

Bagi pihak Jawatankuasa Negeri DAP Johor 2021-24, saya mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung DAP Sdr Anthony Loke yang sudi hadir di sini hari ini untuk merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor 2024. Terima kasih juga saya ucapkan kepada wakil-wakil rakan kita daripada Pakatan Harapan serta semua ahli, wakil dan pemerhati yang turut hadir.
Sewaktu Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor 2021 diadakan pada 2 Mei 2021, kita masih memakai pelitup muka serta sedang menyesuaikan diri dan kehidupan kita dengan pandemik Covid-19. Selepas itu pula, Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada masa itu kedudukan politik beliau sudah terumbang-ambing kerana di bawah pentadbirannya, Malaysia berhadapan dengan tiga lapisan krisis, iaitu kemelut politik, ekonomi dan pandemik yang tidak menampakkan sebarang jalan penyelesaian.
Syukurlah, hari ini segalanya sudah berubah.
Melawan arus
Zaman yang penuh cabaran itu telah mengajar kita untuk terus cekal walaupun menghadapi pelbagai tekanan. Sebagai sebuah parti politik utama di negara ini, peranan kita adalah untuk memimpin. Apabila berhadapan dengan dugaan, kita perlu memimpin ahli-ahli parti, masyarakat dan negara untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang lebih baik.
Dengan rendah hati, dan saya akui juga, dengan sedikit rasa gembira, bahawa Jawatankuasa Negeri yang ada di sini telah berjaya memimpin DAP Johor menghadapi cabaran-cabaran utama sepanjang penggal jawatankuasa ini, iaitu:
- Sewaktu tempoh PKP, Unit Tindak DAP Johor yang dianggotai ahli serta sukarelawan dengan gigih dan berani telah berusaha keras untuk membantu mereka yang memerlukan. Semangat dan usaha para anggota Unit Tindak ini mencerminkan semangat DAP Johor bahawa kita akan tetap cekal dalam apa jua keadaan, malah akan bangkit lebih gagah selepas berjaya mengatasi segala tekanan dan dugaan.
- Pilihan raya negeri Johor 2022 merupakan satu cabaran besar buat parti. Kita terpaksa menghadapi kesan pandemik yang masih berterusan, serta pengundi yang kecewa berikutan rampasan kuasa Langkah Sheraton dan juga keputusan PRN Melaka dan Sarawak pada 2021 yang tidak memuaskan. Banyak pihak meramalkan DAP Johor akan kalah teruk, mungkin sekadar memenangi 4 daripada 14 kerusi yang kita miliki. Saya menjawab pesimisme pengkritik kita dengan mengatakan DAP Johor mampu memenangi sekurang-kurangnya 8 kerusi, asalkan kita semua bersatu hati dan berusaha gigih. Dan itulah yang kita semua lakukan. Akhirnya, DAP Johor berjaya mendapat 10 kerusi atas keyakinan diri kita sendiri yang dapat memenangi hati pengundi.
- Selepas PRN pada Mac 2022, lemah semangat atau pesimisme dalam kalangan penyokong dan pengundi masih berleluasa. Namun, kami tidak mengalah dan terus cuba meyakinkan seramai yang mungkin bahawa “the worst was over”, keadaan dalam pilihan raya umum 2022 akan lebih memihak kita. Apa yang kita perlu lakukan adalah berusaha bersungguh-sungguh sekali lagi. Terbukti selepas itu apabila Pakatan Harapan berjaya memenangi 15 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor.
Membina negara
Sejak berakhirnya PRU pada November 2022, Malaysia kini berada dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya. Lonjakan ekonomi kedua ataupun second takeoff semakin terserlah apabila kita dapat melihat kemasukan pelaburan-pelaburan antarabangsa dan domestik, nilai Ringgit semakin kukuh, dan pasaran pekerja yang mula menawarkan pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal.
Walaupun hasil lonjakan ekonomi ini akan mengambil masa sebelum setiap rakyat Malaysia dapat merasai nikmatnya, tanda-tanda kejayaannya sudah dapat dilihat. Ekonomi kita berada dalam keadaan yang paling baik sekurang-kurangnya sejak sedekad yang lalu.
Johor kini menjadi enjin utama dalam gelombang pertumbuhan baru melalui pelbagai usaha, termasuk inisiatif berkaitan pengangkutan yang diterajui Kementerian Pengangkutan pimpinan Sdr Anthony Loke, dan juga kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Bagi memastikan kita mampu membina atas landasan semasa serta mengangkat Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi dan sebuah negara yang boleh kita semua banggakan, kita di sini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi PRU ke-16 nanti.
PRU16 dan tatanan politik baru
Setahun sebelum PRN di enam negeri, persoalan yang timbul adalah: Adakah Kerajaan Perpaduan akan menghadapi komplot yang sama seperti Langkah Sheraton? Malah ramai juga yang bertanya: Adakah Anwar boleh “survive”? Tetapi kini keadaan sudah bertambah baik. Pertanyaan yang ingin diketahui sekarang adalah: Adakah Anwar akan memenangi PRU16?
Dewan Negeri Johor akan tamat tempohnya pada 20 April 2027 manakala Parlimen pula pada
19 Disember 2027. Mengikut pengalaman lalu, kita perlu membuat persediaan sekurang-kurangnya setahun sebelum tarikh tamat tempoh tersebut. Kemudian, kita perlu meningkatkan persiapan 6 bulan sebelum tarikh itu, dan seterusnya menambah usaha apabila berada dalam lingkungan 100 hari jika Dewan Negeri atau Parlimen masih belum dibubarkan.
Dengan kata lain, DAP Johor dan rakan-rakan seperjuangan kita perlu berada dalam mode pilihan raya bermula April 2026, dan seterusnya meningkatkan lagi persediaan kita menjelang suku terakhir 2026.
Kita juga perlu sedar bahawa pada PRU 2018 dan PRU 2022 serta PRN Johor 2022, berlaku pertandingan tiga penjuru di banyak kawasan. Bagaimanapun, sejak PRN 6 Negeri pada Ogos 2023, hampir kesemua kawasan menjadi medan satu lawan satu.
Yang terbaru, pilihan raya kecil Dewan Negeri Mahkota telah menunjukkan bahawa formula satu lawan satu memberi manfaat kepada Kerajaan Perpaduan. Melalui kestabilan yang wujud, ia memberi keyakinan kepada semua pihak, sama ada pelabur, penjawat awam, atau anggota masyarakat, bahawa kerajaan ini akan terus kekal, malah mampu mempertahankan kedudukannya untuk penggal yang akan datang.
Parti-parti dan para pemimpin Kerajaan Perpaduan telah mentadbir hampir dua tahun. Sepanjang tempoh ini, kita juga telah memenangi beberapa pilihan raya bersama. Namun, ujian sebenarnya adalah pada PRU16 nanti. Lebih penting lagi, ujiannya adalah untuk menentukan sama ada kita dapat membina satu tatanan politik baru (new political order) yang mampu membina Malaysia menjadi lebih kukuh dan stabil. Kita mesti meyakinkan ahli-ahli kita, para aktivis dan penyokong kita serta rakyat Malaysia bahawa kita semua adalah pembina negara atau nation builders. Kita mesti menanam pemikiran ini dalam minda setiap rakyat Malaysia dan Bangsa Johor.
Terima kasih atas sokongan anda
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua di sini, termasuk para pemimpin dan ahli, atas sokongan yang diberikan kepada saya sepanjang satu dekad sebagai Pengerusi DAP Johor.
Sebagaimana yang telah saya umumkan, saya akan tetap bertanding untuk menduduki Jawatankuasa Negeri DAP Johor dalam pemilihan yang akan diadakan sekejap lagi. Namun, jika dipilih sekali lagi, saya akan mencalonkan Sdri Teo Nie Ching untuk jawatan Pengerusi DAP Johor. Semoga cadangan saya ini akan mendapat sokongan semua Ahli Jawatankuasa yang dipilih nanti. Perpaduan adalah kekuatan kita, dan perpaduan adalah kunci kemenangan.
Saya yakin Sdri Nie Ching akan memimpin parti kita untuk membawanya kepada era yang lebih baik.
Sekian.
Ucapan Sdr Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor, di Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor 2024 di Johor Bahru pada 6 Oktober 2024
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·