
Parlimen rubber stamp
- 22 June 2014
- Uncategorized
Artikel ini ditulis setelah menyaksikan satu adegan yang tidak masuk akal dalam sidang mesyuarat Dewan Rakyat pada 19 Jun 2014. Apakah ini tahap parlimen Malaysia, sehingga seseorang ahli parlimen perlu digantung dari sidang selama 6 bulan, hanya kerana beliau melontarkan kritikan terhadap parlimen dengan istilah “rubber stamp”?
Apa salah dengan N. Surendran? Beliau dikatakan telah membuat kenyataan kepada media bahawa pertanyaan dan usul yang dikemukakan oleh pihak pembangkang “sentiasa” ditolak; bahawa Dewan Rakyat bersifat “authoritarian” tidak memberikan hak bersuara kepada pihak pembangkang. Kononnya, wakil rakyat Padang Serai ini telah “merendah-rendahkan martabat Dewan Rakyat dengan sindiran yang mencadangkan Parlimen untuk membina suatu ‘giant rubber stamp’ yang menjadi simbol kepada pengaruh dan kuasa Kerajaan dalam meluluskan apa-apa Rang Undang-Undang yang dibentangkan di Parlimen”.
Ini bukan kali pertama N.Surendran digantung dari sidang Dewan Rakyat. Beliau digantung selama 6 bulan sejak November 2013, dan baru sahaja melangkah semula ke dewan untuk sidang mesyuarat pada Jun ini.
Ini juga bukan kali pertama saya menjadi saksi kepada insiden kerajaan Barisan Nasional merempuh (“bulldoze”) usul atau perundangan sejak saya masuk ke parlimen enam tahun lalu. Setiap kali perbahasan sebegini berlaku dalam situasi dewan panas dengan emosi. Pihak Pakatan Rakyat menentang kerana rasa tidak adil, sementara pihak Barisan Nasional begitu terdesak untuk menggantung ahli dewan Pakatan, sebagaimana ungkapan bahasa Inggeris, “They want to see blood”.
Saya cuba mengawal emosi saya setiap kali kejadian sebegini berlaku. Saya amat kecewa dengan sikap kerajaan BN yang tidak memberikan ruang yang secukupnya kepada pihak pembangkang untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan dasar dan undang-undang. Saya kecewa kerana tempoh bersidang parlimen yang sudah terhad terbazir begitu sahaja semata-mata untuk menghalau ahli-ahli yang dipilih rakyat.
Lebih lawak kali ini, apabila kerajaan BN menghalau seorang ahli parlimen selama enam bulan dengan majoriti yang dikuasai mereka, hanya kerana beliau menyindir bahawa parlimen telah menjadi semacam “rubber stamp”. Saya tidak faham mengapa kritikan yang pahit didengar tetapi benar ini tidak diterima dengan baik oleh BN.
Dan sememangnya parlimen kita memerlukan pembaharuan. Saya teringat satu forum terbuka untuk membincangkan pembaharuan parlimen pada bulan April 2004, iaitu 10 tahun yang lalu. Forum anjuran DAP ini dipengerusikan oleh Sdr. Lim Kit Siang, sehari sebelum sidang parlimen penggal ke-11 bermula. Seingat saya, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, yang memegang porfolio hal-ehwal parlimen, Datuk Seri Nazri Aziz turut hadir.
Suasana selepas pilihan raya umum tahun 2004 agak unik. Walaupun pembangkang kalah teruk (hanya memperolehi 19 kerusi daripada 222 kerusi di parlimen), ramai cenderung untuk menganggap bahawa Barisan Nasional di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi berhasrat untuk menjalankan pembaharuan. Reformasi parlimen adalah antara bidang yang cuba direformasikan.
Namun demikian, sepuluh tahun lalu dalam sekelip mata. Parlimen masih tidak demokratik walaupun ahli pembangkang bertambah empat kali ganda pada tahun 2008 dan 2013 (82 orang dan 89 orang).
Proses parlimen sebenarnya tidak mencerminkan realiti politik negara. Sejak tahun 2008, kerajaan dan pembangkang menerima sokongan undi yang hampir sama. Pada 2008, sokongan terhadap pembangkang adalah 49%, melonjak kepada 51% pada tahun 2013.
Sejak dua tahun yang lalu, parlimen bersidang dalam 50-60 hari setahun, tapi empat tahun lalu, parlimen bersidang hampir 80 hari setahun.
Parlimen kini bersidang tiga kali setahun. Ahli parlimen dibenarkan hanya 10 soalan lisan (yang kebanyakan akhirnya dijawab secara bertulis kerana kesuntukan masa) dan lima soalan bertulis setiap sesi. Walaupun bukan kesemua usul atau pertanyaan ahli pembangkang ditolak, namun ruang untuk pembangkang dalam parlimen amat terhad.
Setiap kali isu pembaharuan parlimen diungkit, saya teringat cabaran saudara Lim Kit Siang kepada Pak Lah pada tahun 2004. Pak Lah padahal menyedari masalah di Malaysia ketika mengambil-alih tampuk kerajaan, dengan kenyataannya “Infrastruktur kelas pertama, mentaliti kelas ketiga”. Kit Siang selaku Ketua Pembangkang ketika itu mencabar agar usaha ke arah “Infrastruktur kelas pertama, mentaliti kelas pertama” bermula di parlimen. Malah pembangkang ketika itu bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Pak Lah untuk melakukan pembaharuan parlimen.
Pak Lah telah berundur pada tahun 2009, tetapi pembaharuan parlimen kekal tidak ke mana. Semalam DUN Selangor mencatat sejarah, buat kali pertama meluluskan usul yang dibawa pembangkang dalam persidangan dewan pada 18 Jun. Usul itu dibentangkan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram), mencadangkan agar kerajaan negeri menyiasat dan menghentikan serta-merta projek pembangunan tanpa kebenaran merancang.
Selangor di bawah Pakatan Rakyat bersedia dan telah mengorak langkah penting untuk melangkaui batas kepartian. Cuma, bila BN bersedia buat begitu?
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.