Terus yakin dengan perjuangan Pakatan Harapan

Di ambang hari mengundi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, saya ingin berkongsi sedikit pemerhatian, ramalan dan kebimbangan saya tentang negara.

Pertamanya, saya percaya bahawa keputusan untuk PRK yang sengit ini adalah majoriti tipis. Setiap undi adalah amat penting untuk membawa perubahan.

Trend semasa yang dapat saya perhatikan ialah; berbanding Pilihan Raya Umum tahun lalu, sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Harapan dijangka meningkat, manakala undi kaum Cina untuk PH akan berkurang.

Bagi orang Melayu, peningkatannya ialah ekoran kecenderungan pengundi memilih kerajaan, personaliti calon Haji Karmaine Sardini yang disenangi ramai, serta rasa tidak senang yang berlanjutan terhadap korupsi mega Najib Razak yang kian terdedah melalui perbicaraannya di mahkamah.

Sokongan kaum Cina pula dilihat akan berkurang, sebahagiannya kerana rasa tidak gembira terhadap Pakatan Harapan dan kemungkinan pengundi luar tidak pulang mengundi di kampung halaman. Keterujaan yang kian meningkat pada minggu kedua kempen telah menarik sedikit sokongan kepada PH, namun tiada seorang pun yang boleh betul-betul pasti akan keputusan yang telah dibuat oleh pengundi luar.

Sementara itu, Berjasa yang kini dikawal kumpulan Islamis-nasionalis ISMA, atau Ikatan Muslimin Malaysia, mungkin akan dapat mencuri sedikit sokongan daripada Barisan Nasional, manakala sebilangan pengundi Pakatan Harapan pada PRU14 mungkin beralih mengundi Gerakan. Bilangan undi untuk parti-parti kecil ini juga akan membawa kesan terhadap keputusan pilihan raya kecil ini nanti.

Keputusannya nanti berkemungkinan besar memberi majoriti sekitar 500 undi sahaja bagi pihak yang menang. Setiap undi amat bernilai.

Hal kedua ialah berkenaan kempen perkauman oleh BN, terutamanya oleh mantan perdana Menteri Najib Razak yang tidak henti-henti cuba mengalih perhatian negara daripada perbicaraannya di mahkamah.

Memang tidak perlu untuk beliau menuduh pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, kononnya tidak mampu mempertahankan ‘maruah Melayu’ kerana berketurunan Cina. Lim Guan Eng adalah seorang pemimpin bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Prestasinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga di jawatannya sekarang telah membuktikan sumbangan ikhlasnya kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya yang Melayu-Islam.

Adalah sangat merbahaya bagi pemimpin-pemimpin kanan untuk memainkan politik perkauman sehingga ke tahap ini. Cubaan untuk “mengharamkan” DAP adalah provokatif dan mengejutkan. Hakikatnya kerajaan Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan parti-parti moderat, yang cuba melakukan yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

Presiden MCA, Wee Ka Siong dan calon BN untuk PRK Tanjung Piai, Wee Jeck Seng mesti menjawab secara terbuka sama ada mereka bersetuju dengan pandangan Najib bahawa seorang Menteri Kewangan berketurunan Cina tidak mampu membela kepentingan orang Melayu.

Hal yang ketiga ialah pendirian Presiden MCA sendiri, iaitu selepas berbulan-bulan berkempen kepada warga bukan-Melayu kononnya DAP telah mengkhianati mereka dalam isu tulisan Jawi, kini Wee Ka Siong terpaksa membuat satu pusingan-U untuk menyatakan bahawa beliau sebenarnya tidak ada masalah dengan persolan tulisan Jawi.

Malah, MCA kini bersekongkol dengan PAS yang sudah menjadi sahabat karib UMNO dalam hubungan yang begitu kompleks di antara Barisan Nasional dan Muafakat Nasional.

Saya harap pengundi di PRK Tanjung Piai akan dapat melihat kebenaran di sebalik semua ini, dan memilih Pakatan Harapan demi menstabilkan situasi, serta menentang mereka yang cuba meniup api perkauman. Perubahan mesti diteruskan, dan kita tidak boleh mudah putus asa walaupun dihujani serangan perkauman.

Akhir sekali, ingatlah, satu undi untuk Wee Jeck Seng, calon BN, adalah satu undi menyokong rasuah dan pendirian perkauman Najib. Ia adalah satu langkah terkebelakang untuk Malaysia. Saya berharap kita semua, terutamanya pengundi Tanjung Piai, tidak lupa akan hal ini.

Ucapan oleh Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pada 15 November 2019 di Pontian.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi