
Mesej sempena memperingati Hari Menolak Hukuman Mati Sedunia ke-15: Adakah bil pemansuhan hukuman mati akan dibentangkan di sidang Parlimen dalam dua minggu lagi?
- 10 October 2017
- Institution, National

Kenyataan media oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 10Oktober 2017 di Kuala Lumpur.
Pada 10 Oktober 2017, kita memperingati Hari Menolak Hukuman Mati Sedunia buat kali ke-15. Setiap tahun, tema dan inisiatif berbeza digunakan dalam berkempen menghapuskan hukuman mati. Inisiatif tahun ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang sebab-sebab kenapa golongan yang hidup dalam kemiskinan lebih berisiko dijatuhkan hukuman itu.
Kempen itu antara lain menjelaskan bahawa: “Pelaksanaan hukuman mati berkait rapat dengan kemiskinan. Ketidak-adilan sosial dan ekonomi mempengaruhi keadilan terhadap mereka yang dijatuhkan hukuman mati atas beberapa alasan: pihak tertuduh mungkin kekurangan sumber (sosial dan ekonomi, selain pengaruh politik) untuk membela diri dan dalam sesetengah kes akan didiskriminasi kerana status sosial mereka.”
Mesej ini merupakan peringatan yang tepat pada masanya untuk rakyat Malaysia ketika kita cuba membayangkan pelaksanaan hukuman itu dalam negara kita di masa depan. Hukuman mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah. Pensabitan yang tidak tepat berdasarkan proses yang mempunyai kelemahan tidak boleh ditarik semula atau diperbetulkan. Nyawa individu yang tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman itu tidak dapat dikembalikan.
Tiada sesiapa yang boleh menjamin proses siasatan, pendengaran kes serta pensabitan hukuman yang tidak berat sebelah atau bebas daripada rasuah. Baru minggu lepas, seorang warga Korea Utara yang disiasat dalam kes berkaitan dadah dibebaskan di Seremban selepas mahkamah mendapati seorang pegawai polis menipu dalam siasatan. Kes seumpamanya boleh membawa hukuman mati.
Di Malaysia, kempen untuk menghapuskan hukuman mati mengambil pendekatan secara berperingkat. Hasil dari perbincangan dalam persidangan parlimen pada Jun 2011 mencapai konsensus untuk mengutamakan agenda untuk menghapuskan hukuman mati mandatori dan mengembalikan kuasa menjatuhkan hukuman kepada budi bicara hakim, terutama dalam kesalahan melibatkan dadah.
Bagaimanapun, usaha untuk mencapai tujuan itu berjalan perlahan dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.
(1) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said memberitahu persidangan Anggota Parlimen Untuk Tindakan Global (Parliamentarians for Global Action) di Parlimen Malaysia pada 25 Julai 2017 bahawa bil menghapuskan aspek mandatori dalam hukuman mati berhubung kes jenayah melibatkan dadah akan dibentangkan kepada kabinet sebelum diundi di Parlimen.
(2) Dalam jawapan parlimen bertarikh 7 Ogos 2017, kerajaan mengumumkan Kabinet telah meluluskan satu bil yang akan meminda Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya untuk menyerahkan kuasa kepada kehakiman dalam mempertimbangkan hukuman yang dianggap setimpal, yang seharusnya dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.
Sesi Parlimen seterusnya akan bersidang kali terakhir untuk tahun ini pada 23 Oktober 2017. Kami sangat berharap bil itu yang dikatakan sudah berada dalam peringkat draf sekian lama, akhirnya dibentangkan di Parlimen.
Saya menggesa menteri Azalina untuk menyerahkan draf bil itu kepada ahli-ahli Parlimen sebelum sesi Parlimen bersidang agar ahli Parlimen, badan hak asasi dan masyarakat awam boleh mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan ke atas bil tersebut bagi memastikan perbahasan yang bermakna dalam sesi Parlimen kelak.
Share this article
Related Articles


- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆

- 12 Sep 2023·
Green transition as a new investment opportunity
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.