
Persempadanan Bahagian Pilihanraya Hanya Untuk Kekalkan Kuasa Barisan Nasional
- 16 September 2016
- Institution, Johor, Politics

Pakatan Harapan Johor menjemput semua pengundi di kawasan-kawasan yang terlibat dalam persempadanan terbaru untuk membantah cadangan-cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan representasi.
Pada masa yang sama, Pakatan Harapan Johor menyeru seluruh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia bangkit dan menolak persempadanan ini yang cukup nyata bahawa ini hanya untuk mengekalkan kuasa pemerintaan Barisan Nasional.
Adalah jelas sekali bahawa SPR beroperasi dengan mengikut unjuran bahawa majoriti pengundi Melayu akan terus menyokong Barisan Nasional, maka dengan persempadanan kali ini mereka mengharap parti-parti Pakatan Harapan akan tumbang di semua kawasan bebilang kaum dan akan hanya kekal di kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu.
Kami ingin mengingatkan SPR dan Barisan Nasional bahawa Bangsa Johor dan rakyat Malaysia sudah cerdik dan memiliki kesedaran politik yang tinggi. Mereka memahami konspirasi SPR dan Barisan Nasional dan akhirnya akan bangkit menumbangkan BN di peti-peti undi dalam gelombang politik yang akan datang.
Peranan SPR amat dikesali. Seharusnya tugas utama SPR adalah untuk memastikan badan itu berintegriti, adil dan telus dalam mengurus sistem pilihanraya negara kita.
Sebagai contoh, dalam persempadanan kali ini, Kawasan Parlimen Gelang Patah adalah kawasan yang paling ramai pengundi, iaitu 112,081, dan kawasan Skudai adalah DUN dengan paling ramai pengundi, iaitu 69,132.
DUN Bukit Kepong (nama lama Bukit Serampang) adalah DUN dengan pengundi yang paling rendah (15,795) dan kawasan Parlimen Pagoh hanya mempunyai 36,387 pengundi, berkurangan dari 46,793 pada 2013, iaitu sebanyak 22.24%.
Persempadanan kawasan Pagoh sememangnya bemotif politik. Difahamkan bahawa Pagoh mempunyai sekitar 20,000 ahli UMNO. Dengan mengurangkan pengundi di kawasan ini, UMNO harap karier politik Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berakhir di Parlimen ini.
Ironisnya ialah, sebanyak 14 kerusi DUN mempunyai pengundi yang lebih ramai dari kawasan Parlimen Pagoh adalah seperti berikut:~
N. 48 Skudai | 69,132 |
N. 42 Johor Jaya | 59,041 |
N. 46 Perling | 55,810 |
N. 44 Larkin | 53,325 |
N. 40 Tiram | 50,639 |
N. 43 Permas | 49,115 |
N. 41 Puteri Wangsa | 48,953 |
N. 23 Penggaram | 45,749 |
N. 45 Stulang | 45,026 |
N. 28 Mengkibol | 44,506 |
N. 52 Senai | 44,023 |
N. 29 Mahkota | 43,706 |
N. 49 Iskandar Puteri | 42,949 |
N. 47 Kempas | 40,170 |
Jumlah pengundi di kawasan DUN Skudai (69,132 pengundi) melebihi 16 kerusi Parlimen di Johor seperti berikut:~
P. 147 Parit Sulong | 56,851 |
P. 164 Pontian | 52,660 |
P. 165 Tanjung Piai | 50,215 |
P. 140 Segamat | 48,681 |
P. 146 Muar | 46,083 |
P. 149 Sri Gading | 45,451 |
P. 154 Mersing | 44,985 |
P.148 Ayer Hitam | 42,962 |
P. 156 Kota Tinggi | 42,861 |
P. 141 Sekijang | 41,896 |
P. 153 Sembrong | 41,629 |
P. 151 Simpang Renggam | 41,052 |
P. 155 Tenggara | 40,670 |
P. 157 Pengerang | 38,338 |
P. 142 Labis | 37,568 |
P. 143 Pagoh | 36,387 |
Rakyat di kawasan terlibat diberikan tempoh sebulan untuk membuat bantahan dari tarikh notis 15hb September 2016.
Pakatan Harapan Johor meminta penglibatan rakyat secara besar-besaran dalam proses ini untuk memastikan integriti sistem pilihanraya dan hak rakyat untuk menentu masa depan negara terjamin.
Pakatan Harapan Johor juga memberi sokongan sepenuhnya kepada gerakan BERSIH yang telah menetapkan tarikh 19hb November 2016 sebagai hari untuk Himpunan BERSIH 5.
Persempadanan kali ini mengingatkan kita semua bahawa Barisan Nasional tidak bersedia untuk menerima demokrasi yang adil tetapi hanya ingin mengekalkan kuasa dengan memanipulasi sistem dan institusi negara.
(Kenyataan Media, Sidang Akhbar Pakatan Harapan Johor, Kluang 16 September 2016, 11 pagi.)
Dari kiri, duduk :
ADUN Mengkibol Tan Hong Pin, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Setiausaha KeADILan Johor Khuzzan Abu Bakar, Ketua Pembangkang Johor Gan Peck Cheng
Dari kiri, berdiri :
Ketua Pemuda Amanah Mahadzir Mat Zili, Ketua Amanah Simpang Renggam Mohd Said Junad, ADUN Senai Wong Shu Qi, ADUN Johor Jaya Liow Cai Tung, Ketua Angkatan Muda KeADILan Faisal Yusak.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.