
Pemilu 2014 Republik Indonesia
- 13 July 2014
- Uncategorized
Kepada rakan-rakan yang beragama Islam, selamat berpuasa dan harap bulan Ramadan yang suci ini membawa rahmat kepada semua. Seorang pembaca mencadangkan saya untuk menceritakan kejadian “mana surat masuk Bazaar Ramadan” di Kluang, kawasan Parlimen saya tetapi mungkin tidak sempat untuk saya menulis kali ini.
Kesabaran pembaca dihargai kerana saya masih menunggu respon dari Kerajaan Negeri Johor tentang dana dan sewa yang dikutip dari Bazaar Ramadan oleh Yayasan Perbandaran Kluang, yang dipengerusikan oleh Ahli Exco Jais Sardi. Minggu ini saya ingin menulis sedikit tentang Pemilu 2014 Republik Indonesia.
Kepada demokrat di Asia Tenggara, Pemilu 2014 Republik Indonesia adalah bukti kematangan sistem demokrasi Indonesia. Sebagai penggerak pendemokrasian di Malaysia, banyak yang boleh kita belajar dari negara yang serumpun dengan kita, dan lebih pentingnya, kita mengalami krisis politik dan ekonomi serta gelombang Reformasi pada masa yang sama, 16 tahun yang lalu.
Gerakan Reformasi di Indonesia telah menumbangkan diktator Suharto pada 21 Mei 1998. Republik Indonesia melalui kepahitan dan kesulitan beberapa tahun selepas itu dan boleh dikatakan hanya stabil sejak Pimilu Presiden secara terus oleh rakyat buat pertama kali 10 tahun yang lalu, di mana terpilihnya Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden.
Antara tahun 1998 dengan 2004, Habibie, Gus Dur dan Megawati telah mengisi pejabat Presiden. Walaupun agak bercelaru, perubahan yang sebelumnya dianggap mustahil telah menjadi realiti. Kini, pengurusan pilihanraya boleh kata agak telus dan tidak berat sebelah, media massa yang bersaing secara terbuka dan tidak dihalang oleh pemerintah, militari yang begitu berkuasa pada tempoh Orde Baru Suharto sekarangnya diperintah oleh rakyat jelata.
Saya pernah menjamu selera bersama bekas Presiden BJ Habibie di Pulau Pinang pada akhir tahun 2012, semasa beliau memberi syarahan utama di Penang Institute (Saya adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera ketika itu). Beliau dilantik sebagai calon wakil Presiden (Timbalan Presiden) kepada Suharto pada Januari 1998. Tiada rakyat Indonesia yang menyangka bahawa ahli sains yang gemar dengan karpal terbang ini boleh jadi agen perubahan dalam tempoh yang singkat. Ramai masih tidak setuju dengan sebahagian keputusan beliau seperti pelepasan East Timor. Tetapi seandainya diimbas kembali, sejarah akan mengiktiraf keberaniannya untuk melakukan perubahan apabila diberi peluang.
Kebetulan dalam perbincangan kami, beliau menceritakan bagaimana calon presiden 2014 dan bekas menantu Suharto, General Prabowo dilepaskan jawatan komander pasukan strategik dalam suasana yang tegang. Ramai meramalkan bahawa Prabowo akan memberontak terhadap pemerintahan Habibie pada masa itu.
Pendemokrasian Indonesia sejak 16 tahun ini dibina atas keberanian dan pengorbanan rakyat yang menentang diktator, tetapi juga kerana ramai yang berada dalam sistem pemerintahan menyokong perubahan apabila masanya tiba. Di Malaysia, selain daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak ramai elit dalam sistem mencabar status quo ataupun cuba melakukan perubahan dalaman. Ramai elit UMNO mengadu selepas dipecat atau tidak lagi berada dalam arus perdana tampuk kuasa. Tetapi bila adanya kuasa, tidak ada agenda perubahan atau tidak ada niat dan azam politik untuk merealisasikan perubahan.
Satu hari nanti, sejarah akan membandingkan sumbangan Habibie dengan Tun Abdullah Badawi. Saya rasa, Habibie akan dikenang dan Abdullah akan dikecam kerana tidak cuba melakukan sedaya upaya. (Mungkin ini ingatan kepada anak menantunya Khairy Jamaluddin – bintang yang bangkit buat setakat ini – jangan tunggu untuk membaiki sistem pemerintahan dan jangan terlalu berkira-kira dengan keuntungan politik sehingga tidak menjana reform).
Apa yang agak menarik adalah desentralisasi struktur pemerintah. Struktur pentadbiran Indonesia di bawah Suharto dikawal ketat oleh pemerintah pusat. Tetapi dalam tempoh sejak Reformasi, kuasa pentadbiran diturunkan kepada kebupaten (daerah) dengan pilihanraya ketuanya. Desentralisasi dan pendemokrasian berlaku secara serentak. (Nota untuk Malaysia: kalau lebih kuasa dan sumber kewangan diberikan kepada pemerintah negeri-negeri seperti bekas Ketua Menteri Taib Mahmud, desentralisasi mesti dilaksanakan serentak dengan pendemokrasian. Kalau tidak, lebih sumber dan kuasa diturunkan, lebih korup ia menjadi). Memang apa sahaja sistem pun ada kurangnya. Ada yang mengkritik bahawa struktur Indonesia sekarang “mendemokrasikan” korupsi yang dulunya ditumpukan di tangan Suharto.
Tetapi rakyat Indonesia boleh berbangga dengan kematangan pilihanraya pada 9 Julai 2014. Seorang pemimpin yang tidak ada kaitan atau hubungan dengan regim Orde Baru malah tidak ada kekayaan atau kuasa boleh muncul sebagai Presiden Indonesia, negara yang paling ramai umat Islam di sedunia. Keputusan pilihanraya belum diketahui lagi semasa rencana ini ditulis. Tetapi kajian-kajian oleh pelbagai pollsters yang berkewibawa telah membayangkan kemenangan Jokowi.
Saya pernah bertemu dengan Jokowi dua kali di Kuala Lumpur pada Januari 2012 dan pertengahan 2013. Dalam pertemuan pertama kali beliau hanya sebagai walikota Solo dan belum lagi Gobonor Jakarta yang dimenangi pada September 2012.
Dalam perbincangan kami, Jokowi menceritakan bagaimana beliau memenangi jawatan walikota Solo buat pertama kali dengan lawatan rumah ke rumah dan bagaimana dia menang kali kedua tanpa perlu buat lawatan rumah ke rumah kerana semua sudah kenal beliau sebagai pemimpin yang rajin turun padang dan mendengar pandangan rakyat, dan membuat keputusan yang berkesan dan memihak rakyat untuk jangka panjang.
Memang menarik bagi saya untuk mengikuti perkembangan politik di Indonesia. Bukannya sistem mereka sempurna. Sistem mereka memang ada banyak masalah. Tetapi peluang diberikan kepada rakyat biasa seperti Jokowi untuk menjadi walikota, gobornor dan sekarangnya presiden dalam tempoh yang begitu pendek. Semangat memara ke depan, semangat perubahan, semangat demokrasi itulah yang harus kita teladani.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.