Najib PM-4 yang ditumbangkan Mahathir?

Mahathir-Vs-Najib

Tatkala Singapura bersiap sedia untuk menyambut zaman pasca Lee Kuan Yew, berdepan dengan senario di mana susuk tubuh Harry Lee semakin uzur, secara ironinya Malaysia pula berkemungkinan menyambut kedatangan satu zaman yang didominasi Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Secara peribadi saya meramalkan bahawa seandainya Najib tidak menyerang balas, menjana pembaharuan yang menyeluruh, maka beliau mungkin menjadi Perdana Menteri keempat yang dijatuhkan Mahathir, menyusul langkah Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Biar kita imbas bagaimana Abdullah ditumbangkan Mahathir. Abdullah mengambil alih tampuk kuasa dengan menonjolkan imej “Saya bukan Mahathir”, didukung dengan suara rakyat. “Bukan-Mahathir” bermaksud, lebih demokratik, lebih bebas, dan lebih lemah-lembut dari segi politik, malah kurang kronisme dari segi ekonomi.

Namun demikian, dengan cepat Pak Lah terjerumus ke dalam kancah, sehingga gagal membebaskan diri dari lumpur. Pak Lah terjebak dengan “Sindrom Gorbachev” selepas PRU 11 pada tahun 2004, diselubungi kekhuatiran bahawa kuasa boleh terserah dari tangannya seandainya menggerakkan pembaharuan yang mendadak. Akhirnya terlalu ramai muka-muka dari puak konservatif dirangkum ke dalam kabinetnya, sehingga gagal memenuhi harapan reformasi dari kalangan rakyat. Lebih-lebih lagi, pemikir dan penasihat yang seharusnya menjana pembaharuan di sisinya pula dengan cepat terjebak ke dalam pertikaian amalan rasuah, lantas hilang keabsahan dari segi politik.

Mahathir menyerang kerajaan Abdullah buat kali pertama pada Jun 2005, dan menyerang Abdullah secara peribadi pada Jun 2006. Yang selebihnya tercatat sebagai sejarah.

Saya perlu menambah mengapa Mahathir dikatakan memainkan peranan untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, secara ringkas dalam ruang yang sekecil ini. Kita sedia maklum Mahathir dipecat dari UMNO selepas tragedi 13 Mei 1969, lantaran suratnya untuk mendesak agar Tunku berundur. Meskipun Mahathir mendakwa surat itu adalah sulit, namun salinannya tersebar luas diedarkan di sekitar Kuala Lumpur, dalam universiti dan kampung Melayu. Mahathir mempersalahkan Tunku kerana tunduk kepada orang Cina. Tafsiran Mahathir terhadap isu tragedi 13 Mei akhirnya diterjemahkan dalam hujah dan dasar rasmi kerajaan. Tunku berundur pada tahun 1970.

Dalam kes Tun Hussein Onn pula, Mahathir adalah dalang yang menyokong Sulaiman Ahmad (atau “Sulaiman Palestine”) untuk mencabar Tun Hussein Onn dalam pemilihan UMNO pada tahun 1978, sungguhpun ramai yang menganggap bahawa Harun Idris memainkan peranan di sebalik percaturan tersebut ketika itu. Buat kali pertama sejak penubuhannya UMNO menyaksikan pertandingan jawatan Presiden, dan calon ini berjaya meraih kira-kira 20% undi. Tujuannya bukan untuk menewaskan Hussein Onn tetapi untuk menghakis kredibilitinya.

Jelas, Mahathir adalah pihak yang menerima manfaat selepas Hussein Onn berundur. Mahathir diasak dari kiri dan kanan, terutamanya oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ghazali Shafie, sejak menjadi timbalan Hussein Onn. Malah Mahathir dituduh sebagai “agen komunis”. Tiga hari sebelum Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, setiausaha politiknya Siddiq Mohamed Ghouse ditahan di bawah ISA atas tuduhan “agen KGB”! Sememangnya Mahathir tidak sabar-sabar untuk menamatkan zaman Hussein Onn.

Sejarah berulang. Padahal kita tahu bahawa Mahathir tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Najib sebelum PRU13 pada tahun 2013. Namun, Mahathir tetap berkempen untuk UMNO kerana ingin memakbulkan impinannya agar anaknya Mukhriz dinobatkan sebagai Menteri Besar Kedah.

Kini Mahathir tidak terikat dengan apa-apa selepas kekalahan Mukhriz dalam pemilihan UMNO pada November 2013. Dari apa yang diamati sepanjang tempoh dua minggu pertama pada tahun 2014, nampaknya Mahathir telah bersedia untuk “menukarkan” Perdana Menteri. Kemungkinan Najib gagal mengubah nasib dirinya.

Masalah dengan Najib adalah beliau kurang ikhlas dalam pembaharuan, malah langkahnya tidak setanding Abdullah. Jikalau kita imbas kembali, ramai yang menganggap bahawa Abdullah adalah golongan demokrat yang mempunyai keikhlasan untuk membawa pembaharuan, tetapi tidak berkeupayaan dari segi pelaksanaan. Dari segi hubungan etnik, walaupun menyaksikan kebangkitan golongan sayap kanan pada zaman Pak Lah, tetapi Pak Lah masih dilihat berhasrat untuk memupuk integrasi kaum, cuma momentumnya terlalu lemah. Dari segi rasuah, ramai yang menuduh kerajaan korup ketika zaman Pak Lah. Namun kita rasa “Abdullah tidaklah sampai ke tahap sebegitu” apabila melihat kemewahan dan keborosan pasangan suami isteri Najib dan Rosmah.

Najib perlu memenangi undi di pertengahan dalam politik seandainya mahu menyelamatkan dirinya. Najib perlu menangkis puak konservatif, memandang berat keperitan rakyat jelata, mengasingkan dirinya dari Mahathirisme. Jika tidak, Najib bakal menjadi PM keempat yang dijatuhkan Mahathir, dan Malaysia akan menyaksikan kembalinya Mahathirisme.

Share this article
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Articles

Rental Housing

This morning, I asked a supplementary question in the Johor State Assembly to the EXCO for Housing and Local Government Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor on the question…
Read More