Tanpa pengangkutan awam yang baik, kenaikan harga petrol bakal tingkatkan kematian penunggang motosikal

Keputusan Kerajaan menaikkan RM0.20 harga petrol masing-masing pada 1 Januari dan Februari tahun ini telah memberikan kesan ekonomi yang besar melibatkan kos sara hidup rakyat. Saya sendiri telah menegaskan bahawa hal ini menjadi penyumbang kepada peningkatan kemalangan motorsikal khususnya.

Apa yang benar-benar membimbangkan saya, dengan tahap akses kemudahan pengangkutan awam yang amat terbatas di Malaysia, kita khuatir akan menyaksikan lebih banyak nahas kemalangan jalan raya melibatkan nyawa pengguna motorsikal pada hari-hari yang mendatang nanti.

Kajian menunjukkan, nahas kemalangan jalan raya yang meragut nyawa para penunggang motorsikal telah meningkat pasca kenaikan harga petrol pada Mac 2006 dan Jun 2008 akibat kebanyakkan rakyat memilih untuk beralih daripada memandu kereta kepada menunggang motorsikal demi mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung. Keadaan sama dijangka berulang lebih-lebih lagi di saat ekonomi Malaysia yang sangat lembap ketika ini.

Kemalangan maut penunggang motorsikal adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding pemandu kereta, 6 kali lebih tinggi berbanding pejalan kaki bahkan hampir 50 kali lebih tinggi pula berbanding pengguna bas. Pada angka yang lain, 60% kemalangan maut di jalan raya adalah melibatkan motorsikal.

Hal ini dapat dielakkan sekiranya Malaysia memiliki sistem pengangkutan awam yang baik dan berkesan.

Di negara yang memiliki sistem pengangkutan awam yang baik dan efisyen, kenaikan harga petrol akan mendorong rakyat memilih pengangkutan awam sebagai opsyen.

Dalam keadaan perkhidmatan LRT dan MRT dilihat sebagai sebahagian daripada prasarana pengangkutan awam yang ada di Malaysia, ia masih tidak memberikan solusi kepada rakyat.

Mengapa? LRT dan MRT saya sifatkan sebagai projek mega yang memakan belanja berbilion ringgit namun bukan bermatlamatkan menaik taraf pengangkutan awam sebaliknya dicipta untuk keuntungan golongan pemaju. Kesannya jelas, projek mega ini tidak memberi kesan pun kepada kawasan luar bandar mahupun bandar-bandar yang bukanlah utama, tidak sepertimana Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Bahkan di Lembah Klang sekalipun, laporan menunjukkan bahawa jajaran LRT dan MRT tidak menyumbang kepada penurunan kadar kesesakan trafik apatah lagi mendorong rakyat menjadikannya sebagai pilihan akibat harga tambang yang tinggi dan kesukaran sambungan akses kepada sistem pengangkutan bas awam (feeder bus system).

Kini masanya untuk rakyat mendesak agar perkhidmatan bas awam kita ditingkatkan. Sekiranya ia dibangunkan dengan baik, ia bakal menjadi pengangkutan awam paling efisyen buat rakyat dengan kos yang lebih murah. Ia adalah langkah segera penaiktarafan pengangkutan awam yang mesti diambil dan berupaya memanfaatkan lebih ramai rakyat di lebih banyak kawasan seluruh negara.

Untuk merealisasikan hal ini, kita tidak boleh lari dari melakukan reformasi institusi.

Pertama, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mestilah diletakkan dibawah Kementerian Pengangkutan bagi memastikan dasar penambahbaikan pengangkutan awam menjadi agenda terpenting Menteri dan Kementerian Pengangkutan di Malaysia.

Kedua, sebahagian kuasa mengurus pengangkutan awam mestilah diberikan kepada Kerajaan Negeri. Dengan ini Kerajaan Negeri memiliki lebih banyak kuasa untuk merancang, mengurus dan menyediakan pengangkutan awam bagi memastikan akses kepada pengangkutan awam ini benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak merentasi daerah mahupun bandar-bandar tertentu.

Ketiga, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mestilah memberi penekanan terhadap aspek pengangkutan bas awam dalam setiap perancangan bandar. Hal ini bagi memastikan rakyat terbanyak benar-benar mendapat manfaat dari sistem pengangkutan awam yang baik dengan kadar tambang yang berpatutan serta akses lokasi yang efisyen.

Saya anggap satu langkah yang cukup sarkastik telah diambil oleh sesetengah pemimpin UMNO yang bertindak memberikan minyak percuma kepada pengguna motorsikal di sesetengah stesen minyak.

Boleh diterima akal sekiranya ia dilakukan oleh pemimpin pembangkang sebagai tanda solidariti kepada rakyat marhaen yang menerima kesan besar terhadap kenaikan harga petrol. Namun bagi pemimpin UMNO, ia amat melucukan sekali. Tidakkah mereka sedar bahawa kerajaan yang dipimpin oleh parti mereka sendirilah yang telah menyusahkan rakyat dengan menaikkan harga petrol sebanyak 2 kali dalam senggang masa kurang dari 2 bulan tahun ini?

Pada masa yang sama, saya mendesak agar Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Najib Razak segera membentangkan mekanisma harga petrol dan diesel untuk menunjukkan ketelusan pihak Kerajaan.

Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Ahli Parlimen PJ Utara Tony Pua, tiada asas kukuh kepada kenaikan harga petrol yang dilakukan baru-baru ini. Sekarang masanya pihak Kerajaan membentangkan kepada umum bagi menjawab keraguan ini.

Mereka yang memegang tampuk kuasa diatas sana perlu sedar bahawa setiap kali anda membiarkan kenaikan harga petrol ini, setiap itulah ia menyumbang kepada peningkatan kadar kematian di jalanraya khasnya melibatkan golongan berpendapatan rendah yang menunggang motorsikal.

(KENYATAAN MEDIA PENGARAH PENDIDIKAN POLITIK DAP KEBANGSAAN MERANGKAP AHLI PARLIMEN KLUANG LIEW CHIN TONG PADA 2 FEBRUARI 2017.)

 

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose โ€” to make profits for its shareholders. For over…
Read More