Kelompongan besar politik Malaysia

Ada satu mitos yang tersebar luas di kalangan golongan elit di Kuala Lumpur dan sekitarnya bahawa walau apapun yang terjadi, UMNO akan tetap menang besar dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. 

Menurut mitos ini, UMNO sudah “ditakdirkan” untuk memerintah Malaysia. Maka, keputusan PRU 2018 hanyalah pengecualian kerana UMNO bakal bangkit semula dalam pilihan raya akan datang.

Ada bijak pandai politik menganggap nasib UMNO sama dengan Parti Liberal Demokratik Jepun, iaitu setelah kehilangan tampuk kuasa dua kali sejak 1955, ia kembali menerajui pemerintahan negara dengan sokongan yang selesa dan buat satu tempoh yang lama.  

Saya akui tidak mustahil bagi UMNO untuk mengikut jejak LDP kerana kurangnya alternatif yang boleh diterima oleh pengundi. Namun, saya berpendapat bahawa situasi UMNO berbeza daripada LDP.

Nasib UMNO lebih mirip kepada parti Golkar di Indonesia setelah reformasi 1998 menjatuhkan Presiden Suharto yang memerintah secara diktator sebelum itu.

Golkar merupakan wadah politik Suharto bagi mengukuhkan dominasinya sepanjang era penguasaan satu-parti. Meskipun parti itu masih bertahan sehingga hari ini setelah Suharto tersingkir daripada tampuk kuasa, dan tetap mendapat sokongan dalam dua dekad yang lepas, Golkar bukan lagi satu-satunya kuasa dominan seperti dulu. 

Begitu juga dengan UMNO yang mungkin dapat bertahan dalam tahun-tahun mendatang tetapi ia tidak akan lagi menjadi satu-satunya parti dominan dalam medan politik negara. 

Mitos ketuanan UMNO

Selama berdekad lamanya, UMNO menggunakan ketakutan untuk memerintah. Ada beberapa pegawai tentera yang telah memberitahu saya sebelum ini bahawa walaupun mereka mengundi Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018 disebabkan kemarahan  mereka terhadap amalan rasuah yang berleluasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, mereka tetap takut menanti akibatnya.

Mereka bimbang kemungkinan  dihukum jika undi mereka diketahui oleh pihak berkuasa. Mereka juga khuatir peralihan kerajaan mungkin  menimbulkan kekacauan – momokan yang sering dibawa oleh BN.

Namun, satu perubahan positif berlaku setelah kita mendapat tiga Perdana Menteri dan tiga kerajaan dalam tiga tahun sejak 2018 – kini tiada siapa yang takut dengan  pertukaran kerajaan. Akhirnya, rakyat Malaysia sudah menerima hakikat bahawa ahli politik boleh datang dan pergi begitu sahaja.

Semasa Najib menjadi PM, beliau mewujudkan satu keadaan di mana pembangkang dikuasai DAP. Disebabkan DAP dicap oleh UMNO sebagai parti “Cina”, gabungan pembangkang akan menjadi pilihan yang sukar diterima oleh pengundi Melayu.

Saya masih ingat semasa zaman Pakatan Rakyat, ahli-ahli akar umbi DAP, PKR dan PAS dihalang untuk berkempen di beberapa kampung Melayu.

Biasanya, ketua kampung lantikan UMNO yang juga merupakan ketua UMNO cawangan, akan berada di pintu masuk kampung-kampung tersebut. Beliau dengan sopan akan memberitahu pengunjung supaya beredar segera. Jika tidak, samseng-samseng kampung yang membawa parang akan muncul membuat kacau. 

Pada Julai 2015, ketika saya dan Lim Kit Siang berucap di Pasar Borneo, Pasir Gudang, Johor, kami dihalau keluar dan saya sendiri telah dicekik oleh samseng-samseng di kawasan itu. Sebagai Ahli Parlimen Kluang ketika itu, saya juga pernah dihalau keluar oleh samseng-samseng berkait rapat dengan UMNO yang mengawal bazar Ramadan di kawasan saya sendiri.

Ketika itu, hampir mustahil bagi pembangkang untuk masuk ke kampung-kampung di beberapa negeri UMNO seperti Johor. Ini juga menjelaskan mengapa pembangkang hanya mempunyai pengaruh di kawasan bandar sebelum ini. 

Kekuatan sebenar UMNO

Kekuatan UMNO di kawasan luar bandar memang tidak boleh ditandingi. Penguasaan  satu-parti UMNO telah membangunkan jalan yang diturap dengan baik di kawasan pedalaman, memberi jaminan “satu graduan bagi setiap keluarga”, dan memastikan wujudnya peluang pekerjaan yang baik di ladang-ladang desa dan kilang-kilang di bandar.

Saya sering menyatakan bahawa kekuatan UMNO pada masa lalu, terutamanya sekitar 20 tahun pertama era Dasar Ekonomi Baru sehingga 1990-an, bukan terletak pada sorakan berkobar-kobar pemimpinnya dalam menjuarai agenda Melayu tetapi dengan memberi peluang kepada masyarakat Melayu kampung untuk meningkatkan taraf hidup. 

Anak-anak muda luar bandar, tidak kira dari mana asal mereka, berpeluang menjadi golongan terpelajar dan bekerja sebagai ahli profesional, menjadi ahli perniagaan yang berjaya atau mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Ramai anak muda kampung yang berjaya meningkatkan taraf hidup mereka dalam jangka masa yang singkat dan menjadi warga bandar dan kelas menengah pada dekad 1990-an.

Namun menjelang 1990-an, sebagai sebuah organisasi, UMNO mula menyusut dan terperangkap dalam budaya rasuah berleluasa yang menghalang pemimpin dan bakat baharu daripada menyerlah dalam struktur parti itu. Bahkan, beberapa ketua bahagian yang menempa nama pada 1980-an dan 1990-an masih lagi menguasai parti pada  2021.

Apabila Najib memegang jawatan presiden UMNO pada  2009, kebanyakan ahli akar umbi UMNO sudah hilang semangat. Ramai antara mereka menjadi ahli hanya untuk mendapat kontrak atau peluang perniagaan kecil-kecilan. Organisasi UMNO sudah sarat dengan ahli-ahli yang didorong oleh wang di semua peringkat.

Jalan-jalan luar bandar yang diturap dengan baik pula telah memudahkan anak-anak muda meninggalkan kampung halaman untuk bekerja di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Kampung-kampung di Johor kini dihuni kebanyakan mereka yang berumur dan sangat muda; selebihnya hanya pulang pada musim perayaan.

Terbitnya era baru

Sesi dialog bersama anak muda anjuran ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung, Ogos 2020

Kelompongan politik yang besar wujud dalam politik Malaysia, dan sekarang ia semakin terbuka luas dengan penambahan besar pengundi baharu menerusi pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Pada PRU 2018, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Rabu sebagai hari mengundi  dengan harapan ia dapat mengurangkan kadar keluar mengundi golongan  muda yang menetap di bandar tetapi masih mengundi di kampung. 

UMNO mendakwa ia mempunyai 3.5 juta orang ahli, kebanyakannya mengundi di kerusi-kerusi penting. 

Strategi mereka ialah untuk menang di kawasan luar bandar dan separa bandar  melalui undi ahli-ahli UMNO dan penyokong-penyokong tegar BN. Pada masa yang sama, ia memastika penyokong pembangkang dan pengundi atas pagar sukar untuk  mengundi. 

Walau bagaimanapun, pindaan Perlembagaan untuk membenarkan individu 18 tahun mengundi dan pendaftaran pemilih secara automatik yang dibawa ke Parlimen oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 16 Julai 2019 akan mengubah segala-galanya.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan, serta keputusan kerajaan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengarahkan pelaksanaan pindaan Undi 18, SPR telah mengeluarkan daftar 5.8 juta pemilih baru yang layak mengundi bagi tujuan semakan dan pengesahan. 

Sekiranya PRU diadakan pada 2023, mereka yang dilahirkan pada 2005 akan layak mengundi. Daftar pemilih untuk PRU 2018 mempunyai 14.9 juta pengundi.

Jika mereka yang lahir pada 2004 dan 2005 ditambah kepada jumlah 5.8 juta pemilih baru, PRU  2023 akan menyaksikan kira-kira 22 juta pengundi membuat pemilihan.

Hakikatnya, tidak semua pengundi bandar dan pengundi muda menyokong pembangkang. Pakatan Harapan mesti berusaha lebih gigih memenangi hati mereka. Tetapi, dengan semakin ramai pengundi bandar dan golongan muda yang dimasukkan  dalam daftar pemilih, semakin berkurang impak daripada undi tetap UMNO.

Semua fakta baru ini membenamkan idea bahawa UMNO “ditakdirkan” memerintah negara ini. UMNO kini sudah menjadi sekadar satu daripada semua parti yang bersaing untuk meraih undi.

Lapangan persaingan antara parti sudah semakin setara. Oleh itu, wujud kelompongan politik besar yang perlu diisi.

Mana-mana parti atau gabungan yang dianggap mampu memberi jaminan sosial, peluang ekonomi dan kemajuan taraf hidup serta pekerjaan dengan gaji yang setimpal akan  menjadi pilihan rakyat dalam PRU akan datang.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi