Mengapa Saya Menganjurkan Karnival Kerjaya “Good Jobs”?

Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Penganjur Sdr Ng Jan Tzen dan pasukan beliau yang menjayakan karnival kerjaya ini. Saya juga berterima kasih kepada penganjur bersama FMM, JCI, MICCI, dan University of Reading Malaysia yang sudi menyediakan tempat untuk acara ini.

Terima kasih kepada semua syarikat selaku pempamer yang menyertai karnival ini atas keyakinan mereka kepada wawasan kami. Dan terima kasih kepada semua yang sudi hadir.

Mengapa pejabat saya menganjurkan program ini?

Sebuah masyarakat di mana para pekerjanya gembira mendapat gaji setimpal, dihormati di tempat kerja, dan mempunyai matlamat hidup, adalah masyarakat yang wujud dalam kitaran murni – bangga dapat hidup dalam sebuah negara yang harmoni.

Sejak sekian lamanya Malaysia mengalami masalah gaji rendah, kos rendah, kitaran kemahiran rendah. Gaji graduan hari ini tidak banyak berubah sejak 30 tahun lalu, apatah lagi gaji untuk mereka yang bukan graduan.

Ada pihak yang menyalahkan “daya saingan” atau “produktiviti” dalam kalangan anak muda sebagai punca masalah. Tetapi anggapan ini adalah salah.

Mengapa gaji pekerja Malaysia masih rendah?

Ini adalah kerana gaji di Malaysia ditentukan di Singapura dan Bangladesh.

Biar saya jelaskan. Ada kira-kira 1.1 juta warga Malaysia bekerja di Singapura, dan ada lebih kurang 2 juta pekerja Bangladesh di Malaysia.

Saya telah banyak kali berbual dengan warga Malaysia yang bekerja di Singapura, dan bertanya berapa gaji yang mereka mahu jika ditawarkan kembali bekerja di Malaysia. Jawapannya, jika dibayar sekurang-kurangnya dua pertiga daripada gaji Singapura.

Dengan wujudnya Zon Khas Ekonomi Johor-Singapura (JS-SEZ), kita mempunyai satu peluang keemasan untuk membuat perubahan.

Namun, banyak majikan Malaysia hanya mahu membayar gaji pekerja Bangladesh kepada warga Malaysia. Tidak cukup dengan gaji yang rendah itu, majikan juga mahu pekerja Malaysia bekerja lebih masa seperti pekerja migran. Bagi majjkan-majikan ini, gaji rendah dengan tempoh masa kerja panjang dianggap sebagai produktiviti. Tetapi bagi saya, itu bukan produktiviti yang kita mahu.

Produktiviti sebenarnya bukan sekadar kiraan berapa jam kerja seseorang pekerja boleh buat. Produktiviti melibatkan banyak mana kita laburkan untuk teknologi, berapa banyak automasi kita gunakan, dan kini berapa banyak kecerdasan buatan (AI) kita laksanakan.

Memang tidak dinafikan AI boleh mengambil alih sesetengah pekerjaan. Pada pandangan saya, oleh kerana AI mampu “mencuri” pekerjaan, kita perlu memastikan sebanyak mungkin pekerjaan berkemahiran dihasilkan untuk pekerja Malaysia.

Untuk menghasilkan pekerjaan berkemahiran, kita perlu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing tanpa kemahiran secepat mungkin, dan pada masa yang sama, menyediakan peruntukan kewangan bagi meningkatkan penggunaan teknologi.

Apa yang saya sebutkan ini telahpun dijadikan asas Kerangka Ekonomi Madani, dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Namun, kita perlu bersama-sama membina konsensus masyarakat untuk menjayakan dasar ini.

Syarikat-syarikat perlu sepakat membayar gaji lebih baik supaya warga kita rela dan gembira bekerja di Malaysia. Kita mahu syarikat-syarikat melabur dalam teknologi, dan bukannya terus meminta kerajaan membenarkan mereka mengambil lebih ramai pekerja asing tanpa kemahiran.

Sebenarnya, setiap kali orang datang meminta kebenaran agar lebih ramai pekerja asing diambil untuk syarikat mereka, saya akan memberitahu bahawa saya tidak setuju dengan cadangan itu.

Nasihat saya ialah, sila datang dan mari kita berbincang mengenai apa yang kerajaan boleh buat untuk membantu anda mentransformasi syarikat dari segi teknologi, membina pasaran baharu bagi mengatasi masalah akses pasaran, dan memastikan jaminan undang-undang dan peraturan bagi memajukan perniagaan.

Impian saya ialah melihat kerajaan, swasta, dan semua anggota masyarakat meletakkan pekerjaan sebagai keutamaan dalam kehidupan – model pertumbuhan perindustrian yang dijana oleh pekerjaan berkualiti.

Kita perlu mencipta lebih banyak pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal untuk warga Malaysia. Usaha ini perlu disegerakan kerana dunia telah cepat berubah pada tahun 2025.

Sebelum ini kita sudah biasa dengan perindustrian berasaskan eksport yang mengandaikan bahawa gaji tidak boleh dinaikkan bagi meningkatkan daya saingan untuk eksport murah ke Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, model ini sudah ketinggalan zaman kerana automasi, AI, dan “light-off factory” (kilang sepenuhnya automasi/robot) telah mengurangkan keperluan untuk buruh murah, dan ini menjadikan “re-shoring” (syarikat-syarikat kembali ke negara asal) di negara-negara maju dapat dilaksanakan.

Lebih penting lagi, Amerika Syarikat memang tidak mahu lagi terlalu banyak import kerana ia ingin melaksanakan proses “re-shoring”.

Sehubungan itu, kita perlu mencipta pasaran di negara kita sendiri dengan membayar gaji yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Harapan kita ialah apabila para pekerja yang mendapat gaji lebih baik akan berbelanja dalam pasaran tempatan, dan ini akan mewujudkan pasaran domestik yang kukuh bagi mengimbangkan sebarang perubahan global.

Sebagai satu masyarakat, kita perlu memastikan generasi muda tidak berasa terpinggir dan hilang keyakinan diri. Jika ini berlaku, tidak mustahil mereka mungkin bangkit mencetuskan huru-hara seperti yang kita lihat berlaku di Indonesia dan Nepal.

Saya harap Karnival Kerjaya Good Jobs akan dapat menginspirasikan perikatan antara majikan dalam bentuk Good Jobs Alliance di mana mereka boleh mewujudkan satu label yang boleh dipercayai melalui usaha menawarkan pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal kepada warga Malaysia. Pada masa yang sama, pengguna Malaysia boleh menyokong syarikat-syarikat ini, dan tidak perlu lagi bergantung kepada majikan-majikan yang masih bergantung kepada buruh asing.

Sebagai contoh, jika sebuah hotel menggajikan 80% warga Malaysia dengan membayar mereka gaji yang setimpal, katakan RM3,100 sebulan, yang merupakan gaji asas kehidupan yang ditetapkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), hotel tersebut boleh diterima sebagai penyedia perkhidmatan dengan label “Good Jobs”. Dengan ini, pengguna boleh memilih untuk menginap hotel itu. Semua GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah bersetuju dengan gaji asas RM3,100 untuk pekerja mereka. Ia boleh menjadi satu penanda aras.

Malangnya, syarikat-syarikat gergasi rantaian runcit masih membayar gaji minimum sahaja serta lebih mengutamakan pengambilan pekerja asing. Sementara kedai runcit kecil memerlukan masa untuk transisi, tidak ada sebab mengapa rantaian runcit besar tidak boleh membayar gaji lebih tinggi.

Memang kita akan galakkan rakyat Malaysia berbelanja di rantaia runcit besar atau hotel yang mempunyai label Good Jobs kerana mereka menyediakan pekerjaan dengan gaji setimpal untuk warga Malaysia.

Melalui aktivisme pengguna seperti ini dan kesedaran majikan, kita dapat memastikan warga Malaysia dibayar gaji setimpal dan pekerjaan berkualiti. Inilah bentuk solidariti #kitajagakita.

Terima kasih atas sokongan anda semua.

Ini adalah ucapan saya di Karnival Kerjaya “Good Jobs” pada 20 September 2025 di University of Reading Malaysia, Iskandar Puteri, Johor.

Kongsi artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel yang berkaitan