
Maktab Tentera Diraja institusi Bangsa Malaysia
- 14 Disember 2019
- Keselamatan, Sosial

Pertama sekali, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Maktab Tentera Diraja kerana memberi peluang sekali lagi kepada saya untuk menyampaikan amanat kepada warga Putera. Tradisi Perbarisan Putera ini sangat unik dan saya sangat kagum dengan semangat dan tenaga yang ditonjolkan pada pagi ini.
Setiap generasi menghadapi cabaran yang berbeza mengikut zaman masing-masing. Ketika Zaman Darurat Kedua, yang bermula daripada 1968 dan berakhir pada 1989, negara kita diancam oleh Komunis buat kali kedua. Mantan Penasihat Tentera saya dan kini Panglima Briged Infantri ke-9, Brigedier Jeneral Abdul Rahman bin Abdul Wahab, hanya berusia 19 tahun ketika itu, iaitu dua tahun lebih tua daripada Putera-putera di sini. Sebagai ketua platun, beliau telah memasuki kawasan perhutanan di Temerloh untuk melaksanakan misi mencari dan memusnahkan pasukan komunis. Salah seorang daripada ahli platunnya telah tercedera apabila terkena perangkap yang meletup dan menanggalkan kakinya. Beliau sendiri menyuntikkan morfin pada tunggul kakinya.
Zaman Darurat Kedua telah banyak menuntut pengorbanan secara langsung daripada belia negara. Malaysia pada masa itu masih membangun, dan keadaan dunia tertakluk kepada pertelingkahan antara paksi Barat dan Timur ketika Perang Dingin. Keadaan sebegini telah sedikit sebanyak membentuk pandangan kita untuk lebih menitikberatkan isu dalaman berbanding dengan perkembangan antarbangsa.
30 tahun setelah 1989, Perang Dingin telah tamat, di seluruh dunia secara amnya dengan keruntuhan Tembok Berlin, dan khasnya di Malaysia dengan Perjanjian Hatyai 1989. Cabaran yang bakal dihadapi Putera-putera pada zaman sekarang tidak lagi bersifat dalam negara sahaja. Dalam dunia yang bersifat global dan saling bergantung antara satu sama lain, apa-apa sahaja yang berlaku di mana-mana sahaja di dunia akan memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian negara kita. Untuk Malaysia berjaya di pentas dunia yang makin tidak menentu ini, kita perlu menggembleng tenaga seluruh rakyat ke satu aspirasi bersama.
Oleh itu, untuk Bangsa Malaysia ini, semangat nasionalisme berlandaskan nilai-nilai sivik, ataupun civic nationalism, perlu menjadi teras pemahaman negara kita. Masyarakat yang inklusif, di mana semua kaum dan lapisan masyarakat dilibatkan bersama dalam usaha menjayakan aspirasi negara, akan jauh lebih berjaya dan efektif berbanding dengan negara-negara di mana hanya segelintir daripada masyarakat kita dibenarkan untuk menjamin kepentingan diri.
Maktab Tentera Diraja merupakan salah satu institusi yang sangat penting dalam usaha mewujudkan masyarakat inklusif ini. Camaraderie ataupun persahabatan yang terjalin daripada pengalaman bersama sebagai Putera adalah sangat unik. Saya yakin semua yang ada di hadapan saya hari ini pernah merasa seksa didenda bersama, bekongsi gelak ketawa, dan menempuh kesusahan subjek Matematik Tambahan bersama. Pengalaman-pengalaman ini, biarpun yang manis mahupun yang pahit, jangan sekali-kali kalian lupakan. Jadikannya ia satu peringatan bersama sebagai sebab kita semua berbangga untuk menjadi warganegara Malaysia.
Sebagai satu-satunya institusi pendidikan yang bersifat ketenteraan di Malaysia, MTD telah banyak melahirkan pemimpin awam dan tentera yang terkenal. Misalnya, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Affendi bin Buang, dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Ackbal bin Haji Abdul Samad; kedua-duanya merupakan Old Putera daripada kohort yang sama. Tidak lupa juga Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, daripada kelas 1981. Hargailah persahabatan dan hubungan yang ada sekarang; ada kemungkinan ada antara rakan Putera-putera sekalian yang turut akan mengikuti jejak langkah mereka ini.
Selain itu, kita perlu memahami bahawa persada dunia zaman sekarang adalah bersifat multipolar dan lebih global. Yakni, tiada satu-satu kuasa besar yang memonopolikan kuasa dunia, dan perkembangan pasaran dan ekonomi negara lain akan mendatangkan kesan kepada negara kita sendiri. Oleh itu, paradigma kita berkenaan peraturan dunia juga perlu berubah. Kita perlu memperlihatkan Malaysia sebagai negara yang beraspirasi jauh dan berpotensi tinggi, yang boleh mandiri, dan berhak untuk bersuara dan melaksanakan hak-hak lain. Kita tidak boleh juga sentiasa berpandang dalam ataupun inward looking.
Hakikatnya, Malaysia merupakan negara maritim yang terletak di pertengahan jalanan antara Timur dan Barat, menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Aspirasi ini termaktub dalam Kertas Putih Pertahanan, di mana konsep maritime nation telah diperkenalkan.
Dalam sejarah kita, konsep ini bukannya sesuatu yang baharu. Kesultanan Melayu Melaka menjadi satu empayar yang berpengaruh luas hanya melalui perdagangan dan kuasa maritim. Sebelum adanya undang-undang antarabangsa berkenaan perihal lautan, Empayar Melaka telah melaksanakan Hukum Kanun Melaka yang menjamin keadilan di seluruh Nusantara.
Istilah tanah air itu sendiri cukup sempurna untuk menggambarkan realiti negara kita yang bertanah luas dan dikelilingi samudera. Kedudukan ini seperti satu suratan takdir kepada kita untuk menjadi satu kuasa tengah, ataupun middle power, bukan sahaja secara kiasan malah secara literal. Oleh itu, berpandangan luar ataupun outward looking perlu menjadi satu kebiasaan bagi kita supaya kita sentiasa dinamik dan mampu menyesuaikan diri dengan keadaan dunia.
Kepada warga Putera kelas 2019, saya ucapkan tahniah kerana telah berjaya melalui tempoh hidup yang sarat dengan pengalaman dan pembelajaran ini. Jarak perjalanan hidup kalian masih lagi panjang, dan masih ada ruang lagi untuk memperbaiki diri-sendiri. Bagi mereka yang cemerlang, teruskan kecemerlangan. Sesungguhnya, kehidupan itu penuh dengan pembelajaran.
Ingatlah bahawa negara kita merupakan negara yang bukan sahaja menerima malah meraikan perbezaan dan kepelbagaian. Kejayaan negara kita akan bergantung kepada keupayaan kita untuk bersikap inklusif dan menggalakkan semua untuk beserta sekali dalam usaha menerajui kemajuan negara kita.
Keadaan dunia kita sekarang yang semakin berubah dan membangun dengan pesat memerlukan pandangan luar yang canggih dan bernuansa, dan bukan semata-mata pandangan dalaman sahaja. Malaysia merupakan negara yang mempunyai aspirasi dan haknya sendiri untuk menegakkan kepentingan dan nilai-nilai kita di persada dunia. Dalam hal ini, kita haruslah peka dengan perkembangan dunia dan sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri jika perlu.
Kepada ibu bapa sekalian, berbanggalah dengan kejayaan Putera-putera kalian, dan yakinlah mereka merupakan insan yang cemerlang dan terbilang. Sekian, terima kasih dan selamat maju jaya.
* Ucapan di Istiadat Perbarisan Tahunan dan Penyampaian Hadiah Putera Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi pada hari Sabtu 14 Disember 2019
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!