Barangkali, Kak Wan PM Malaysia akan datang?

Wan azizah

Barangkali tanggal 7 Mac 2014 bakal tercatat sebagai penentu senario politik untuk beberapa tahun akan datang, setelah Mahkamah Rayuan menyekat langkah Anwar Ibrahim ke PRK Kajang dengan menolak penghakiman bahawa Anwar tidak bersalah. Sama ada langkah menukar kerajaaan persekutuan akan dipercepatkan, atau ditangguh? Apakah langkah UMNO untuk memenjarakan Anwar secara tidak langsung menjadikan Kak Wan tampil sebagai calon Perdana Menteri pada masa depan?

Kerajaan Najib melantik peguam UMNO Shafee Abdullah sebagai ketua pendakwa dalam kes Liwat II, kemudian secara tergesa-gesa menyempurnakan proses pendengaran rayuan dan menjatuhkan hukuman. Jelas, tujuannya untuk menghalang Anwar daripada bertanding dalam PRK Kajang dan seterusnya menyandang jawatan Menteri Besar Selangor.

UMNO, terutamanya puak Mahathir Mohamad agak bimbang seandainya Anwar memberi persepsi dan imaginasi yang berbeza untuk pengundi Melayu setelah mengambil-alih jawatan MB Selangor. Di bawah sistem federalisme Malaysia, meskipun bidang kuasa kerajaan negeri atau Menteri Besar tidaklah sebesar mana, namun MB berkongsi gelaran Yang Amat Berhormat dengan PM – maknanya, martabatnya agak setara dari kaca mata masyarakat Melayu – sesuatu yang gagal diterima Mahathir dan konco-konconya.

Seandainya rayuan Anwar ke Mahkamah Persekutuan berakhir dengan kegagalan, maka beliau terpaksa menjalani hukuman penjara. Jikalau ia berlaku dalam tempoh tiga tahun dari persidangan pertama Dewan Rakyat selepas PRU13, maka kita terpaksa berdepan dengan PRK Permatang Pauh.

Dari perhitungan pakar strategi UMNO, langkah memenjarakan Anwar bakal menyaksikan perpecahan Pakatan, mengulangi nasib yang menimpa Barisan Alternatif pada tahun 2001. Maklumlah, seandainya Pakatan pecah berkecai, maka UMNO-BN akan terus berkuasa dari dulu, kini dan selama-lamanya. Namun demikian, seandainya Anwar dipenjarakan, ia boleh memberi makna yang lain seperti berikut:-

Pertama, tiada harapan reformasi dalaman. Mahkamah Persekutuan membubuh noktah kepada tempoh pemenjaraan Anwar selama enam tahun pada 2 September 2004. Beliau dipecat pada 2 September 1998, dan ditahan pada 20 September tahun yang sama. Populariti Abdullah Ahmad Badawi melambung di kemuncak ketika Anwar dibebaskan. Abdullah yang juga berasal dari Pulau Pinang mempunyai hubungan persaingan dengan Anwar. Abdullah meniru slogan reformasi selepas mengambil-alih tampuk kuasa, dan mencapai kemenangan besar dalam PRU11 pada tahun 2004.

Zaman Anwar berada dalam kerajaan dan peringkat awal kerajaan Abdullah memberi harapan bahawa reformasi boleh berlaku dalam sistem UMNO atau BN. Najib juga cuba untuk menonjolkan dirinya sebagai reformis dalam sistem melalui pelbagai projek transformasi.

Penghakiman pada 7 Mac mengembalikan Malaysia kepada perpecahan pada tahun 1998. Sekali lagi, dengan jelas ia memperlihatkan bahawa mustahil reformasi berlaku dalam sistem ini. Institusi negara hanya pulih setelah UMNO-BN ditumbangkan.

Kedua, keterbatasan kerajaan negeri. Dalam PRU12 dan PRU13, pengundi Malaysia telah menjurus kepada senario 50-50 dari segi undi popular, antara BN dengan PR – ke arah pembentukan sistem dua parti. Sebaliknya, pendekatan UMNO memerintah semakin autoritarian, dengan kuasa semakin dipusatkan ke arah kerajaan persekutuan, terutamanya dalam genggaman Jabatan Perdana Menteri.

Tsunami politik pada 8 Mac 2008 membuka ruang agar PR mengepung kerajaan pusat dengan kerajaan negeri – memberi tekanan kepada BN di pusat dengan prestasi PR di negeri. Matlamat akhir percaturan strategi Anwar bertanding di DUN Kajang adalah untuk memperbesarkan impaknya terhadap kerajaan pusat. Memikirkan kemungkinan Anwar menjadi MB sudah cukup menggerunkan Mahathir, sehingga mengambil langkah segera untuk menyekatnya.

Nampaknya strategi untuk mengasak kerajaan pusat dari kerajaan negeri sudah menemui kebuntuannya, dan menukar kerajaan persekutuan menjadi satu-satu jalan keluar. Kita terpaksa kembali ke gelanggang dengan mengerah kuasa rakyat, membina momentum politik baru dari keghairahan rakyat menghambat pendemokrasian.

Ketiga, pertembungan antara baik dengan buruk. Retorik “rekonsiliasi nasional” yang diuar-uarkan sebelum ini terkoyak begitu sahaja. Penghakiman 7 Mac menamatkan segala kemungkinan konsensus antara pemerintah dengan pembangkang, malah khayalan sesetengah yang mahu menjayakan pembentukan “kerajaan perpaduan”. Mustahil UMNO berubah, yang tinggal hanyalah nafsu untuk berkuasa sehingga kiamat. Malah untuk memenuhi tujuan itu, mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa garis dasar moral.

Antara UMNO dengan Malaysia, kita menyaksikan pertembungan antara yang lama dengan yang baru, yang lalu dengan yang akan datang, yang buruk dengan yang baik. Tiada jalan singkat ke arah pendemokrasian dan reformasi, melainkan kita mengorak selangkah demi selangkah ke arahnya.

Keempat, kemunculan generasi Reformasi 2.0. Gelombang Reformasi pada tahun 1998 melahirkan sekumpulan anak muda yang terpanggil untuk melibatkan diri dalam politik sebagai kerjaya sepenuh masa. Saya berusia 21 tahun ketika itu, dan kini saya sudah berumur 37 tahun. Tidak kurang anak muda yang mencurahkan tenaga untuk reformasi politik, dan usaha kita sepanjang puluhan tahun ini, tidaklah sia-sia. Penghakiman 7 Mac bakal melahirkan satu generasi baru Reformasi.

Kelima, Kak Wan jadi PM? Kemungkinan besar Anwar tidak boleh bertanding lagi lantaran penghakiman pada 7 Mac yang lalu, meskipun tidak dipenjarakan – sehinggalah Pakatan memerintah pada suatu hari nanti. Barangkali UMNO tidak terjangka kesudahan ini apabila menafikan Anwar ke gelanggang politik pilihan raya, apabila UMNO perlu berdepan dengan Kak Wan yang sarat dengan potensi dalam dirinya.

Untuk 16 tahun yang lalu, saban hari media arus perdana mencalar imej Anwar – dari peribadinya hinggalah tuduhan bahawa beliau gagal menguruskan partinya. Sedikit sebanyak fitnah ini berkesan, terutamanya di kalangan kaum wanita di kawasan separa kampung.

Bagaimanapun, imej Kak Wan tidaklah terjejas sangat. Kak Wan sekali lagi bertanding untuk suaminya, demi menegakkan keadilan – satu imej politik dengan mesej yang lantang. Ia boleh menjadi senjata terbaik untuk Pakatan, lebih-lebih lagi seandainya dibandingkan dengan imej kontra isteri Najib, Rosmah Mansor. UMNO tercari-cari “peluru” untuk membedil Kak Wan, dan akhirnya Khairy Jamaluddin sekadar mampu untuk menyerang Kak Wan sebagai “boneka” Anwar – itupun boleh ditangkis dengan mudah sekali.

Mungkin ada asasnya, yang mendorong keyakinan saya, bahawa Kak Wan adalah PM Malaysia yang dinobatkan UMNO secara tidak sengaja.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles