

Ucapan Liew Chin Tong selaku Pengerusi DAP Johor di Kovensyen Biasa DAP Negeri Johor 2021 yang berlangsung pada 2 Mei 2021 (Ahad) di Batu Pahat.
Kepada para hadirin di Konvensyen Biasa DAP Negeri Johor 2021 di Batu Pahat hari ini, saya ucapkan salam sejahtera untuk semua, dan selamat berpuasa kepada yang menjalani ibadah yang suci ini.
Selamat datang dan terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir dan menjayakan konvensyen biasa DAP Johor pada hari ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada barisan Jawatankuasa Negeri DAP Johor yang berada bersama kita hari ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Sdr Gobind Singh kerana hadir untuk menyempurnakan konvensyen ini. Juga terima kasih kepada Sdr Anthony Loke, Setiausaha Organisasi Kebangsaan, yang turut hadir.
Saya juga ingin menyampaikan salam daripada Setiausaha Agung Sdr Lim Guan Eng dan negarawan kita Sdr Lim Kit Siang yang tidak dapat hadir bersama kita pada hari ini kerana sedang menjalankan kuarantin selama 10 hari. Semoga mereka kekal sihat pada waktu yang mencabar ini.
Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) Johor sdr YB Haji Aminolhuda Haji Hassan mewakili Parti Amanah Negara dan Sdr YB Syed Ibrahim Syed Noh mewakili Parti Keadilan Rakyat yang sudi meluangkan masa bersama kita pada hari ini.
Keadaan Covid-19 semakin mencabar. Kepada semua warga Bangsa Johor yang mengalami kehilangan orang kesayangan mereka, atau sedang dirawat dan juga yang uzur, serta yang mengalami kerugian ekonomi, saya ucapkan takziah dan bertabahlah.
Saudara-saudari sekalian,
Kita mesti mempersiapkan diri untuk menghadapi PRU akan datang bagi mengembalikan mandat rakyat. Pakatan Harapan dan rakan-rakan kita dalam pembangkang yang sehaluan perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini.
Izinkan saya menggariskan lima perkara utama untuk mencapai tujuan ini:
Pertama: Kembali bersemangat untuk berjuang serta jangan bersikap pesimistik atau cepat putus asa.
Walaupun ada antara kita yang kecewa dengan situasi hari ini, percayalah, tidak mustahil keadaan boleh berubah jika kita bersatu hati dan bekerjasama untuk menumbangkan rejim yang tidak mendapat mandat rakyat. Jangan fikir kita hanya mampu menjadi pembangkang. Kita telah buktikan pada tahun 2018 dan kita akan buktikan sekali lagi, rakyat akan bersama kita dalam PRU15.
Kedua: Kerjasama, solidariti dan muhibah
DAP tidak boleh lagi bertindak sendirian dalam perjuangan ini dengan hanya membuat persiapan untuk kerusi sendiri sahaja. Kita perlu bekerjasama dan bersolidariti dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang yang sehaluan. Idea “Big Tent” atau “khemah besar” yang dilontarkan oleh Sdr. Lim Guan Eng adalah sangat relevan dalam konteks politik Johor. Matlamat PRU15 adalah untuk meluaskan gerakan kita di luar sempadan lama serta berusaha menubuhkan kerajaan negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan. Dengan semangat muhibah dan sikap ikhlas, saya yakin rakyat akan kembali memilih kita.
Ketiga: Peranan wakil rakyat yang semakin berubah.
Semasa tempoh pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2018 hingga awal tahun 2020, DAP telah berjaya memupuk bakat kepimpinan ramai ahli majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat. Saya ingin mengambil kesepatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih bagi pihak parti DAP kepada ketua masyarakat dan ahli-ahli majlis DAP yang telah berkhidmat semasa pemerintahan Pakatan Harapan dan juga selepas kerajaan kita ditumbangkan. Jasa saudara saudari amat dihargai.
Kejayaan kita ini membuatkan ramai pengundi menaruh harapan yang lebih tinggi terhadap wakil rakyat kita. Oleh kerana ahli-ahli majlis dan ketua-ketua masyarakat telah berjaya menguruskan perkhidmatan kawasan, Ahli-ahli Parlimen dan ADUN kini perlu melakukan sesuatu yang lebih baik dan lebih luas daripada skop tugas tradisi.
Saya berharap Jawatankuasa DAP Negeri Johor dapat memastikan wakil-wakil rakyat kita menumpukan usaha sepenuhnya untuk melaksanakan inisiatif dasar, memimpin usaha pembangunan komuniti setempat, melibat urus atau membuat engagement dengan semua lapisan masyarakat, dan bekerjasama untuk merancang dasar dan pembangunan tempatan, khususnya apabila kita membentuk kerajaan nanti.
Keempat: Kerajaan menanti
PRU15 akan menyaksikan persaingan antara tiga kerajaan – PH, PN dan BN. Kali ini, DAP tidak lagi masuk bertanding sebagai parti pembangkang, tetapi sebagai parti yang mempunyai pengalaman mentadbir. Kita adalah “kerajaan menanti” atau the government-in-waiting. Kita memang mampu untuk menang dan mentadbir kerana kita telah pun bersiap-sedia dengan idea, perancangan dan pelan pelaksanaan untuk menjalankan pentadbiran kita nanti.
Kelima: Bersatu padu
Sejak ditubuhkan 55 tahun lalu, DAP telah mengalami pertumbuhan yang pesat, seumpama kedai runcit yang telah menjadi pasar raya besar. Sebagai contoh, DAP Johor mempunyai 87 cawangan semasa pemilihan parti pada tahun 2018 tetapi sekarang sebanyak 210 cawangan telah disenaraikan untuk pemilihan hari ini. DAP Johor sekarang mempunyai seramai 23,283 orang ahli. Saya masih ingat jumlah perwakilan semasa kongres pusat pada tahun 2008 adalah lebih kurang 800 orang sahaja tetapi hari ini konvensyen negeri Johor mempunyai seramai 1,487 orang wakil.
Sekarang kita mesti menggunakan skala dan pendekatan pengendalian pasar raya besar untuk menjalankan urusan parti. Kita tidak perlu takut untuk menerima kenyataan bahawa DAP kini adalah sebuah parti arus perdana atau mainstream. Kita bukan lagi sebuah parti pembangkang kecil yang hanya tahu membangkang sahaja. Sekiranya DAP Johor berjaya melaksanakan transformasi “sebuah kedai runcit yang sudah menjadi pasar raya besar”, ia akan membantu pelaksanaan transformasi di seluruh negara.
Sekarang tiba masanya untuk kita bersatu padu dan membuat susunan baharu yang membolehkan semua rakyat Johor dan rakyat Malaysia menikmati hidup yang lebih baik melalui kerajaan baharu yang bakal mendapat mandat rakyat. Ini adalah tanggungjawab DAP kepada negara dan rakyat. Kita telah menempuh pelbagai halangan, namun kita sentiasa jalan terus. Atas kekuatan inilah kita berjaya mencapai matlamat walaupun ramai orang mengatakan ia adalah sesuatu yang mustahil.
Sebagai penutup ucapan ini, saya ucapkan selamat bersidang dan selamat menjalankan tanggungjawab mengundi dengan membuat pilihan yang terbaik untuk negeri Johor dan negara Malaysia yang kita cintai.
Salam muhibah.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!