 Machang (PKR)
Penang – 3 kerusi – P41 Kepala Batas (PAS), P42 Tasik Gelugor (PAS), P53 Balik Pulau (PKR)
Perak – 6 kerusi – P58 Bagan Serai (PKR), P61 Padang Rengas (PKR), P67 Kuala Kangsar (PAS), P75 Bagan Datok (PKR), P76 Teluk Intan (DAP) P77 Tanjong Malim (PKR).
Pahang – 4 kerusi – P78 Cameron Highlands (DAP), P81 Jerantut (PAS), P89 Bentong (DAP), P90 Bera (PKR)
Selangor – 4 kerusi – P92 Sabak Bernam (PKR), P93 Sungai Besar (PAS), P94 Hulu Selangor (PKR), P96 Kuala Selangor (PAS)
KL FT – 2 kerusi – P118 Setiawangsa (PKR), P119 Titiwangsa (PAS)
Johor – 8 kerusi – P140 Segamat (PKR), P141 Sekijang (PKR), P142 Labis (DAP), P144 Ledang (PKR), P146 Muar (PKR), P158 Tebrau (PKR), P159 Pasir Gudang (PKR), P161 Pulai (PAS)
Strategi yang berasingan diperlukan untuk memenangi semula kerusi di Kedah, yang pada asalnya dimenangi pembangkang pada tahun 2008 tetapi tewas pada tahun 2013 lantaran ketidakpuasan terhadap kerajaan negeri pimpinan almarhum Azizan Razak.
Selebih itu, kebanyakan kerusi ini mempunyai ciri-ciri yang agak sama, iaitu campuran, semi-urban dan Pantai Barat.
Pendek kata, untuk pembangkang, pertarungan di Semenanjung adalah mustahak untuk menang sebagai parti pemerintah baru dan memperolehi keabsahan untuk memerintah. Dan untuk menang di Semenajung kita terpaksa menyerah 30 kerusi yang direka khas untuk UMNO di kawasan kampung kepada UMNO, sebaliknya menumpukan fokus untuk 38 kerusi marginal yang berpotensi menyaksikan peralihan.
Seandainya Tsunami Melayu melanda lantaran suasana ekonomi yang semakin menekan, UMNO bakal menguburkan dirinya di kawasan campuran dan semi-urban.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.