Najibnomics = Najib tiada dasar ekonomi

Ulasan pra-Belanjawan 2017 (1) oleh Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 21 Oktober 2017

Najibnomics = Najib tiada dasar ekonomi

Perkataan yang berakhir dengan “-nomics” adalah istilah popular digunakan di media bagi melambangkan sesuatu bentuk ekonomi atau sekadar istilah untuk memperlekeh sesuatu retorik politik. “Najibnomics” adalah percubaan para penyokong Najib Razak untuk menunjuk-nunjuk kononnya ia adalah suatu set idea ekonomi yang akan memacu negara ke hadapan. Soalnya, adakah idea itu benar-benar wujud?

Pada 27 Oktober 2017, Perdana Menteri Najib Razak dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan kesembilannya di Parlimen. Tulisan ini adalah kupasan pra-belanjawan menjelang pembentangan belanjawan itu untuk menjelaskan beberapa isu yang saya anggap penting untuk negara.

Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Kewangan ekoran rundingan tegang pada 17 September 2008.  Belanjawan 2009 dibentangkan oleh Abdullah pada 29 Ogos 2008. Najib kemudian menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009.

Satu-satunya waktu apabila Najib dilihat mampu menyediakan rangka ekonomi adalah ketika pelancaran “Model Ekonomi Baru” pada 31 Mac 2010, setelah menjawat jawatan Perdana Menteri selama setahun. Hari ini entah ke mana perginya dasar itu.

Dalam wawancara terbaru dengan Malaysiakini, Profesor Jomo K.S yang mengulas Dasar Ekonomi Baru itu berkata:

“Kita perlu jelas tentang hal ini. Model Ekonomi Baru, atau MEB, merupakan perubahan dasar ekonomi yang didambakan dari sudut yang berasaskan perspektif neo-liberal. Ini tidak bererti dasar itu semuanya baik atau semuanya tak baik. Ia mengandungi beberapa pembaharuan yang diinginkan, yang tertangguh sekian lama akibat terlalu banyak peraturan dan dasar yang kadang-kadang bertentangan sesama sendiri. Meskipun MEB menjanjikan banyak perkara dan meningkatkan jangkaan ramai, kebanyakan pemerhati kini akan bersetuju bahawa di sebalik retorik itu ia gagal dari segi pelaksanaan. Seperti kita semua tahu, MEB diketepikan tidak lama selepas ia diumumkan atas sebab politik dan ia tidak pernah menjadi rangka dasar ekonomi seperti yang sepatutnya.”

Saya sependapat dengan Jomo bahawa MEB tidak lebih keinginan mewujudkan suatu dasar ekonomi yang lahir dari perspektif neo-liberal. Namun sekurang-kurangnya pernah wujud satu rancangan.

Selamat tinggal Model Ekonomi Baru

Tiga intipati utama MEB adalah:

Pertama, Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pelaburan modal semata-mata, sama ada dari luar atau dalam negara, mahupun menambah kemasukan tenaga kerja asing yang tidak berkemahiran. Apa yang diperlukan adalah produktiviti melalui inovasi.

Kedua, keterangkuman sosial merupakan salah satu teras utama dalam MEB. Dua yang lain adalah “pendapatan tinggi dan kelestarian”. “Keterangkuman” merupakan bahasa Bank Dunia untuk “ketidakseimbangan”. Sejak 2010 lagi telah dikenalpasti bahawa ketidakseimbangan merupakan kebimbangan utama yang perlu dihadapi ekonomi Malaysia.

Ketiga, menurut MEB, kuasa membuat keputusan perlu diserahkan kepada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, dan bukannya dikuasai kerajaan pusat. Namun hakikatnya, keputusan-keputusan ekonomi makin dikuasai Najib sehingga melangkau Kabinet.

Kunci utama saranan MEB adalah seperti berikut:

“Pendekatan terhadap pembangunan ekonomi: perbezaan antara pendekatan lama dengan MEB”

Pendekatan Lama

Pendekatan Baru

1

Pertumbuhan terutamanya melalui pengumpulan modal.

Menumpukan pada pelaburan dalam pengeluaran dan infrastruktur fizikal dengan gabungan pekerja berkemahiran rendah untuk menghasilkan eksport bernilai tambah rendah

Pertumbuhan melalui produktiviti.

Menumpukan pada proses inovasi dan teknologi terkini, disokong oleh pelaburan swasta dan bakat pada paras yang sihat, untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi

2

Penyertaan kerajaan yang dominan dalam ekonomi.

Pelaburan awam langsung yang besar (termasuk melalui SBK) dalam sektor ekonomi yang terpilih

Pertumbuhan berpandukan sektor swasta.

Menggalakkan persaingan dalam dan merentasi sektor untuk memulihkan semula pelaburan swasta dan dinamisme pasaran

3

Perancangan strategik terpusat. Panduan dan kelulusan daripada pihak berkuasa persekutuan untuk keputusan ekonom

Autonomi tempatan dalam pembuatan keputusan.

Memperkasakan pihak berkuasa tempatan dan negeri untuk membentuk dan menyokong inisiatif pertumbuhan serta menggalakkan persaingan antara kawasan

4

Pertumbuhan wilayah yang seimbang.

Menyebarkan aktiviti ekonomi merentasi negeri untuk meluaskan manfaat daripada pembangunan

Aktiviti ekonomi berasaskan kelompok dan koridor.

Penumpuan aktiviti ekonomi untuk ekonomi ikut bidangan (economies of scale) dan penyediaan perkhidmatan sokongan yang lebih baik

5

Mengutamakan industri dan firma tertentu.

Memberikan layanan istimewa dalam bentuk insentif dan pembiayaan bagi entiti terpilih

Mengutamakan industri dan firma yang berkemampuan teknologi.

Memberikan insentif untuk menyokong inovasi dan pengambilan risiko bagi membolehkan usahawan membangunkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi

6

Kebergantungan eksport pada pasaran G-3 (AS, Eropah dan Jepun).

Sebahagian daripada rantaian pengeluaran untuk membekalkan barangan dan komponen pengguna kepada pasaran tradisional

Orientasi Asia dan Asia Barat.

Membangunkan dan mengintegrasikan dengan giat ke dalam rangkaian kewangan dan pengeluaran serantau untuk mendapatkan manfaat aliran pelaburan, perdagangan dan idea

7

Sekatan terhadap pekerja mahir asing.

Wujud kebimbangan sekiranya bakat asing akan menggantikan pekerja tempatan

Memelihara dan menarik golongan profesional mahir.

Menggabungkan bakat, termasuk tempatan dan asing, yang diperlukan untuk merangsang ekonomi nilai tambah tinggi dan inovatif

 

Memang saya tidak bersetuju sepenuhnya dengan MEB, namun sekali lagi saya nyatakan, setidak-tidaknya kita mempunyai rancangan dan rangka kerja.

Tidak sampai tiga bulan selepas pelancaran MEB, Najib memperkenalkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri pada Jun 2010.

MEB disediakan oleh sekumpulan pakar ekonomi berpengalaman yang mempunyai khidmat perundingan meluas dengan masyarakat yang lebih besar. Namun, RMK10 telah menjadi rutin birokratik. Dua dokumen itu – MEB dan RMK10 – tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

Najib tidak mempunyai tekad atau idea yang jelas tentang dasar yang perlu dilaksanakan. Sebaik dilancarkan, MEB dimansukan – berikutan bantahan kumpulan-kumpulan konservatif sayap kanan Melayu.

Gaji minimum dan BR1M

MEB dilihat seolah-olah ‘dimatikan’ oleh golongan sayap kanan. Namun, ‘pembunuh’ sebenar adalah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang diterajui Idris Jala. Sebagai pakar ekonomi Najib, Idris Jala yang ketika itu dilihat sebagai ‘troubleshooter’ (penyelesai masalah) ekonomi telah memasukkan beberapa idea MEB ke dalam “Program Transformasi Ekonomi” (ETP) yang menumpukan kepada “Projek Permulaan” (EPP) yang bakal memberi kesan besar.

Di antara 2009 dan 2011, Najib memberitahu komuniti pelabur bahawa beliau bercadang untuk melaksanakan liberalisasi pasaran Malaysia, dengan melonggarkan peraturan untuk 27 sektor. Namun, beliau tidak menghasilkan sebarang idea ekonomi yang jelas mahupun memacu pembaharuan ketara, selain mencadangkan gaji minimum dan pemberian tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Pembangkang dan kesatuan sekerja sekian lama menggesa pelaksanaan gaji minimum. Najib sekadar bersetuju dengan pelaksanaan gaji minimum demi mencuri populariti idea pembangkang.

Skim BR1M membuktikan lagi perangai Najib yang suka mencuri idea pembangkang. Jawatankuasa Dasar Pakatan Rakyat yang pernah wujud tidak lama dulu, yang mana saya merupakan salah seorang anggotanya, mengumumkan pada Julai 2011 rancangan untuk menumpukan kepada golongan “60 peratus di bawah” dengan suatu pembaharuan set ekonomi yang komprehensif. Maklumbakas kerajaan Najib kepada rancangan Pakatan Rakyat membantu golongan 60 peratus di bawah itu adalah dengan menawarkan BR1M.

Menjaga hati agensi penarafan kredit

Pasca pilihanraya umum Mei 2013, fokus Perdana Menteri adalah menggembirakan agensi-agensi penarafan kredit. Pasaran serantau terjejas dengan penurunan kadar tukaran wang pada Mei dan Jun 2013, yang diistilahkan sebagai “taper tantrum”. Ini menyebabkan agensi penarafan cemas dan mula melihat kelemahan-kelemahan ekonomi Asia.

Reaksi Najib yang tidak berfikir panjang adalah dengan menubuhkan “Jawatankuasa Dasar Fiskal” yang mempunyai keahlian hampir sama dengan mesyuarat mingguan Majlis Ekonomi. Jawatankuasa itu melangkau perbincangan Kabinet dalam isu berkenaan ekonomi.

Jawatankuasa Dasar Fiskal berperanan memastikan defisit berada pada tahap 3 peratus serta mencapai belanjawan seimbang pada 2020. Untuk tujuan itu, subsidi dipotong, perkhidmatan awam dikecilkan dan GST diperkenalkan dalam ucapan Belanjawan 2014 (dibentangkan pada 2013, belanjawan pertama selepas pilihanraya umum).

Sejak itu, dasar ekonomi Najib hanya untuk memastikan agensi penarafan berpuas hati, dan kerajaan pula mempunyai cukup pendapatan untuk membiayai pentadbirannya yang membazir. Tiada langsung usaha membentuk semula ekonomi atau wawasan jangka panjang.

Demi kepentingan Najib

Tahun 2015 mungkin merupakan tahun paling bermasalah bagi Najib. Harga minyak jatuh mendadak sejak Oktober 2014, dan seterusnya menyebabkan nilai ringgit menjunam. Sejak Mac 2015, butiran skandal 1MDB tersebar dan seterusnya, pada Julai 2015, butiran tentang “derma” ke dalam akaun peribadi Najib mula dilaporkan.

Najib memecat Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara Gani Patail dan Menteri Shafie Apdal pada 28 Julai 2015. Pada September 2015, bagi mengatasi kehilangan keyakinan terhadap kerajaan, Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) telah ditubuhkan. Jawatankuasa itu yang turut dianggotai Nazir Razak, adik Najib yang juga pakar perbankan yang dihormati, menjadi penasihat kerajaan dalam hal-hal berkenaan dasar ekonomi.

Kini JKE tidak lagi bermesyuarat. Kalaupun ada, Najib tidak ada masa untuk mendengar apa-apa pandangan. Ketika ini segala-galanya adalah demi keberlangsungan politiknya.

Sejak akhir 2015, kerajaan telah memutuskan bahawa propaganda rasmi kerajaan adalah ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik di bawah Najib, dan mana-mana pihak yang membantahnya akan dianggap penghasut atau pengkhianat negara. Kedudukan Menteri yang mengendalikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Abdul Rahman Dahlan sebagai Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional merupakan contoh yang jelas dalam pendekatan kerajaan Najib.

Kerajaan tidak lagi bersedia mendengar keluhan rakyat biasa Malaysia yang menderita akibat kesan pelaksanaan GST, kejatuhan nilai ringgit serta usaha pemotongan perbelanjaan kerajaan (memotong subsidi, peruntukan kesihatan, kebajikan dan pendidikan).

“Tak ada krisis,” kata Najib dan sekutunya. Malah ada golongan pak lawak yang memuja kehebatan “Najibnomics”.

Namun, seperti dongeng Barat tentang raja tanpa baju, dalam pilihanraya umum akan datang, rakyat mungkin melondehkan segalanya di peti-peti undi. Pada masa itu nanti ramai antara kita sedar bahawa Najib tidak mempunyai dasar ekonomi yang serius selama sembilan tahun sebagai Menteri Kewangan dan lebih lapan tahun sebagai Perdana Menteri.

Kerana akhirnya, kita semua tahu, “Najibnomics” bererti “Najib tiada dasar ekonomi.”

Liew Chin Tong

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Ending low pay

The Malaysian economy is at a crossroads. Indeed, Malaysia as a nation is at a crossroads. The most important question concerning the Malaysian economy is the presence of a huge…
Read More

Four major challenges confronting us

I attended the Progressive Alliance conference titled “Asia’s Social Democratic New Deal for Peace, Democracy, Recovery, Sustainability” in KL over the weekend. The conference was officiated by DAP Secretary-General Sdr…
Read More