

Akhbar The Star semalam melaporkan bahawa majoriti wakil rakyat UMNO Johor menyatakan sokongan untuk pilihan raya negeri yang berasingan dalam satu komunikasi kumpulan dalaman UMNO Johor yang bimbang diseret dengan skandal memalukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta demi mencegah Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada menjadi satu kuasa pilihan raya utama di Johor.
DAP Johor sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri yang berasingan seperti yang dijangkakan berlaku seawal Mei 2016.
Dalam mesyuarat Jawatankuasa DAP Johor pada 29 Mei 2016, saya memberitahu pemimpin negeri DAP yang akan ada kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri berasingan di Sabah dan Johor. Hasilnya, Jawatankuasa DAP Johor dirombak semula dan mewujudkan sebuah jawatankuasa persediaan pilihan raya dengan tujuan untuk membuat persediaan pilihan raya peringkat DUN menjelang akhir 2016.
Di pembukaan bengkel latihan pilihan raya pada 13 peringkat negeri Ogos 2016, saya bercakap kepada umum buat kali pertama kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri yang berasingan. Sesetengah dikalangan UMNO dan MCA mengatakan bahawa saya hanya membuat telahan rambang.
Walaupun tanpa maklumat daripada sumber yang rapat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin pada bulan Mei, saya masih berfikir bahawa pilihan raya negeri akan berlaku sebagai salah satu pilihan untuk UMNO Johor dan Khaled atas sebab-sebab berikut:
Pertama, dari semua tinjauan dan maklumbalas masyarakat di Johor, terdapat sentimen negatif kepada Najib di semua peringkat merentasi etnik, jantina, pekerjaan. Sebagai contoh, tinjauan Merdeka Centre di Kluang diatas permintaan saya pada bulan Ogos, menunjukkan bahawa 65% daripada pengundi Kluang tidak berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Sekali lagi, lebih ramai orang Melayu (50%) tidak berpuas hati dengan Najib berbanding mereka yang berpuas hati (42%).
Dan, diantara kakitangan kerajaan dan pekerja GLC, yang biasanya lebih cenderung untuk menyokong kerajaan, 45% tidak berpuas hati dengan prestasi Najib, berbanding 42% yang berpuas hati.
Satu tinjauan yang sama dengan pengundi di Kluang pada Februari 2013 menyaksikan Najib mendapat respon positif pada nilai 59%. Di kalangan pengundi Melayu di Kluang, 78% positif melihat Najib pada Februari 2013 manakala 19% melihatnya negatif. Terdapat perubahan persepsi yang besar terhadap Najib dalam tempoh tiga tahun yang lalu.
UMNO Johor amat sedar akan persepsi negatif terhadap Najib yang akan berpotensi membawa kejatuhan kerajaan BN pada pilihan raya.
Kedua, sungguhpun UMNO Johor masih boleh terus meningkatkan kekuatannya, tetapi hakikat sebaliknya, parti itu begitu takut dengan potensi Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mewujudkan gelombang pilihan raya di kalangan penyokong yang setia kepada UMNO sebelumnya.
Terdapat rasa panik di kalangan pemimpin UMNO berikutan pemergian Anggota Dewan Undangan Negeri Jorak Datuk Shahruddin Salleh dari UMNO, yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.
UMNO Johor mengharap agar dapat membuat pilihan raya negeri lebih awal sebelum Bersatu mampu mewujudkan gelombang itu.
DAP Johor bersedia untuk pilihan raya negeri yang berasingan. Saya percaya pihak Pakatan Harapan – Parti KeAdilan Rakyat dan Parti Amanah Negara – juga sama-sama bersedia.
Adalah satu mitos mengatakan pihak pembangkang telah tewas apabila UMNO Johor dan Khaled Nordin telah “berjaya” sebagai kerajaan. Pada minggu-minggu dan bulan-bulan yang akan datang, kita akan mencabar Khaled Nordin dalam dasar-dasar kerajaan negeri yang telah mengecewakan rakyat dalam aspek pengangkutan awam, pengurusan air, potensi berlakunya gelembung hartanah, krisis perumahan, pembangunan yang tidak seimbang antara Wilayah Iskandar dengan wilayah tengah / utara Johor , isu alam sekitar dan lain-lain isu.
Politik Johor berada dalam masa yang cukup dinamik dan kami di pihak pembangkang akan melakukan yang terbaik untuk memenangi hati dan minda pengundi Johor. Dan, seperti yang kita semua sedia maklum, memenangi Johor adalah penting untuk pertempuran memenangi Putrajaya.
(Kenyataan media oleh Liew Chin Tong Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kluang, Kluang 17 Oktober 2016)
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.