Mengapa tiba-tiba ada pilihan raya di Johor?

Sebaik sahaja pilihan raya negeri Melaka selesai, saya dapat merasakan UMNO akan mencari jalan untuk mengadakan satu lagi PRN dalam masa terdekat, iaitu di Johor. 

Dalam tulisan saya dalam Bahasa Inggeris pada 22 November 2021, saya  mencatatkan: 

Berdasarkan keputusan PRN Melaka, kemungkinan besar UMNO dan Bersatu tidak akan kembali bersama. Trio pimpinan UMNO mahu PRU diadakan segera, seperti yang dinyatakan oleh Mohamad Hassan. Mereka akan mendesak Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin pada suku pertama 2022. Ismail pula tentunya tidak mahu membubar Parlimen begitu awal kerana  beliau baru sahaja menjadi Perdana Menteri.

“Walaupun menjadi rakan separti, Ismail bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, dan beberapa pemimpin UMNO, dilihat tidak sehaluan dengan trio UMNO yang mengawal  teras parti. 

“Sekiranya trio pimpinan UMNO tidak berjaya mendesak pelaksanaan pilihan raya di peringkat persekutuan, adakah mereka akan cuba mendesak negeri-negeri yang ditadbir UMNO seperti Johor dan Perak untuk mengadakan pilihan raya negeri?” 

Secara asasnya, terdapat dua kem di dalam UMNO, kluster mahkamah lawan kluster menteri, istilah yang popular di antara pemimpin dan ahli parti. 

Kumpulan yang dikaitkan dengan Najib dan Zahid, kedua-dua pemimpin ini menghadapi tuduhan rasuah dan dengan itu digelar “kluster mahkamah”, telah menyusun strategi sejak Mei 2018 untuk menjadikan UMNO dominan semula agar kedua-dua mereka boleh bebas daripada dikenakan hukuman. 

Di Johor, trio Najib-Zahid-Mohamad Hassan dibantu oleh Naib Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Khaled Nordin, dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang pernah memegang jawatan  Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed. 

Dalam pengkhianatan Langkah Sheraton, UMNO telah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui konspirasi bersama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan Datuk Seri Azmin Ali daripada Parti KeAdilan Rakyat.

Selepas mendapat kuasa, kumpulan pemimpin teras UMNO yang dikaitkan dengan kluster mahkamah, telah menggerakkan pula propaganda berita palsu serta mensabotaj kerajaan Muhyiddin sehingga beliau jatuh sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021. 

Mereka tidak berhenti di situ sahaja. Keputusan Mahkamah Rayuan ke atas kes Najib pada 8 Disember 2021 akan mempercepatkan lagi usaha trio ini mendesak pilihan raya umum (PRU) mengejut diadakan, dan Johor dijadikan medan untuk mereka bermula. 

Kluster menteri pula mempunyai strategi yang berbeza untuk UMNO. Mereka mahu UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan PAS, sekaligus bersetuju untuk mempunyai jumlah kerusi lebih kecil berbanding era dominan UMNO dahulu. 

Bagi kluster menteri, mereka tahu risiko UMNO jika bertanding sendirian. Dengan itu, mereka menerima hakikat bahawa bekerjasama dengan Bersatu dan PAS akan menguntungkan semua pihak. 

Memang berlaku perpecahan dalam UMNO. Sebulan sebelum Muhyiddin tumbang iaitu pada Julai 2021, 15 daripada 39 orang Ahli Parlimen UMNO telah bersetuju dengan trio/kluster mahkamah untuk menyokong strategi bertanding sendirian. Mereka menarik diri daripada menyokong Muhyiddin, dan ini mencetuskan kejatuhan kerajaan, seterusnya membolehkan Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri. 

Daripada 191 bahagian UMNO, trio UMNO mempunyai sokongan lebih sedikit daripada satu pertiga. Namun begitu, ia menguasai jawatan penting dalam Majlis Tertinggi UMNO, khususnya Presiden, yang mempunyai kuasa besar untuk menentukan calon pilihan raya. 

Ini bermakna, trio perlu mendesak PRU diadakan sebelum pemilihan UMNO. 

Hanya dengan keadaan seperti ini, mereka dapat menentukan semua calon untuk diisi, justeru menggantikan calon-calon kluster menteri dengan ahli kumpulan mereka. 

PRN Johor tidak ada kena-mengena dengan keperluan rakyat. Ia adalah kesan perebutan kuasa dalam UMNO. Pilihan raya mengejut ini tidak mendatangkan apa-apa faedah untuk rakyat. 

Secara mudahnya, pilihan raya mengejut di Johor hanyalah ledakan pertama untuk membuka jalan bagi mengadakan PRU dengan segera, dan ia hanyalah strategi buat Najib dan Zahid yang mahu lepas daripada “hukuman penjara”.

Negara berada di persimpangan tatkala kita sedang menuju ke arah bencana politik ini.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan