Mengapa aktiviti politik BN boleh diadakan di dewan Majlis Daerah tetapi acara hari keluarga parti lain tidak dibenarkan?

Menteri Besar Johor Khaled Nordin perlu memberi penjelasan kepada orang ramai tentang keputusan Majlis Daerah Yong Peng membenarkan Pengerusi MCA Johor Wee Ka Siong untuk mengadakan mesyuarat MCA Johor di dewan persidangan MYDP.

Ruang awam yang dijaga dan diurus oleh Pihak Berkuasa Tempatan sepatutnya terbuka kepada orang ramai secara adil kerana ia adalah milik rakyat, dan bukan ruang persendirian parti pemerintah.

Sebagai contoh, pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sering kali menolak permohonan pejabat kami untuk mengadakan aktiviti di ruang awam seperti di dataran di Kluang. MPK biasanya memberi alasan tidak munasabah untuk menghalang program kami seperti aktiviti kesenian, kebudayaan dan aktiviti hari keluarga.

Sebaliknya, Timbalan Presiden MCA merangkap Pengerusi MCA Johor Wee Ka Siong mendapat kedudukan istimewa untuk menggunakan dewan persidangan MDYP bagi kegunaan aktiviti politik. Sedangkan, apa yang kami tahu, dewan persidangan itu dihadkan untuk kegunaan dalaman PBT sahaja.

Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman melebihi 20 tahun, dan juga seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wee Ka Siong sepatutnya sedar garisan pemisah di antara institusi kerajaan dan parti politik.

Selama ini, hubungan di antara cawangan MCA dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sukar diasingkan kerana pejabat JKKK telah digunakan sebagai pejabat cawangan MCA, dan ketua kampung biasanya dijawat oleh pengerusi cawangan MCA. Kami ingin mendesak MCA serta mana-mana komponen BN supaya jangan membawa budaya politik yang tidak sewajar ini ke peringkat PBT.

Rakyat perlu sedar bahawa apabila parti pemerintah menganggap institusi-institusi awam sebagai alat Barisan Nasional, ia adalah penyalahgunaan kuasa. Rakyat perlu ubah kepincangan ini demi Malaysia yang lebih adil dan saksama.

(Kenyataan media oleh Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 2hb Jun 2017.)

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles