
Perdagangan Bebas Tanpa Kawalan Bukan Jalan Keluar daripada Dasar Perlindungan (Protectionism)

Terima kasih kepada Kementerian Ekonomi sebagai penganjur Forum Ekonomi Malaysia yang sudi menjemput saya menyertai panel “Dasar Perlindungan Global, Halangan Tarif dan Geopolitik” bersama dengan Profesor Kuik Cheng-Chwee, Dato Ruben Emir Gnanalingam dan Dr. Deborah Elms. Panel ini dimudahcara oleh Dr. Chua Hak Bin.
Dalam perbincangan ini, Prof Kuik mengingatkan kita bahawa “walaupun kita mungkin tidak berminat dengan geopolitik, geopolitik tetap akan memberi kesan terhadap kehidupan kita”.
Dunia kini memasuki fasa sejarah baharu, terutamanya dengan kembalinya pentadbiran Trump di Amerika Syarikat buat kali kedua. Globalisasi dan perdagangan bebas tanpa kawalan, yang kita telah lalui sejak runtuhnya Tembok Berlin pada 1989, bukan lagi merupakan dasar dan amalan yang diterima ramai.

Namun, tidak ada gunanya jika kita sekadar merungut tentang dasar perlindungan (protectionism) serta halangan tarif. Kita harus faham hakikat bahawa kegelisahan ekonomi dalam kalangan rakyatlah yang menyebabkan lahirnya dasar perlindungan dan politik populisme sayap kanan di negara-negara maju.
Bagi memastikan masyarakat Malaysia dan ASEAN tidak terheret bersama taufan populisme sayap kanan, adalah menjadi tanggungjawab bersama kerajaan dan sektor swasta di rantau ini untuk memastikan rakyat sentiasa rasa selamat, terjamin dan terlindung kehidupan mereka.

Bagi Malaysia dan ASEAN, perlu ada ruang untuk mewujudkan dasar industri. Walaupun sebelum ini pemuka-pemuka pasaran bebas memandang rendah terhadap dasar industri yang perlu dirancang, kini negara-negara maju, termasuk Amerika Syarikat dan negara-negara Kesatuan Eropah, pula mahu kembali menggubal dasar industri masing-masing.
Oleh kerana saiz ekonomi Malaysia agak kecil, kita tidak boleh bersendirian melaksanakan dasar industri. Bagi menangani berakhirnya era globalisasi dan dasar perlindungan, kita tidak boleh lagi meneruskan amalan perdagangan bebas tanpa kawalan. Yang lebih sesuai adalah untuk kita membina semangat serantau (regionalism) yang kukuh dan positif dalam bentuk dasar industri ASEAN.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·