

Ucapan oleh Pengerusi DAP Johor dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong di Pidato Luaskan Harapan di Labis pada 13 Oktober 2017 (disiarkan pada 14 Oktober)
Menteri Besar Johor Khaled Nordin mendakwa kerajaan negeri yang dipimpinnya sangat cemerlang dari segi ekonomi. Masalahnya, di sebalik gambaran yang baik-baik itu, rakyat Johor berhadapan dengan kepayahan ekonomi.
Ketika Khaled yang memuji diri sendiri diperdaya oleh ekonomi fantasinya, soalan-soalan ini perlu ditanya: Bagaimana untuk menilai suatu ekonomi yang dikatakan dalam keadaan baik? Apakah kayu ukurnya? Siapa yang menikmati perkembangannya?
Ekonomi hanya dikira berkembang jika menguntungkan golongan biasa. Dalam kes Johor, tiada perkembangan meluas yang dikongsi dan boleh dinikmati oleh semua dalam tempoh empat tahun di bawah pentadbiran Khaled sebagai menteri besar.
Jika benar kemakmuran ekonomi Johor dikongsi, jumlah rakyat Malaysia yang menyebrang Tambak Johor setiap hari tidak akan meningkat daripada 200,000 kepada 300,000 sejak 2013 sehingga kini. Jika mereka semua dapat bahagian masing-masing, tiada keperluan untuk mereka ulang-alik setiap hari ke Singapura sebagai pekerja asing.
Pada satu tahap boleh dikatakan ekonomi pekan-pekan keci di Johor dijana oleh aliran masuk wang pekerja warga Malaysia di Singapura (selain mereka yang bekerja di Lembah Klang).
Malangnya, tak ada pihak yang tampil untuk meningkatkan penghidupan golongan pekerja di Johor. Kerajaan Malaysia dan Singapura masing-masing bersaing mengenakan kos tambahan untuk masuk ke Singapura. Cadangan DAP untuk pembinaan pejalan kaki elektrik (walkalator) bagi memudahkan perjalanan ke Singapura tidak diendahkan oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.
Di selatan Johor, terutama di wilayah Iskandar, menyaksikan pembinaan bangunan pencakar langit dan projek-projek besar lain selama empat tahun kebelakangan sejak pilihan raya umum 2013. Namun, adakah projek-projek hartanah itu menguntungkan rakyat biasa? Jawapannya “tidak”.
Sesetengah projek pembangunan yang dilaksanakan oleh pemaju China itu malah mengorbankan kawasan pantai dan tepi laut yang sebelumnya merupakan tempat umum dan kini telah bertukar menjadi kawasan peribadi yang cuma dinikmati segelintir pihak tertentu yang berkemampuan.
Tanya mana-mana rakyat Johor yang tinggal di kawasan metropolitan di selatan Johor tentang perkembangan positif dalam tempoh pentadbiran Khaled dan mereka akan memberitahu “selain daripada pembangunan hartanah yang menguntungkan golongan kaya, tak ada perkembangan lain yang boleh disebutkan”.
Kemudahan dan perkhidmatan majlis perbandaran tidak meningkat, jalan raya dan saliran masih kotor, pengangkutan awam pula tidak dilihat bertambah baik; malah sebaliknya, kesesakan tetap berterusan. Di luar selatan Johor, keperluan asas dan perkhidmatan utama yang seharusnya disediakan kerajaan iaitu bekalan air bersih sekalipun tidak ada penambahbaikan sejak empat tahun lalu.
Bagaimana pula dengan peluang pekerjaan? Johor mencatat kadar pengangguran paling tinggi dalam dekad ini iaitu pada kadar 3.6% pada 2016 – lebih parah berbanding kadar seluruh negara yang berada pada 3.4%. Pada 2007, kadar pengangguran di Johor cuma 2%. Kadar pengangguran di kalangan anak muda di Malaysia tahun lepas pula adalah 10.5% dengan Johor mencatat kadar 11.6%.
Projek minyak dan gas asli di Pengerang sepatutnya membantu mengurangkan pengangguran di kalangan rakyat Johor. Namun, projek itu tidak membawa banyak peluang pekerjaan kerana kebanyakannya melibatkan sektor pembinaan yang lebih banyak memerlukan buruh asing.
Setelah projek siap sekalipun, sektor minyak dan gas asli tidak akan menjadi sektor yang akan melonjakkan ekonomi seperti yang dijangka kerana sektor itu mengalami kegawatan sejak harga minyak jatuh pada 2014.
Di luar kawasan wilayah Iskandar, pentadbiran Khaled dilihat lebih banyak kelemahan. Walaupun dengan potensi bandar-bandar kecil yang dianggap mempunyai banyak sumber untuk menjana ekonomi – seperti di Kluang, Batu Pahat, Muar, Segamat dan lain-lain, golongan muda dari kawasan-kawasan ini terpaksa mencari pekerjaan di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura.
Khaled dan kerajaannya boleh canang apa saja yang mereka suka. Terpulang kepada pengundi untuk tentukan sendiri. Kita tahu pengundi tidak akan menilai dari persembahan yang berwarna-warni dan gambaran yang baik-baik namun sebaliknya melihat situasi sebenar penghidupan mereka – yang dipenuhi pelbagai kesukaran.
Share this article
Related Articles


- 22 Sep 2023·
Harmonising ESG practices

- 16 Sep 2023·
𝗪𝗵𝗮𝘁 𝗜 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗮𝗯𝗼𝘂𝘁 𝘁𝗵𝗲 𝗵𝗶𝗴𝗵𝗲𝗿 𝗽𝘂𝗿𝗽𝗼𝘀𝗲 𝗼𝗳 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝘆
Join Us
Let’s build the next wave together
To all Malaysians who created the GE14 miracle, keep fighting. We will be back stronger.