Krisis Selangor dan masa depan Malaysia

selangor

Krisis Selangor telah berkembang jauh sebagai krisis Selangor semata-mata. Krisis Selangor kini sudah menjadi krisis keyakinan terhadap Pakatan Rakyat. Lebih daripada itu, soalan jangka panjang timbul: Adakah Pakatan Rakyat masih kekal dalam format yang sama selepas ini?

Saya menonton rakaman video ucapan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu program solat hajat di kediaman rasmi beliau bersama beberapa orang tokoh PAS melalui KiniTV, dan saya mengakui diri saya terkilan selepas menontonnya.

Khalid berkata bahawa beliau tidak ingin menyebut tentang politik semacam adanya batasan politik dengan pentadbiran kerajaan negeri. Sejak dilantik sebagai Menteri Besar pada tahun 2008, beliau mengulangi bahawa dirinya seorang ahli korporat dan bukan ahli politik, dan beliau serah kepada orang politik untuk bermain politik, supaya dirinya dapat menumpukan fokus untuk kerja pentadbiran.

Apa yang mengusik saya adalah Khalid berhujah dalam kerangka Islam-bukan Islam, bahawa kerajaan beliau adalah kerajaan Islam dan kerajaan pimpinan orang Islam yang tidak boleh dipersoalkan, terutamanya tidak harus dipertikaikan oleh DAP (yang dianggap sebagai parti mewakili bukan Islam).

Walaupun ramai terpengaruh dengan hujah bahawa politik boleh diasingkan daripada pentadbiran, pandangan sedemikian hanya akan menafikan hak rakyat yang memilih kita dalam pilihan raya. Di seluruh dunia, kuasa penjajah dan kerajaan kuku besi memisahkan politik daripada pentadbiran supaya mereka boleh menguasai sumber-sumber awam tanpa mengambil kira suara rakyat jelata.

Oleh kerana proses pendemokrasian negara kita tidak berkembang seperti Indonesia, “politik” masih ditafsirkan dalam makna negatif oleh kebanyakan orang. “Politik” dianggap kotor, sebaliknya “pentadbiran” adalah sesuatu yang suci. Dalam kerangka ini, Khalid menolak pandangan, cadangan dan teguran sepanjang tempoh enam tahun beliau menyandang jawatan Menteri Besar Selangor. Saya tidak berkata bahawa semua pandangan, cadangan dan teguran terhadap Khalid semestinya betul dan baik, kerana sememangnya ramai yang tidak berniat baik.

Tetapi kita tidak boleh mengabaikan prinsip-prinsip dalam sistem politik yang sedang kita amalkan. Kerajaan Malaysia dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya. Selepas pilihanraya, parti atau gabungan parti yang memenangi kerusi terbanyak diberikan mandat untuk melantik di kalangan mereka seorang ketua kerajaan dan juga jemaah menterinya.

Ketua kerajaan yang dilantik mesti menjalankan tugas beliau dengan fahaman bahawa asas jawatan beliau adalah parti yang melantiknya. Asas kuasa parti dalam perlantikan ini adalah sokongan rakyat. Hujah bahawa pentadbiran boleh terpisah daripada politik sebenarnya tidak berasas.

Untuk sistem parlimen kita (yang berlain daripada sistem presidential), pertukaran ketua kerajaan boleh dilakukan sekiranya parti atau gabungan politik tersebut menarik balik mandat yang diberikan. Perkara sebegini lazim berlaku di negara yang mengamalkan sistem parlimen apabila ketua kerajaan ditewaskan dalam pemilihan dalaman parti seperti Kevin Rudd diganti oleh Julia Gillard pada Jun 2010 dan Gillard pula diganti oleh Rudd pada Jun 2013 di Australia.

Krisis Selangor berkongsi persamaan dengan krisis Kelantan pada November 1977. PAS mengambil keputusan untuk menukar Menteri Besar Datuk Muhamad Nasir tetapi beliau enggan undur. Rusuhan berlaku dan perintah darurat diisytiharkan dengan usul parlimen yang tidak dipersetujui oleh PAS dan DAP. PAS dipecat dari gabungan politik Barisan Nasional. PAS ditewaskan dalam pilihanraya Mac 1978 dan hanya mampu mengembalikan kuasa di negeri Kelantan pada tahun 1990. Sejarah akan berulang seandainya kita tidak mengambil iktibar daripadanya.

Apa yang dikesali juga adalah nama Islam yang dipergunakan oleh Khalid dan rakan-rakannya dalam krisis Selangor untuk meletakkan krisis ini dalam kerangka wacana di antara Islam dengan bukan Islam, dan di antara PAS dengan DAP. Kalau semua yang dilakukan oleh orang Islam betul, dengan maksud tersirat apa yang dilakukan oleh bukan Islam itu tidak betul, maka tidak perlulah pilihanraya umum diadakan kerana orang Islam sahaja boleh menentukan nasib negara tanpa orang bukan Islam. Juga, tulisan penulis yang bukan Islam ini tidak perlu dibaca oleh orang Islam kerana dia tidak akan menzahirkan pandangan yang betul.

Lebih mengecewakan saya, ada di kalangan pimpinan muda PAS cuba meninjau senario politik terkini dengan kaca mata “pertarungan Islam dengan bukan Islam”. Kalau itu kerangka politik mereka, tentunya langkah logik kepada mereka adalah untuk bekerjasama dengan orang Islam yang lain dan menjauhi orang bukan Islam. Maka UMNO adalah “gandingan” politik yang lebih sesuai daripada Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

(Cuma untuk rekod, saya tidak bersetuju untuk melabelkan DAP sebagai parti bukan Islam. Saya kerap memperingatkan rakan seperjuangan dalam DAP bahawa DAP adalah sebuah parti rakyat Malaysia dan pada suatu hari nanti, adalah hasrat saya untuk melihat lebih ramai Melayu menjadi ahli dan pemimpin DAP. Apabila DAP juga adalah parti dengan majoriti Melayu, kebaikan untuk PAS adalah permainan perkauman UMNO langsung tidak akan kesan.)

Krisis Selangor telah mencecah satu tahap di mana keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat jatuh merudum. Bolehkah Pakatan Rakyat diteruskan dalam format yang sama? Atau ia tidak lagi disokong oleh pengundi? Pilihan untuk PAS juga adakah sejarah Kelantan diulangi tetapi kali ini dengan PAS sebagai pihak yang menghalang penggantian calon Menteri Besar parti PKR?

Akhir kata, ia juga menyentuh persoalan masa depan PAS. Adakah PAS parti untuk umat Islam sahaja, tidak kira umat Islam itu betul atau salah, dan tidak ambil kira prinsip sistem demokrasi berparlimen? Ataupun PAS masih berminat untuk menjadi sebuah jemaah dan gerakan kebangsaan yang disokong oleh semua rakyat Malaysia atas prinsip-prinsip demokrasi?

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More