
Warga Pertahanan
- 22 Julai 2019
- Keselamatan, Negara

Kita berkumpul di sini hari ini untuk membincangkan satu topik yang cukup penting, iaitu “People in Defence”.
Kita semua sedia tahu tentang konsep ketenteraan yang berbunyi “Man, Machine, Method”.
Untuk menang dalam apa jua peperangan, sewajarnya kita perlu memilih mereka yang sesuai untuk menjadi anggota tentera, seterusnya memastikan mereka dilengkapi dengan peralatan yang sepatutnya, dan menggunakan kaedah yang berpatutan.
Hakikatnya, elemen manusia ataupun ‘man‘ itu sendiri antara ‘man, machine, dan method’ merupakan faktor yang paling penting; sekiranya tiada manusia itu, maka mesin dan kaedah tidak dapat dikendalikan.
Oleh itu, sangat penting bagi kita menjadikan Angkatan Tentera Malaysia sebagai organisasi premier, dalam rangka menarik insan yang berbakat dan memastikan mereka dijaga dengan baik demi kejayaan angkatan tentera kita.
Macam manakah pula kita dapat menarik insan-insan berbakat dan menjadikan ketenteraan itu sebagai antara kerjaya pilihan utama?
Persoalan ini menjadi lebih penting memandangkan peperangan tidak lagi terhad kepada peluru dan pertempuran.
Misalnya, alam maya merupakan medan terbaru yang tidak kenal batas dan sempadan antarabangsa, maka keperluan untuk insan yang berkemahiran tinggi dalam ilmu pertahanan dan pengendalian siber sudah tentu menjadi semakin mendesak bagi negara kita.
Misalnya, sekiranya bilangan anggota tetap seramai 123,000 dikekalkan, bolehkah kita juga memperkasakan Pasukan Simpanan dan Sukarela yang seterusnya boleh menjadi elemen bantuan yang lebih berkesan?
Kalau begitu, kita sewajarnya fikirkan bagaimanakah kita boleh memantapkan pengalaman askar simpanan dan turut memberi lebih fleksibiliti untuk menarik minat belia zaman sekarang. Jika dahulu, semuanya soal angka, kerana pasukan simpanan adalah bersifat teritorial mengikut geografi. Populasi rakyat Malaysia hari ini bertumpu di bandar-bandar utama. Justeru itu hari ini kita harus memberi fokus kepada cara-cara untuk memudahkan penglibatan warga muda di bandar-bandar dan kumpulan-kumpulan pakar.
Sekiranya pengurusan pasukan simpanan dimodenkan dengan teknologi baru dan memberi fleksibiliti kepada belia untuk memilih masa dan tempat latihan, sudah tentu lebih ramai daripada mereka akan menyahut seruan untuk berkhidmat untuk negara mereka.
Pada masa yang sama, bakti veteran kita kepada negara tidak terhenti apabila mereka bersara.
Malah, golongan veteran, terutamanya mereka yang baru bersara, merupakan satu sumber modal insan yang berpengalaman.
Sumbangan mereka kepada membangunkan negara dan ekonomi masih diperlukan.
Oleh itu, harus wujud satu anjakan paradigma oleh kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dan bermaruah untuk golongan veteran kita. Pekerjaan itu penting untuk mereka yang baru bersara pada umur 40-an dengan gaji yang berpatutan.
Akan tetapi, mendapatkan modal insan berbakat tinggi hanyalah sebahagian daripada faktor kejayaan.
Tanpa menjaga kesejahteraan mereka, sudah tentu mereka akan kehilangan semangat.
Sangat penting bagi kita untuk mengukuhkan lagi pengalaman asas ketenteraan untuk anggota kita, misalnya melalui peruntukan yang lebih untuk pemulihan dan penyenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
Dengan ini, kita dapat memastikan mereka sentiasa tenteram dan lebih berfokus kepada tugasan mereka.
Begitu juga dengan kualiti rangsum, keupayaan mobiliti, dan kecukupan peluru dan ordnans untuk anggota kita yang saban hari saban malam bertungkus lumus di medan.
Tidak harus juga dilupakan kaum wanita yang telah dan sedang menyumbang kepada pertahanan negara. Saya harap agenda wanita diangkat sebagai satu agenda yang penting.
Penglibatan wanita dalam pertahanan negara sama ada dari aspek analisis, strategi, kesihatan mahupun operasi pengaman sememangnya tidak dapat dinafikan.
Justeru itu, kita harus mempunyai dasar yang lebih peka dari segi jantina (gender-responsive policy) supaya lebih kaum wanita boleh digalakkan untuk menyertai ATM.

Seiring dengan perkembangan persekitaran keselamatan kontemporari yang semakin hari semakin kompleks.
Tugas ATM kini tidak lagi hanya terhad kepada mempertahankan negara daripada ancaman luar, tetapi kini juga telah diperluaskan lagi kepada mempertahankan negara daripada non-traditional security threats, serta melaksanakan Military Operations Other Than War (MOOTW) seperti Humanitarian Assistance and Disaster Relief Operations (HADR). Ramai rasa ATM itu first responders, tetapi sepatutnya ia last resort. Kita memerlukan satu konsensus nasional atas peranan ATM supaya kita tidak anggap ATM sebagai tenaga kerja murah.
Namun begitu, tanggungjawab untuk mempertahankan negara bukanlah merupakan tanggungjawab ATM semata-mata.
Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab kolektif semua lapisan masyarakat.
Dalam kalangan pegawai awam, sewajarnya kita perlu pertimbangkan cadangan untuk mewujudkan litaran khas penjawat awam yang berkhususkan ilmu dan pengalaman bidang keselamatan dan pertahanan.
Pegawai-pegawai ini seterusnya perlu digilirkan antara Kementerian dalam Kluster Keselamatan, iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, dan Majlis Keselamatan Negara.
Secara tidak langsung, cadangan ini akan menjadi satu batu loncatan penting untuk mewujudkan satu komuniti keselamatan dalam negara kita. Masyarakat tersebut akan terdiri daripada pakar keselamatan daripada semua lapisan masyarakat juga, misalnya ahli akademik dan sektor swasta. Mereka ini membawa kepakaran dan kemahiran yang boleh menambah nilai kepada usaha kerajaan sedia ada.
Justeru itu, kita perlukan sebuah “Pertahanan Komprehensif” (Comprehensive Defence) yang melibatkan pendekatan whole-of-nation kerana kita perlu menyedari hakikat bahawa isu pertahanan negara tidak boleh dilihat in-isolation.
Sebaliknya isu ini, perlu dilihat sebagai national concern melalui penyatuan semua sumber negara dengan sebaik mungkin dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara dan melindungi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.
Walau bagaimanapun, ingin saya tekankan di sini bahawa peranan utama ATM adalah untuk berlatih dan menyediakan diri bagi menghadapi pertempuran.
Maka, adalah penting bagi kita untuk mendefinisikan peranan utama dan sekunder (secondary) dengan jelas dan menentukan dengan nyata di peringkat mana ATM perlu memainkan peranannya.
Perkara ini adalah penting supaya semua aktor yang terlibat dapat saling melengkapi dari segi fungsi masing-masing dan bergabung sumber supaya segala usaha yang operasi yang dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar, efesien dan cost effective.
Ingin juga saya nyatakan di sini yang kita amat bertuah kerana berkesempatan dan berpeluang untuk mengkaji semula konsep pertahanan negara melalui proses yang sedang kita lalui bersama, iaitu melakar Kertas Putih Pertahanan Pertama negara kita Malaysia.
Sehubungan dengan itu, Kementerian telah mengadakan beberapa siri dialog bersama pemegang taruh dan program turun padang untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak tanpa mengira umur mahupun latar belakang.
Perbezaan pandangan atau pendapat adalah lumrah dalam percambahan ilmu dan fikiran, namun diharap sesi ini dapat menjadi satu platform percambahan idea dan ilmu yang rancak dalam memastikan Kertas Putih Pertahanan yang sedang dibangunkan ini berupaya memperkasakan warga-warga ATM, MINDEF dan segala “people in defence”.
* Ucapan di Perwira Dialog ke-3: People In Defence, di Kuala Lumpur
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!