Mana letaknya Malaysia di persada dunia?

Malaysia in the world (edited)

Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Razak nampaknya tidak lagi berminat untuk bersuara di persada antarabangsa. Kerajaan Najib tidak mempunyai pendirian terhadap isu-isu antarabangsa seperti penganiayaan muslim Rohingya dan kudeta di Mesir. Bukan sahaja kerajaan Malaysia hilang suaranya, malah Menteri Luar Negeri juga hilang ketokohannya.

Kerajaan Barisan Nasional nampaknya tidak ingin menyatakan pendirian yang jelas terhadap isu-isu antarabangsa yang sedang kita hadapi, misalnya isu Mesir. Sejak kerajaan Morsi ditumbangkan pada Julai 2013, kerajaan Malaysia tidak mahu menyatakan pendirian yang tegas. Minggu lalu, 529 orang aktivis Ikhwan Muslimin dijatuhkan hukuman mati, tetapi tiada suara kedengaran dari kerajaan Malaysia.

Malaysia adalah Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) sebelum ini. Malah ketika zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia kelihatan berjaya menampilkan dirinya sebagai pemimpin dunia Islam dan dunia ketiga. Hubungan luar Malaysia bermula dengan pendekatan konservatif, iaitu sikap “tidak campur tangan” ke atas hal-ehwal negeri lain. Kemudian kita mengorak selangkah ke depan, dengan menekankan jalinan hubungan yang membina (constructive engagement). Perkembangan terkini memperlihatkan kita kembali ke sikap “tidak campur tangan” dahulu.

Ketika zaman pemerintahan Mahathir, beliau kerap bersuara lantang di persada antarabangsa, sehingga satu dunia memberi perhatian untuk mendengar pandangan kita. Saya masih ingat apabila tragedi Bosnia berlaku, seluruh rakyat Malaysia tampil menghulurkan bantuan. Suara kerajaan Malaysia lantang kedengaran di dunia.

Sekali imbas, selepas Tanah Malaya diterima masuk ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1957, salah satu tindakan kerajaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di peringkat PBB adalah mendesak PBB supaya bertindak ke atas Afrika Selatan yang mengamalkan dasar apartheid. Selepas dibebaskan dari penjara, Nelson Mandala sering merasakan bahawa dirinya terhutang budi kepada Malaysia lantaran pendirian konsisten Malaysia dari era pemerintahan Tunku hinggalah ke Mahathir.

Kebisuan kerajaan Najib di pentas antarabangsa disebabkan pendirian pro-Amerika Syarikat Perdana Menteri Najib berbanding dengan pendirian non-aligned (berkecuali) yang diamalkan oleh kebanyakan pemimpin sebelumnya, iaitu Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Badawi.

Saya bukan mencadangkan agar kerajaan menghantar tentera atau pasukan senjata ke mana-mana “hotspots”. Apa yang dikehendaki adalah Malaysia terus memainkan peranan kita sebagai “opinion leader” atau pemimpin pandangan di persada dunia.

Kerajaan Malaysia harus memposisikan negara kita sebagai satu “middle power”. Kita harus jadi satu negara yang berwawasan dan berdikari, pada masa yang sama bekerjasama dengan negeri-negeri lain tanpa tunduk kepada kuasa-kuasa besar.

Jelas, Malaysia tidak mengambil pendirian dalam isu kudeta Mesir kerana mengikut jejak langkah Amerika Syarikat yang enggan menyifatkan kudeta Julai 2013 itu sebagai kudeta, sambil menutup mata terhadap pembunuhan dan penganiayaan oleh regim tentera.

Saya bukan mencadangkan kita langsung tidak mengambil kira pandangan Amerika Syarikat. Cadangan sedemikian tidak realistik kerana Amerika Syarikat memang diiktiraf sebagai kuasa besar yang kuat pengaruhnya. Tetapi kita juga bukan lembu yang dicucuk hidungnya. Kita harus menyatakan pendirian, dan mendukung satu visi “middle power” yang mampu menyatakan pandangan bernas, berasas dan mendukung prinsip keadilan.

Kelemahan kepimpinan Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Anifah Aman juga menyumbang kepada sebahagian masalahnya. Duta-duta luar negara di Kuala Lumpur sering mengadu “kehilangan” Menteri Luar kita. Anifah lebih selesa untuk berada di Kota Kinabalu. Duta-duta terpaksa bertemu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Seri Mustapa Mohamad apabila keadaan memerlukan.

Di sini kita diperlihatkan bagaimana politik memberi kesan terhadap pentadbiran kita. Anifah dilantik sebagai Menteri Luar kerana tekanan wakil-wakil rakyat Sabah dan Sarawak selepas pilihanraya umum tahun 2008, di mana BN hilang kerusi-kerusinya di Semenanjung. Tetapi, kenapa Kementerian Luar Negeri? Kerana inilah kementerian yang tiada projek dan kontrak untuk ditawarkan kepada kroni, sebagaimana kementerian-kementerian lain yang dipegang oleh menteri-menteri kanan UMNO.

Seperkara lagi, perlantikan Chew Mei Fun sebagai pegawai khas Malaysia ke China untuk mengendalikan kejadian MH370, menjadi bukti kepincangan sistem Malaysia. Sebelum ini, bekas Presiden MCA Ong Ka Ting telah dilantik sebagai duta khas Perdana Menteri ke China. Ia memperlihatkan bagaimana Kementerian Luar Negeri tidak lagi diberi kepercayaan, dan kuasanya kini telah diambil-alih oleh Jabatan Perdana Menteri.

Jawatan untuk memainkan peranan yang bertindih ini tidak masuk akal dari kaca mata dunia antarbangsa. Perlantikan Samy Vellu (sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur), Jamaluddin Jarjis (sebagai Duta Khas ke Amerika Syarikat) dan Tiong King Sing (sebagai Duta Khas ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan), cukup untuk menjelaskan segala-galanya.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose โ€” to make profits for its shareholders. For over…
Read More