PAS ganti UMNO?

Pakatan-Rakyat

Slogan politik biasanya dilaungkan tanpa mempedulikan maksudnya. Sebenarnya slogan politik membawa makna yang tersirat dan mendalam. Sejak beberapa tahun lalu, dua slogan politik PAS yang kerap didengar ialah “PAS untuk semua” (“PAS For All”) dan “PAS ganti UMNO.” Dua slogan ini mewakili dua konsep dan pendekatan politik yang penting tetapi agak berbeza dan berkemungkinan bercanggah.

Sebelum perbincangan terhadap “PAS untuk semua” dan “PAS ganti UMNO” dilanjutkan, saya ingin memperkenalkan tiga konsep untuk memahami realiti politik tanah air kita, iaitu “middle ground”, “centrist coalition” (gabungan politik berpandangan pertengahan) dan masyarakat majmuk.

Sukar untuk saya menterjemahkan konsep middle ground ke dalam Bahasa Melayu. Tetapi agak mudah untuk ramai memahami bahawasanya politik Malaysia ditentukan oleh pengundi yang berada di kawasan campuran dari segi kaum, golongan yang berpendapatan sederhana dan yang mempunyai pandangan sederhana.

Dari segi kaum, PAS dan DAP menghadapi senario politik yang agak istimewa di mana kedua-dua parti pembangkang yang bersejarah tersendiri ini mempunyai sokongan kuat di kalangan base masing-masing. Sejak ditubuhkan pada tahun 1951, PAS mendapat sokongan kukuh dari kalangan pengundi di negeri-negeri majoriti Melayu, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. PAS pernah menubuhkan kerajaan di tiga daripada empat negeri tersebut. PAS menguasai kerajaan Kelantan dan Terengganu seawal pilihanraya tahun 1959.

Kubu kuat DAP sejak ditubuhkan pada 1966 adalah kawasan bandar di pantai barat Semenanjung seperti Pulau Pinang, Ipoh (Lembah Kinta), Kuala Lumpur dan sebagainya. Bandar-bandar besar ini dulunya hampir semua pengundinya kaum bukan Melayu tetapi sejak dua dekad yang lalu penghuni Malayu sudah hampir sama jumlahnya dengan bukan Melayu di kebanyakan kawasan tersebut.

Walaupun DAP dan PAS masih mendapat sokongan penuh di kalangan base masing-masing, iaitu PAS di kalangan Melayu di negeri-negeri Melayu dan DAP di bandar-bandar pantai barat Semenanjung seperti dalam pilihanraya tahun 1990, kedua-dua parti ini hanya akan kekal sebagai pembangkang sahaja jika tiada ada fenomena Melayu undi DAP dan bukan Melayu undi PAS secara besar-besaran.

Dengan permainan sentimen perkauman UMNO-Barisan Nasional, apabila PAS menyambut kemenangan besar, DAP pula pahit dengan kekalahan seperti pilihanraya tahun 1999 di mana PAS menang 27 kerusi Parlimen tetapi DAP menyaksikan kecundangnya Lim Kit Siang dan Karpal Singh di Parlimen buat kali pertama. Senario sebaliknya berlaku pada tahun 1986 di mana DAP menang 24 kerusi Parlimen tetapi PAS menang hanya satu kerusi sahaja. PAS dan DAP sama-sama merasai kekalahan pada tahun 1982, 1995, 2004.

Pengajaran sejarah berliku-liku ini ialah UMNO-Barisan Nasional hanya akan ditewaskan jika PAS dan DAP sama-sama menang. Lebih pentingnya dalam konteks di mana PAS mendapat sokongan kuat dari kalangan bukan Melayu dan pada masa yang sama DAP disokong penuh oleh pengundi Melayu.

Namun, ia belum berlaku. Di sinilah kekuatan Barisan Nasional. Barisan adalah formula yang diterima oleh sebahagian daripada semua kaum dan juga dengan sokongan menyeberangi Laut China Selatan ke Sabah dan Sarawak. Tambahan pula dengan kawalan media massa untuk menentukan agenda perkaumannya, dan dengan kuasa persempadanan semula kerusi Parlimen mengikut garisan perkauman, mereka kekal di tampuk kuasa sejak kemerdekaan. Barisan Nasional adalah kerajaan yang paling lama wujud di dunia yang tidak pernah tewas dalam pilihanraya.

Bolehkah PAS dan DAP bersama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat, iaitu Parti KeAdilan Rakyat, menang middle ground dalam politik tanah air, dan sekaligus menang semua kerusi-kerusi campuran di seluruh negara selain daripada mengekalkan sokongan base masing-masing?

Kita bergabung dalam tahaluf siyasi Pakatan Rakyat kerana pemimpin kita memahami realiti politik yang disebut tadi. Hanya dengan gabungan politik yang berpegang kepada prinsip wasatiyah (centrist) dan mendapat sokongan semua pihak termasuk pengundi dari Sabah dan Sarawak, barulah kita dapat menang bersama dan mentadbir Malaysia bersama.

Masyarakat majmuk adalah khazanah yang dikurniakan Tuhan untuk Malaysia. Tetapi masyarakat majmuk juga boleh menjadi sama ada halangan politik kita ataupun asas kuasa kita dalam Pakatan Rakyat.

Di sini saya rasa kita mesti bermula dengan politik baru berdasarkan kefahaman bahawa PAS tanpa sokongan bukan Malayu hanya akan kekal sebagai Parti Kelantan dan DAP tanpa sokongan kuat dari orang Melayu hanya akan kekal sebagai Parti Pulau Pinang.

UMNO-Barisan Nasional sering menyerang DAP yang dituduh kelompok pelampau dalam media bahasa Melayu untuk menekan PAS supaya berpisah daripada DAP. PAS dituduh sebagai Parti Ekstrimis Agama dalam media berbahasa Cina bagi memaksa DAP berpisah daripada PAS. Apabila Pakatan berpecah maka UMNO-Barisan Nasional tetap berkuasa di peringkat pusat sampai kiamat.

Sayangnya, para pemimpin PAS tidak berkomunikasi terus dengan pembaca bahasa Cina kerana kebanyakan mereka masih dalam penghitungan politik lama, iaitu PAS hanya wujud untuk bertarung dengan UMNO. Sedangkan PAS mampu berkembang sebagai sebuah parti kebangsaan apabila ia berdepan dengan persepsi bukan Melayu dan memenangi hati serta minda mereka. Sama juga dengan DAP, iaitu DAP tidak boleh hanya mewakili pandangan bukan Melayu. Sebagai parti nasional, DAP adalah juga parti untuk orang Melayu dan mesti menangi hati dan minda mereka.
Tidak cukup berkesan jikalau PAS outsource kerja berkaitan dengan pengundi bukan Melayu kepada DAP, dan DAP pula outsource kepada PAS untuk berdepan dengan pengundi Melayu. Ini politik lama yang berasaskan kaum.

Dalam permainan politik perkauman UMNO-Barisan Nasional, ramai pemimpin dan ahli PAS merasa tertekan untuk menjadi UMNO 2.0. Malah, ada juga pemimpin dan ahli DAP yang berharap parti mereka hanya sebagai MCA 2.0 atau MIC 2.0.

Dalam PAS, hujahan seperti ini diungkap dengan konsep “PAS ganti UMNO”. Soalan saya, kita menentang UMNO kerana dasar perkaumannya, kezalimannya, diskriminasinya dan pelbagai sebab-sebab lain; jadi jika PAS hanya sekadar UMNO 2.0, adakah ia akan disokong oleh umum dan menjadi formula kemenangan bersama? Saya rasa tidak.

Kedua-dua PAS dan DAP perlu berani keluar dari garisan politik lama yang berasaskan kaum. Tafsiran politik yang berasaskan kaum serta agama yang bersifat eksklusif tanpa melihat realiti kepelbagaian budaya dan kepercayaan di Malaysia hanya akan mengukuhkan kedudukan UMNO-Barisan Nasional. Selama hampir 60 tahun politik kaum mendominasi kita. Kita mampu mengubahnya jika sanggup memulakan langkah pertama yang pastinya pedih dan pilu serta tercabar ego sendiri tetapi bakal menjanjikan perubahan yang dicita-citakan oleh rakyat Malaysia.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose โ€” to make profits for its shareholders. For over…
Read More