
Batik untuk Kelestarian Iklim

Krisis tenaga global yang berlaku akibat ketegangan di Asia Barat berikutan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran yang memaksa Iran menutup Selat Hormuz akan memberi kesan jangka panjang kepada landskap tenaga dunia, walaupun pada masa ini ia dalam tempoh gencatan senjata selama dua minggu.
Tentunya pelbagai langkah sedang dan akan diambil di Malaysia untuk menangani krisis ini. Satu daripada usaha ini yang dapat mengukuhkan identiti kita ialah pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam dan orang ramai secara lebih meluas.
Sehubungan itu, bukan sesuatu yang remeh bila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan bahawa penjawat awam digalakkan memakai batik, atau sekurang-kurangnya baju korporat, untuk keselesaan mereka apabila suhu penyaman udara di pejabat kerajaan dinaikkan kepada 24℃ atau 25℃.
Suatu ketika dahulu, mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew pernah mengarahkan suhu penyaman udara di semua pejabat kerajaan di negaranya direndahkan kerana beliau percaya pembangunan manusia dan ekonomi di Barat berjaya kerana iklim di sana lebih dingin dan selesa. Namun begitu, tiada fakta saintifik untuk membuktikan andaian beliau itu.

Mungkin generasi pemimpin kerajaan dan perniagaan dari dulu hingga hingga sekarang menganggap lounge suit bertali leher sebagai simbol kesopanan, disiplin, dan status, walaupun pakaian suit formal Barat tidak sesuai untuk iklim panas di negara kita. Untuk mengatasi ketidakselesaan itu, semua bangunan di Malaysia memasang penyaman udara dengan suhu yang rendah, menjadikan suasana dalam pejabat sangat sejuk.
Di Parlimen Singapura serta pejabat-pejabat kerajaannya hari ini, pakaian penjawat awam tidak lagi terlalu formal manakala di Indonesia, batik dianggap setaraf dengan pakaian formal Barat. Dan semakin banyak pula pejabat di Barat yang tidak lagi mewajibkan pemakaian suit dan tali leher.
Sejak lebih seabad lalu, banyak masyarakat Asia cuba memperkenalkan pakaian kebangsaan yang tidak memerlukan tali leher kerana ia dianggap simbol Barat. Contohnya jaket Nehru di India dan suit Mao di China serta Barong di Filipina. Dan tentunya Iran, selepas Revolusi Islamnya pada 1979, tidak lagi memakai tali leher walaupun berpakaian jaket suit, sebagai bantahan terhadap imperialisme Barat.
Malaysia juga melalui proses perubahan pakaian rasmi ini, cuma agak perlahan sedikit prosesnya.
Pada 5 Disember 2022, dalam mesyuarat Kabinetnya yang pertama, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama semua anggota Kabinet bergambar untuk potret rasmi dengan memakai suit tanpa tali leher. Pada Februari 2023, Speaker Dewan Rakyat yang mengikut jejak langkah Perdana Menteri, mengumumkan bahawa tali leher tidak lagi diwajibkan kepada semua Ahli Parlimen sewaktu persidangan.
Tiga tahun kemudian, pada Oktober 2025, penjawat awam Malaysia juga tidak diwajibkan memakai tali leher sewaktu bertugas di pejabat atau ketika menghadiri mesyuarat.
Sejak Hari Batik Malaysia diperkenalkan pada 3 Disember 2021, semua penjawat awam digalakkan memakai batik berlengan panjang setiap Khamis. Sejak Ogos 2023 pula, memakai batik pada Khamis diwajibkan manakala untuk hari-hari kerja yang lain mereka turut digalakkan memakai batik.
Mantan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada masa itu menjelaskan bahawa kerajaan mahu melaksanakan pekeliling 2014 yang menetapkan bahawa suhu penyaman udara di semua pejabat kerajaan perlu dipasang pada 24℃ atau 25℃.

Baru-baru ini, saya bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil melawat Galeri Batik Lestari yang terletak di tingkat bawah pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ia merupakan inisiatif yang baik untuk menyokong penggiat batik tempatan serta mengangkat martabat batik selaras dengan matlamat kelestarian dan warisan negara.
Krisis tenaga sekarang tidak akan berakhir begitu sahaja. Kita perlu mengambil langkah-langkah adaptasi bagi menghadapi cabaran jangka panjang ini. Jika memakai batik bererti suhu penyaman udara dinaikkan bagi memulihara serta menjimatkan tenaga, ia patut disokong demi kelestarian iklim yang turut membantu menguruskan permintaan tenaga.
Matlamat utama kita ialah membina daya ketahanan tenaga untuk Malaysia. Salah satu caranya ialah memakai batik. Ia bukan sahaja cantik dan menawan tetapi juga berfungsi untuk menjaga iklim dan alam sekitar.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·