UMNO-BN Johor dalam keadaan cemas

Sokongan terhadap Pakatan Harapan melonjak naik sejak Anwar Ibrahim dan Dr. Mahathir Mohamad kembali berbaik semula melalui pengumuman rasmi struktur pimpinan Pakatan Harapan pada 14 Julai lalu.

Perdana Menteri Najib Razak dan para pemimpin UMNO dilihat semakin gelisah, dan mereka telah melakukan satu demi satu kesilapan. Terbaru adalah tindakan “bijak” Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan keturunan Mahathir sebagai India Muslim.

Tindakan berunsur perkauman ini merupakan percubaan untuk memperlekeh bekas Presiden UMNO itu. Sedangkan tak sampai dua minggu lalu, Najib telah berjanji untuk mengkaji kemungkinan memberi status Bumiputera kepada India muslim.

Bagaimana situasi ini mempengaruhi Johor?

Johor, Kedah dan Sabah adalah tiga negeri yang masing-masing mempunyai potensi menyumbang 10 kerusi parlimen kepada pembangkang untuk mengambil alih kerajaan.

Kerusi Parlimen di Johor yang dimenangi Barisan Nasional melalui kemenangan tipis pada Pilihanraya Umum ke-13 adalah (di selatan Johor) Labis, Segamat, Muar, Ledang, Sekijang, (di utara Johor) Pasir Gudang, Tebrau, Pulai, dan Johor Bahru. Pakatan Harapan juga berpeluang untuk menang di Pagoh.

Jika perubahan undi jadi begitu ketara, Ayer Hitam, Simpang Renggam dan Tanjong Piai juga bakal jatuh ke tangan pembangkang.

Kemungkinan BN boleh kalah di Johor, dan membawa kepada kejatuhan Putrajaya, tidak dinafikan oleh Khaled Nordin, Menteri Besar Johor, sewaktu konvensyen BN Johor Sabtu lalu.

Malaysiakini melaporkan: “Walaupun Johor merupakan kubu kuat BN dan tempat kelahiran UMNO, Khaled memberi peringatan bahawa mereka tidak lagi boleh terus dibuai oleh nostalgia bahawa BN akan terus berkuasa hanya kerana pihak lawan mereka tidak mempunyai pengalaman memerintah.”

Khaled dipetik berkata: “Tanggapan seperti ini perlu diubah. Percayalah, kita akan berdepan dengan pertempuran besar yang paling sengit. Ia bukan sekadar pertandingan biasa.”

Pada hujung minggu yang sama, Timbalan Presiden MCA dan Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong dengan yakin mengatakan bahawa hampir mustahil untuk BN tewas di Johor. Beliau malah menuduh DAP Johor sengaja mengheboh-hebohkan kemungkinan pertukaran kerajaan kerana mahu memperdaya pengundi.

Elok rasanya Wee berjumpa dengan Khaled untuk pastikan skrip mereka sama, dan tidak saling bertentangan. Kenyataan Wee menunjukkan betapa parah situasi MCA hari ini sehingga takut menerima hakikat bahawa pertukaran kerajaan adalah sesuatu yang sangat mungkin terjadi.

Apa yang malang ialah apabila cemas dengan situasi semasa, Khaled cepat-cepat kembali kepada skrip perkauman usang yang digunakan Najib. Bukan sahaja beliau enggan mengakui kebangkitan pengundi Melayu yang marah dengan kerajaan, Khaled malah menuduh DAP sebagai kuasa Cina yang menguasai pembangkang di Johor dengan harapan untuk menakutkan pengundi Melayu.

Kerana terlalu cemas, Khaled tiba-tiba terus lupa tentang Bangsa Johor – pentas yang menyatupadukan anak negeri Johor tanpa mengira kaum dan agama. Khaled nampaknya lebih cenderung kepada perkauman yang digunakan Najib.

Taktik asal serampang tiga mata Najib adalah (1) memenjarakan Anwar Ibrahim untuk menghalang pembangkang dari mempunyai pemimpin yang diterima oleh semua rakyat Malaysia, (2) mengumpan PAS menjadi rakan sekutu BN, dan (3) menuduh pembangkang didalangi Cina dan DAP.

Malangnya untuk Najib dan pengikutnya, apabila Anwar dan Mahathir kembali bersatu pada 14 Julai lalu, ia menggagalkan rancangan asal BN. Skrip mereka sudah lapuk dan tidak relevan.

Kini logik mudahnya adalah: Jika UMNO kalah pada pilihanraya umum akan datang, sudah tentu kerusi-kerusinya akan dimenangi oleh pemimpin Melayu daripda Pakatan Harapan.

Dengan Johor sebagai negeri penting untuk Pakatan Harapan, pemimpin Melayu seperti Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub kini berada di barisan hadapan berkempen untuk pertukaran kerajaan di Johor.

Taktik menakutkan pengundi Melayu yang digunakan Khaled tidak akan berkesan. Anak negeri Johor sudah selesa dengan idea sebuah Bangsa Johor yang terdiri dari pelbagai kaum.

Untuk sebuah kerajaan baru mengambil alih di Nusajaya, dan seterusnya Putrajaya, Pakatan Harapan akan menjadi pembawa obor kepada semangat bersatu Bangsa Johor dan bukannya kempen perpecahan kaum yang dibawakan oleh Khaled.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Ending low pay

The Malaysian economy is at a crossroads. Indeed, Malaysia as a nation is at a crossroads. The most important question concerning the Malaysian economy is the presence of a huge…
Read More

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More