Asia: Kebersamaan identiti, pertahanan dan kemakmuran

Dunia kini berada di persimpangan bersejarah. Keruntuhan Tembok Berlin pada November 1989 menjadi isyarat jelas penghujung era Perang Dingin dan kemunculan tata-dunia baharu di mana Amerika Syarikat mampu berperanan sebagai kuasa besar tunggal di dunia. Dari pelbagai sudut, 2019 nampaknya menjadi tahun di mana dunia sekali lagi berada dalam keadaan ‘reset’. 

Amerika Syarikat kini keliru samada ia satu-satunya kuasa besar dunia, dan justeru itu kelihatan bertindak secara semakin tidak menentu beberapa tahun kebelakangan ini. 

China pula kini diiktiraf sebagai pengimbang kepada Amerika Syarikat. Namun ia bukanlah satu-satunya: negara-negara lain seperti Rusia dan Iran turut mencabar Amerika Syarikat. Begitu juga negara-negara seperti Jepun, India, Pakistan, Turki dan pastinya negara-negara Eropah, yang secara nominalnya merupakan sekutu Amerika tidak semestinya bertindak mengikut arahan Washington.

Sekali pandang, dunia juga nampaknya keliru, bahkan sudah ada ramalan tercetusnya Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat: Amerika sudah menyifatkan China sebagai ‘pesaing strategik’ dua tahun lalu. 

Tetapi pengajaran pertama untuk dipelajari tentang dunia multipolar hari ini ialah setiap negara mempunyai hak mandiri, kepentingan dan pilihannya sendiri. Justeru itu, negara-negara kita semualah yang akan membentuk tata-dunia baharu, dan menekan butang ‘reset’ bersama-sama. Satu contoh era baharu ini boleh dilihat sepanjang dua tahun lalu apabila ketegangan antara China-Amerika Syarikat mula meningkat, Jepun – sebuah negara sekutu Amerika – menjalin hubungan dengan China.

Menolak binari China-Amerika

China terus mempertingkat pengaruh dan kepentingannya, dan tentu sekali akan memainkan peranan besar dalam hubungan antarabangsa dalam dekad-dekad akan datang. Apa-apa pilihan China akan membentukkan masa depan rantau ini. Adalah menjadi harapan saya supaya China tidak membentuk dunia dalam rangka binari China-Amerika. 

Lebih penting lagi, dari sudut pandang negara-negara kecil yang berjiran dengannya, China seharusnya merintis jalan baharu, dan melihat dirinya sebagai salah satu daripada demikian banyak negara Asia, dan melayani setiap satunya seperti adik-beradik yang berkongsi identiti yang sama, dan justeru, kebimbangan keselamatan yang serupa.

Semakin ramai mencuba untuk membentuk dunia dalam kerangka binari China-Amerika, semakin perlu untuk China membebaskan diri daripada dikotomi tersebut dan bergerak maju bersama-sama negara-negara kecil Asia yang lain, tanpa bersikap seperti sebuah kuasa besar yang menyebabkan rasa gelisah dalam kalangan negara-negara kecil sekeliling.

Idea Asia

Banyak nama telah diberi kepada rantau kita ini – Timur Jauh, Asia Pasifik dan yang terkini, Indo-Pasifik. Konsep Indo-Pasifik adalah cubaan yang paling terkini untuk menafsir semula pandangan geo-strategik rantau ini. Saya lebih suka untuk terus menggunakan terma Asia untuk terus membentuk identiti kita bersama. 

Daripada demikian banyak nama yang diberi, Asia adalah satu-satunya yang didakapi tanpa sebarang masalah oleh warga Asia sepanjang abad yang lalu.

Untuk mereka yang tidak selesa dengan label Indo-Pasifik, yang saya andaikan turut melibatkan China; membangkit, menegaskan semula dan memberi makna baharu kepada idea Asia akan dapat membantu memupuk suatu nilai sepunya untuk negara-negara rantau ini. Di satu pihak, ‘The China Dream’ – suatu terma yang disukai China buat masa ini – adalah tidak begitu inklusif. 

Di satu pihak lagi, idea Indo-Pasifik pula sering dilihat sebagai suatu paksi strategik bagi Amerika, Jepun, India dan Australia (disebut ‘the Quad’), yang juga berpotensi tidak inklusif.

Memang tidak molek apabila kuasa-kuasa besar meletakkan label-label bagi menggambarkan identiti wilayah asal seseorang. Hakikatnya, perbuatan ini hanya menafikan hak mandiri negara-negara kecil . 

Proses penamaan rantau sendiri ini  mencerminkan aspirasi dan pemikiran mereka yang menyemai dan melanjutkan idea tertentu. Ini sebabnya kenapa ASEAN mempunyai pandangannya sendiri tentang Indo-Pasifik (ASEAN Indo-Pacific Outlook), bagi memberi penekanan secara jelas dan pintar tentang keterangkuman dan kepusatan ASEAN.

Kita di Asia mesti menemukan semula semangat pasca-kolonial yang mempertegas identiti bersama Asia. Menerusi identiti bersama ini, tidak kira negara besar atau kecil, kita dapat menuntut hak mandiri masing-masing. Walaupun kita cenderung melihat dunia dari kanta binari pertembungan kuasa Amerika Syarikat dan China, kita tidak boleh lupa apa yang telah kita pelajari bersama pada zaman pasca-perang, iaitu setiap negara pasca-kolonial, terutamanya di Asia, adalah negara yang bebas merdeka yang mempunyai kemandiriannya dan menetapkan hala tujunya sendiri. 

Kita tidak menjadi proksi kepada kuasa-kuasa besar ketika zaman Perang Dingin, dan kita tidak ingin menjadi proksi sesiapa pada hari ini.

2019 telah diwarnai ucapan berbentuk konfrontasi antara China dan Amerika Syarikat. Kita mesti berhati-hati daripada terjerat dalam kerangka pertembungan kuasa besar. Sebaliknya, kita harus memberi ruang kepada diri sendiri untuk mempertimbangkan kemungkinan kerjasama dan mengiktiraf secara terbuka peranan yang dapat dimainkan kuasa-kuasa Asia – kecil, sederhana mahupun besar – pada saat ini.

Negara-negara kecil di Asia Tenggara tidak mahu diheret ke dalam kancah pertarungan kuasa-kuasa besar. Malaysia, terutamanya, lebih suka untuk kekal neutral dan tidak berpihak. Adalah menjadi fitrah negara kecil untuk mengamalkan strategi lindung nilai antara kuasa-kuasa besar dan berharap mereka tidak diminta untuk berpihak. 

Tekanan dari satu pihak hanya kan memaksa negara-negara kecil ini memihak kepada yang satu lagi. Secara ringkas, kami percaya bahawa rantau ini memerlukan lebih banyak kerjasama, bukan lebih banyak perseteruan. Malah adalah lebih baik jika China membebaskan dirinya daripada pemikiran zero-sum dalam pendekatan strategiknya, dan berperanan sebagai abang besar Asia serta membantu dalam membentuk peraturan baharu bagi sebuah dunia multipolar yang telah muncul sejelas-jelasnya tahun ini – 2019.

*Ucapan di sidang pleno Forum Xiangshan ke-9 di Beijing, Republik Rakyat China 20-22 Oktober 2019.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan