
Usul untuk Konvensyen Tahunan DAP Johor 2016
- 23 October 2016
- Economy, Institution, Johor, Politics, Social

Oleh : Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Johor
Suasana politik Johor yang kini telah berubah menjadi lebih dinamik memungkinkan pelbagai keadaan akan berlaku dalam konteks kerajaan. Perubahan ini menuntut satu usaha dan iltizam yang tuntas bagi memastikan kemenangan berpihak kepada rakyat. Justeru DAP Johor harus bersedia untuk memimpin perubahan ini bersama rakan Pakatan Harapan.
DAP Johor berusaha untuk melahirkan sebuah negeri yang adil menerusi sistem pemerintahan yang bersih dan solidariti atau semangat persaudaraan yang erat sesama rakyat. Oleh itu, DAP Johor harus menyediakan dasar-dasar yang pro rakyat, telus dan peduli demi masa depan rakyat. DAP Johor mesti lebih ke hadapan. Tidak sekadar membangkang, tapi perlu mengemukakan penyelesaian yang lebih baik buat negeri dan rakyat.
9 cabaran yang perlu disediakan iaitu;
1. Agenda Air Hak Rakyat – DAP akan mengemukakan reformasi sistem pengurusan dari semua aspek baik aspek sumber, akta, pemantauan dan penyampaian.
2. Agenda Pengangkutan Awam – Merangka pembangunan infrastruktur yang lebih komprehensif serta cekap untuk meningkatkan kemudahan rakyat meliputi Johor utara, tengah dan selatan serta melibatkan kemudahan laluan keluar masuk Johor-Singapura.
3. Agenda Perumahan – Satu mekanisme bersepadu perlu dibentuk diperingkat Jawatankuasa Terpilih Dewan Negeri bagi mengatasi pelbagai isu melibatkan perumahan di Johor seperti spekulasi pelaburan hartanah dan kolerasi pembangunan perumahan dengan kegiatan ekonomi setempat.
4. Agenda Pembangunan daerah dan PBT – Mengkaji kearah desentralisasi kuasa dari pusat kepada kerajaan negeri seterusnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Hal ini termasuklah mengkaji keperluan untuk mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.
5. Agenda Sosial – Menubuhkan satu task force dalam memerangi kegiatan mesin judi haram.
6. Agenda Kebajikan – Membentuk satu task force untuk mengkaji semula mekanisme bantuan kepada golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal, warga emas, Orang Kurang Upaya dan segmen-segmen kecil yang lain yang kurang mendapat perhatian.
7. Agenda Keselamatan Komuniti – Satu rangka perlu dibentuk untuk melaksana dan meluaskan peranan polis komuniti dalam masyarakat.
8. Agenda Kebudayaan – Membentuk satu dasar bersama rakan Pakatan Harapan yang memberi penekanan terhadap pemuliharaan budaya Bangsa Johor.
9. Agenda Pendidikan – Memberi penekanan kepada golongan muda untuk menguasai bahasa kebangsaan dan mempelajari pelbagai bahasa.
Untuk merealisasikan sembilan cabaran ini, AJK DAP Johor mengusulkan agar;
1. DAP Johor hendaklah bertindak memastikan kempen penerangan agenda parti secara agresif dan fokus di setiap peringkat (cawangan, kawasan parlimen) dijalankan bermula saat ini sehinggalah menjelang PRU ke 14.
2. Jentera parti di semua peringkat hendaklah memperluaskan engagement dan program ‘santuni rakyat’ kearah meningkatkan jumlah keahlian baru DAP Johor yang akan menjadi pendokong kepada gerak kerja dan perjuangan parti.
3. DAP Johor hendaklah mengukuhkan gerak kerja bersama Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat menerusi Pakatan Harapan dalam agenda kempen, ceramah penerangan dan edaran maklumat kepada rakyat menerusi pelbagai pendekatan.
4. DAP Johor di pelbagai peringkat hendaklah melipatgandakan program daftar pemilih diseluruh negeri khususnya melibatkan anak-anak muda.
5. Mempersiapkan jentera parti diperingkat cawangan dan kawasan dari aspek sumber tenaga, gerak kerja dan perancangan sebagai persiapan rapi menjelang PRU ke 14 nanti.
Cadangan ini dibuat untuk dilaksanakan oleh semua ahli parti dari peringkat cawangan hingga ke Jawatankuasa Negeri.
Sekian.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.