Keyakinan budaya dan rasa saling percaya

Saya ucap tahniah kepada lembaga sekolah SJKC Chung Hua Klang kerana telah berjaya menyiapkan bangunan sekolah dan dewan serbaguna yang begitu mengagumkan ini. 

Sempena majlis yang begitu istimewa, saya ingin bercakap tentang keyakinan budaya serta rasa saling percaya dalam masyarakat majmuk.

Dahulu, Malaysia dipecah-perintah dengan menggunakan rasa takut. Lebih tepat lagi, rasa takut terhadap ‘orang lain’. Melayu takutkan Cina, Cina takutkan Melayu, dan begitulah seterusnya. Ini jelas kelihatan dalam lapangan budaya.

Sebagai sebuah masyarakat, kita kurang keyakinan terhadap identiti sendiri, oleh kerana itu, kita melihat ‘orang lain’ sebagai ancaman. Ada orang Cina yang bimbang pegawai-pegawai kerajaan berketurunan Melayu akan cuba menghapuskan identiti budaya mereka. Ada juga Melayu yang berfikir bahawa orang Cina sedang berkomplot untuk mendominasi orang Melayu. Ada orang politik dan kumpulan media yang berkembang maju hasil daripada syakwasangka dan ketakutan yang sedemikian.

Untuk melangkah maju sebagai sebuah negara yang bersatu padu, kita harus meraikan kebolehan bercakap pelbagai bahasa, yang menjadi warisan kita bersama.

Secara am, orang Melayu bercakap bahasa Melayu dengan pelbagai dialek berbeza seperti Kelatan, Jawa, Kedah dan sebagainya. Begitu juga orang Cina dan India yang bertutur dalam bahasa ibunda mereka dalam pelbagai loghat juga. Di Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu dituturkan secara meluas dengan begitu banyak dialek.

Kebanyakan generasi muda daripada kaum Cina dan India dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan sangat fasih. Warga Melayu yang pergi ke sekolah Cina pula mampu berbual dan memahami bahasa Cina dengan baik. Terdapat sekitar 15% pelajar bukan-Cina di sekolah rendah Cina. Saya juga secara peribadi pernah bertemu beberapa orang Cina di Pulau Pinang yang mampu bertutur bahasa Tamil dengan fasih. Senarainya panjang.

Kita patut membayangkan sebuah Malaysia di mana semua orang mampu menguasai bahasa Melayu dan Inggeris, dan lebih ramai Melayu mempunyai penguasaan bahasa Cina yang baik, manakala ada orang Cina yang fasih berbahasa Tamil, serta ramai lagi yang mampu berbahasa Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Bajau dan sebagainya.

Kita mesti menghormati Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Pun begitu, pastilah kita akan lebih untung apabila kita mampu menguasai lebih daripada satu bahasa atau dialek.

Justeru itu, adalah dikesali apabila pengenalan tulisan Jawi dalam sebuah buku teks darjah empat dijadikan isu apabila Sin Chew Daily menjadikannya tajuk berita muka hadapan.

Kekeliruan dalam terjemahan, seperti berita muka depan Sin Chew Daily, terjadi apabila kita tidak mempunyai pemahaman yang mencukupi tentang bahasa Melayu, serta sejarah dan perkembangannya.

Jawi diterjemah ke dalam bahasa Cina sebagai ‘wen’ “文” , yang boleh bermakna bahasa atau tulisan, tetapi selalu disalaherti sebagai bahasa. Tidak hairan kenapa pembaca akhbar Cina begitu marah kerana enggan mempelajari bahasa baharu. Ini sudahnya mengelirukan warga yang tidak membaca akhbar Cina.

Setelah bertahun lama hidup dalam persekitaran pecah-perintah, Malaysia telah menjadi sebuah masyarakat yang tidak saling faham dan percaya. Ramai antara kita yang tidak tahu bahawa khat adalah seperti kaligrafi yang lain. Ia adalah suatu bentuk penulisan secara artistik, yang wujud dalam apa jua bahasa. Buku teks ini, yang mengkhususkan enam mukasurat untuk subjek itu, hanyalah bertujuan untuk memperkenalkan aspek kesenian khat.

Saya beruntung dapat mempelajari subjek Melayu klasikal di bawa seliaan mendiang Dr Ian Proudfoot, seorang pakar filologi Melayu, ketika saya menuntut di Australian National University. Sebahagian daripada kerja kursus tersebut, saya menghabiskan enam minggu bersamanya, mempelajari tulisan Jawi, dan membaca Hikayat Hang Tuan serta Sejarah Melayu dalam tulisan Jawi.

Pengalaman tersebut adalah antara saat paling menyeronokkan dalam pendidikan tertiari saya. Identiti saya tidak berubah. Ia hanya memperkayakan pengalaman saya.

Perubahan kerajaan baharu pada bulan Mei 2018 adalah permulaan kepada perjalanan panjang ke arah Malaysia yang lebih baik. Kita kini mempunya peluang untuk membina semula negara, dalam jangka waktu dua puluh tahun.

Kita mesti melakukannya dengan andaian, konsep dan idea-idea baharu. Ini termasuklah dalam hal penambahbaikan institusi, ekonomi, pertahanan dan keselamatan, serta budaya dan jatidiri.

Saya sesungguhnya berharap agar dalam tempoh masa akan datang, kita akan membina Malaysia yang berbilang bahasa dan budaya, bukannya hidup berasingan dalam komuniti yang terpecah-pecah, dan membina keyakinan diri dan ‘orang lain’ dengan mempercayai satu sama lain.

*Ucapan di perasmian dewan serbaguna dan bangunan sekolah SJKC Chung Hua Klang, Selangor pada 28 Julai 2019, disiarkan pada 29 Julai 2019

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi