Kedai runcit bertukar hipermarket

PAS DAP (edited)

Perdebatan masih berlanjutan di kalangan penyokong tradisional DAP, sama ada keputusan meletakkan Dyana Sofia sebagai calon PRK Teluk Intan itu tepat atau tidak. Ada yang mempertikaikan daya seorang Dyana Sofia untuk mencetuskan gelombang di masyarakat Melayu, tidak kurang juga yang masih meragui latar belakangnya, misalnya Dyana berasal dari keluarga UMNO.

Saya ingin mengimbas tempoh sedekad yang lalu, untuk kita memahami konteks mengapa Dyana disarungkan jersi DAP di gelanggang PRK Teluk Intan. Dari sejarah parti, DAP menuai hasil yang agak lumayan dalam PRU pada tahun 1986 dan 1990. PRU pada tahun 1995, 1999 dan 2004 tidak memihak kepada DAP kerana Barisan Nasional berjaya menarik pengundi Cina di tengah.

Saya menyertai DAP selepas PRU pada tahun 1999, sebagai pembantu politik kepada Teresa Kok. Saya menyaksikan sendiri bagaimana DAP melalui saat-saat paling murung ketika itu – di mana kita kehilangan sokongan komuniti Cina berbahasa mandarin. Begitu yakin dan sombong MCA dan Gerakan ketika itu, kerana untuk mereka, DAP sudah hilang di dunia ini.

Teresa cuba sedaya-upaya untuk menarik sokongan komuniti Cina berbahasa Inggeris, tetapi hasilnya tidak setimpal dengan usaha yang dicurahkan. Ramai pengundi Cina dari golongan menengah menyokong Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PRU pada tahun 2004, termasuk sesetengah anggota dan pemimpin yang menyertai DAP selepas itu.

Berulangkali saya menyebut aksi Hishammuddin Hussein menjulang keris sebagai garis pemisah dalam politik kita, menjurus kepada peralihan sokongan bukan Melayu secara besar-besaran kepada pembangkang. Namun proses ini tidak berlaku begitu sahaja, banyak usaha yang dicurahkan pemimpin DAP ketika itu. Misalnya, bekas ahli parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan cuba menarik anak muda Cina yang secara tradisionalnya bukan penyokong DAP (ramai profesional yang menyertai DAP selepas itu pernah menyertai jamuan malam sambil bersembang isu politik bersama Fong Po Kuan dan Anthony Loke). Generasi ini adalah golongan kolar putih yang terpengaruh dengan Wawasan 2020, terpukau untuk menyokong politik sederhana dan terbuka yang palsu oleh BN ketika itu.

Teresa Kok pula bergiat aktif dalam BERSIH, dan usaha untuk organisasi semula DAP Sabah. Lim Guan Eng mula menerajui DAP pada September 2004. Antara tumpuan pada ketika itu adalah untuk menarik mereka yang profesional dari komuniti berbahasa Inggeris ke dalam DAP. Kemuncaknya apabila Tony Pua mengumumkan penyertaan dirinya ke dalam DAP pada Februari 2007, sungguhpun beliau mula aktif pada hujung tahun 2005.

DAP berjaya menarik profesor Ramasamy pada September 2005, sesuatu yang menggemparkan di kalangan pengundi India. Namun majoriti pengundi India masih menyokong BN sehingga PRK Ijok pada April 2007. Bagaimanapun, himpunan Hindraf pada 25 November tahun 2007 telah mengubah segala-galanya. Sokongan masyarakat India terhadap BN ranap dalam sekelip mata, lantas “makkal sakti” telah menjana momentum Tsunami Politik pada 8 Mac 2008. Impak Hindraf amat besar, dan sekali lagi ramai elit komuniti India menyertai DAP selepas tercetusnya gelombang itu.

Pada masa yang sama gerakan BERSIH disusun untuk membebaskan Malaysia dari situasi politik yang agak terbelenggu. Sesungguhnya Tsunami Politik pada tahun 2008 tercetus lantaran jurang yang melebar di antara impian dengan realiti pada zaman Pak Lah. Pak Lah menjanjikan sesuatu yang mana kerajaannya tidak ketersampaian untuk mencapainya. Ia berakhir dengan kekecewaan dan peralihan sokongan kepada pembangkang.

Namun jangan juga kita perlekehkan usaha yang dicurahkan untuk menjurus kepada kemenangan pembangkang. Langkah kita disesuaikan dengan keadaan semasa untuk menerokai kemungkinan perubahan. Tanpa usaha membajak, mustahil dibuahkan hasil yang lumayan hanya dengan adanya cuaca yang baik.

Ahli parlimen Bukit Bendera, Zairil meyertai DAP pada akhir tahun 2010. Kita hanya menubuhkan pasukan editorial Roketkini (bahasa Malaysia) pada pertengahan tahun 2011. Sekolah Demokrasi yang dianjurkan Wan Hamidi, editor Rocket pada ketika itu adalah usaha yang bersistematik oleh DAP untuk mendampingi anak muda Melayu.

DAP telah berkembang dari sebuah kedai runcit yang kecil kepada sebuah hypermarket. Ada yang berpandangan bahawa DAP kini berada pada zaman gemilangnya. Persoalannya, apakah DAP berani menyahut cabaran yang dilontarkan pada zaman ini? Apakah kita sekadar mempertahankan kubu tradisional, tanpa mengorak langkah untuk menerokai kemungkinan yang baru?

Ramai yang tidak nampak bagaimana kita dikecewakan sepanjang usaha mengejar kemenangan. Bukan semua profesional atau elit yang menyertai parti menguntungkan DAP. Terdapat elit yang menyertai DAP, dan akhirnya melompat ke MCA. Tetapi seandainya kes yang gagal tersebut mematahkan semangat kita, DAP tidak akan menemui Tony Pua selepasnya. Maka terjawablah soalan sama ada kita perlu melapangkan dada untuk Dyna Sofia selepas kita dikecewakan Tunku Aziz.

Hakikatnya, usaha DAP mendampingi masyarakat Melayu adalah untuk menyahut cabaran zaman. DAP bukan parti Cina, tetapi parti untuk Malaysia. Penerimaan masyarakat Melayu-Islam terhadap DAP akan menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat, dan seterusnya menyediakan Malaysia ke arah perubahan dan pertukaran kerajaan.

Jangan sesekali DAP menambat langkah diri pada zaman gemilangnya. Kita harus memainkan peranan kunci untuk mengubah senario dan lanskap politik Malaysia. Moga-moga kita mengharungi peringkat yang agak tidak selesa ini, dan akhirnya menuai buah yang manis bersama rakan dalam Pakatan pada masa depan.

Dengan ini saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca Harakah.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Ending low pay

The Malaysian economy is at a crossroads. Indeed, Malaysia as a nation is at a crossroads. The most important question concerning the Malaysian economy is the presence of a huge…
Read More

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More