Liew Chin Tong adalah Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, dilantik pada 16 Disember 2025. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri setelah dipilih pada pilihan raya umum 19 November 2022, serta pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Johor bagi kerusi DUN Perling dari Mac 2022 hingga Mei 2026.
Sebelum ini, beliau adalah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dari Disember 2022 hingga Disember 2025. Dalam tempoh tersebut, beliau bekerjasama rapat dengan Menteri MITI YB Tengku Zafrul Aziz. Dengan berpandukan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kedua-dua mereka berjaya membentuk hala tuju strategik pembangunan industri Malaysia, khususnya dalam sektor semikonduktor, besi dan keluli, dan automotif bagi mencapai lonjakan kedua ekonomi Malaysia.
Beliau pernah dilantik sebagai Senator (2018-2021), dan memegang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan mulai 17 Julai 2018 hingga Februari 2020. Sewaktu di Kementerian Pertahanan, beliau membantu Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu untuk membentangkan Kertas Putih Pertahanan pertama Malaysia pada 2019.
Chin Tong dipilih buat kali pertama sebagai wakil rakyat apabila memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera pada pilihan raya umum 2008. Kemudian beliau ke Johor untuk bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen Kluang untuk penggal 2013-2018. Sejak tahun 1999, beliau berkhidmat dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam pelbagai kapasiti, termasuk dipilih menduduki Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP. Kini beliau memegang jawatan Pengarah Strategik.
Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Pengajian Asia daripada Australian National University, serta memiliki Ijazah Sarjana Antarabangsa Integrasi Serantau daripada Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.
Chin Tong juga pernah memegang jawatan Pengarah Eksekutif Penang Institute pada 2009-2012. Pada masa yang sama, beliau menerajui badan pemikir progresif, Research for Social Advancement (REFSA), dan pernah menjadi Felo Penyelidik Pelawat di Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS), Singapura. Beliau turut meminati isu-isu ekonomi, pertahanan dan keselamatan, pembaharuan institusi, Islam politik, keselamatan dan hubungan antarabangsa, serta kajian bandar.
Baru-baru ini beliau menerbitkan buku “Second Takeoff: Strategies for Malaysia’s Economic Resurgence” yang menggariskan visi beliau untuk lonjakan ekonomi negara yang kedua, pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal untuk warga Malaysia, dan usaha melahirkan masyarakat kelas pertengahan yang kukuh.