Nasib Najib dan ekonomi

najib umno (edited)

Berapa lama lagi Datuk Seri Najib Razak mampu mengekalkan jawatan Perdana Menteri? Apa cabaran yang dihadapi Malaysia dan apakah masa depan UMNO?

Selain daripada Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Najib menjadi Perdana Menteri yang paling lama berkuasa kerana Tun Abdul Razak hanya memegang jawatan untuk tempoh 5 tahun 4 bulan; sementara Tun Hussein Onn 5 tahun 6 bulan; Tun Abdullah Badawi 5 tahun 5 bulan dan Najib kini sudah menjangkau 5 tahun 7 bulan.

Sokongan terhadap Najib di kalangan masyarakat Melayu telah menjunam ke tahap yang tidak lagi memuaskan. Satu-satunya sagu hati yang mampu merawat luka Najib adalah popularitinya masih lebih tinggi berbanding kerajaan Barisan Nasional secara keseluruhannya.

Dalam satu soal selidik yang dijalankan antara 11 dengan 26 Oktober, Merdeka Centre mendapati 48% warga Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib, sementara 45% di sebaliknya. Statistik sebelum PRU13 pada Mei 2013 memperlihatkan 60% berpuas hati dengan prestasi Najib, dan 31% di sebaliknya. 58% responden Melayu berpuas hati dengan prestasi Najib sekarang, sedangkan angkanya mencecah 72% sebelum PRU yang lalu.

Hanya 38% warga Malaysia mempunyai persepsi yang positif terhadap kerajaan Barisan Nasional, sementara 49% tidak berpuas hati dengannya. Hanya 50% di kalangan responden Melayu yang berpuas hati dengan kerajaan sedangkan angka ini menjangkau 61% pada Mei 2013.

Dengan kata lain, sokongan untuk Najib dan kerajaan di kalangan Melayu tidak mencecah paras yang memuaskan. UMNO mungkin kalah seandainya PRU diadakan sekarang. Apa yang meredakan kepedihan UMNO di saat-saat ini adalah Pakatan Rakyat kelihatan agak rapuh dan celaru pada ketika ini.

Walaupun UMNO mempermainkan pelbagai isu berkenaan 3R, iaitu perkauman (race), agama (religion) dan insitusi raja (royalty) dengan menakut-nakutkan pengundi Melayu, sokongan UMNO bukan sahaja tidak meningkat malah terus merosot.

Faktor ekonomi adalah punca kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO dan Najib. Kenaikan harga minyak, elektrik, pelaksanaan GST (Cukai barang dan perkhidmatan) dan faktor ekonomi yang lain telah menjurus kepada penurunan sokongan. Namun kerajaan akan memainkan sentimen perkauman dan agama ketika rakyat jelata kaum Melayu mengikat perutnya lantaran keadaan ekonomi yang tidak baik. Dengan senangnya orang biasa ini termakan dengan propaganda UMNO, dan terpanggil untuk menyokong Najib.

Ekonomi Malaysia dijangka berdepan dengan situasi yang lebih sukar pada tahun depan berbanding tahun ini. Pertama, harga petrol global sedang jatuh merudum, dan ia akan menjurus kepada pengurangan pendapatan kerajaan, meskipun pada masa yang sama ia juga mengurangkan subsidi tanggungan kerajaan. Kerajaan menjangkakan harga minyak mentah akan berada di paras USD 110 perbarrel pada tahun 2014, dan USD 105 perbarrel pada tahun 2015. 30% pendapatan kerajaan berasal dari petroleum. Dengan wang dan sumber yang semakin menyusut di tangan elit pemerintah, khususnya PM, maka kita boleh menjangkakan lebih konflik dalaman UMNO akan berlaku.

Kedua, harga minyak sawit dan komoditi lain juga sudah mengalami penurunan yang mendadak. Harga minyak sawit ada kesan politiknya. UMNO bergantung kepada sokongan dari kawasan FELDA dan kawasan separa bandar yang lain. Tanpa sokongan golongan pekebun kecil kelapa sawit, UMNO tidak akan menang dalam pilihanraya yang lalu.

Ketiga, ekonomi global tidak begitu memberangsangkan. Walaupun ada kesan pemulihan ekonomi Amerika Syarikat tetapi ekonomi Jepun, negeri China dan Europah langsung tidak memuaskan. Eksport Malaysia tidak begitu mengujakan, dan ia akan memberi kesan buruk terhadap pekerja yang bergantung kepada pendapatan dari sektor eksport.

Keempat, pelaksanaan GST, kenaikan harga minyak dan elektrik dan pelbagai dasar “rasionalisasi subsidi” akan mengurangkan pendapatan boleh guna (disposable) yang akan mengakibatkan kemelesatan permintaan domestik.

Selain daripada cabaran ekonomi makro yang saya huraikan tadi, hutang kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan seperti 1MDB juga akan jadi tumpuan kerana selepas Federal Reserve Amerika Syarikat mengakhiri program Quantitative Easing (dengan kata orang biasa, program mencetak wang), “hot money” akan kembali ke Amerika Syarikat kerana kadar faedah yang lebih tinggi.

1MDB akan jadi “time bomb” kewangan negara dan juga “time bomb” politik kepada Najib yang akan meletup pada bila-bila masa sahaja. Logik UMNO adalah, sesiapa yang mendapat untung dari apa sahaja projek kerajaan, sebahagiannya mesti dikongsikan dengan rakan-rakan “seperjuangan”. 1MDB bukan sahaja dikawal oleh Najib seorang, desas-desus tersebar bahawa kawan isteri beliau juga memainkan peranan penting.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More