
Arahan SPAD menutup landasan keretapi sektor Gemas – Gua Musang: Adakah ia penyelesaian terbaik untuk keselematan dan kemudahan rakyat dan pengguna keretapi Pantai Timur Semenanjung?
- 22 June 2014
- Uncategorized
Kenyataan media bersama Datuk Kamarudin Jaafar, Ahli Parlimen Tumpat, dan Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang pada Ahad 22hb Jun 2014
Kami mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai menteri bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamudin Hussein, menteri bertanggungjawab terhadap KTM memberi perhatian yang amat serius tentang perkara ini.
Menurut laporan media dan berdasarkan dokumen yang telah kami perolehi daripada sumber dalaman, SPAD dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 106 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 telah mengarahkan syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk menutup landasan sektor timur dari Gemas, Negeri Sembilan ke Gua Musang, Kelantan, berkuatkuasa 27 Jun ini. Tempoh penutupan tidak diketahui dan bergantung kepada kerja penyelenggaraan landasan.
Ini bermakna kemudahan perkhidmatan keretapi di 14 stesen dan 11 hentian (halt) akan dihentikan. Dengan itu, perkhidmatan empat tren ekspres dan enam tren shuttle untuk penumpang dan banyak tren kargo akan terjejas, walaupun jika bukan semua perhidmatan tersebut digantung sepenuhnya.
Menjelang Hari Raya Aidilfitri pada hujung bulan Julai ini, jutaan rakyat Malaysia, termasuk anak Pahang, Terengganu dan Kelantan akan pulang ke kampung halaman untuk meraikan perayaan. Penutupan landasan keretapi Gemas – Gua Musang akan membawa mudarat yang besar kepada rakyat khasnya penduduk Pahang dan Kelantan. Tanpa kemudahan keretapi, perjalanan balik kampung akan menjadi lebih susah dan lebih mahal.
Menurut statistik rasmi1 dari Kementerian Pengangkutan, seramai 493,000 penumpang menaiki Ekspress Senandung Wau dan Ekspress Senandung Timuran pada tahun 2013. Dipercayai sebahagian besar daripada aliran penumpang ini berlaku pada musim perayaan.
Kami tahu keadaan trafik di Jalan Persekutuan No. 8 (laluan Kuala Lumpur – Raub – Kuala Lipis – Gua Musang – Kota Bahru) adalah sangat sesak menjelang musim perayaan, hingga ada yang mengambil masa 15 jam untuk sampai ke Kota Bahru dari Kuala Lumpur. Lantaran itu, kemudahan keretapi adalah alternatif yang cukup penting kepada penduduk Pantai Timur Semenanjung.
Tambahan pula, di Pahang dan Kelantan, terdapat beberapa pekan atau kampung, seperti Telok Gunong dan Kampung Berkam yang bergantung kepada kemudahan keretapi untuk tujuan pengangkutan seharian. Jika landasan ditutup pada Jun 27 ini iaitu menjelang bulan Ramadan, kehidupan seharian penduduk kampung-kampung ini pasti terjejas tanpa dapat berhubung dengan dunia luar seperti dahulu.
Alasan utama SPAD mengarahkan penutupan landasan adalah isu keselamatan. Jelas, keadaan landasan di sektor Pantai Timur Semenanjung dalam keadaan teruk. Pada tahun 2013 sahaja, berlaku dua kejadian keretapi tergelincir di Pantai Timur iaitu pada 31 Mei antara Mentakab dan Mengkarak dan 23 Disember antara Chegar Perah dan Merapuh.
Kami tidak mempertikaikan pertimbangan di mana keselamatan penumpang harus menjadi keutamaan. Namun demikian, setelah bertanya kepada orang dalaman dan pakar-pakar, kami percaya mungkin terdapat cara yang lebih baik daripada menutup terus landasan terbabit.
Kerja penyelenggaraan landasan harus dilakukan segera dan boleh dilakukan dengan penjadualan semula perkhidmatan keretapi. Dengan kata lain, perkhidmatan keretapi masih boleh dikekalkan dengan perubahan jadual sementara kerja penyelenggaran dijalankan. Dengan rancangan rapi dan kepakaran teknikal, risiko keselamatan penumpang boleh diminimumkan.
Dengan itu, kami meminta SPAD dan Kerajaan Malaysia mengkaji semula segera arahan penutupan landasan kerana impak susulannya adalah amat serius. Terdapat alternatif yang lebih mesra rakyat. Perlu juga diingatkan bahawa penutupan landasan akan memberi kesan kepada ratusan pekerja KTMB yang berkhidmat di Pantai Timur Semenanjung ekoran pemotongan elaun daripada gaji asal yang sememangnya sudah rendah.
Datuk Kamarudin Jaafar
Liew Chin Tong
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.