Pakatan Harapan, kerajaan yang lebih stabil

Kita telah memasuki pusingan terakhir kempen sebelum hari mengundi pada Sabtu ini. Ramai penganalisis politik kini menerima hakikat bahawa Pakatan Harapan mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding gabungan lain untuk mendapat kerusi Parlimen paling banyak pada pilihan raya umum ke-15 ini.

Apa yang belum tentu ialah banyak mana kerusi yang mampu diperolehi Pakatan Harapan, dan sama ada ia dapat menubuhkan kerajaan sendiri tanpa perlu bekerjasama mana-mana gabungan lain.

Jika Pakatan Harapan memperolehi kerusi terbanyak tetapi tidak mencapai 112 kerusi, iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, ia membuka ruang untuk dua kemungkinan, iaitu:

Gabungan lain akan bekerjasama dengan mengetepikan Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan mereka yang berkemungkinan besar tidak stabil; atau

Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan campuran di mana dengan kerusi terbanyak, ia akan mendominasi kerajaan tersebut.

Sebelum Parlimen dibubarkan, pakar-pakar strategi Barisan Nasional telah menjual propaganda โ€œkemakmuranโ€ dan โ€œkerajaan stabilโ€ sebagai mesej utamanya. Pimpinannya yakin dapat menubuhkan kerajaan campuran yang dipimpin oleh BN dengan Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan BN Sabah.

Andaian BN ialah ia bakal memenangi 65 kerusi di Semenanjung, dan dengan GPS memperolehi 25 kerusi dan GRS-BN Sabah 15 kerusi, mereka akan mendapat sekurang-kurangnya 105 kerusi. Dengan itu, mereka berharap sikap ikut-ikutan dalam kalangan pengundi akan dapat menambah kerusi mereka kepada 75 di Semenanjung, bertambah menjadi 115 di seluruh negara.

Ketika andaian itu dibuat, Pakatan Harapan dijangka mampu menang 60 kerusi sahaja di Semenanjung manakala lainnya mengikut nasib sahaja. Ramai juga yang menjangka Bersatu akan tumbang manakala PAS tidak mampu membuat sebarang kejutan. Kedua-dua parti itu merupakan tunjang utama Perikatan Nasional.

Jumlah 115 kerusi Parlimen sememangnya berada dalam tangan kerajaan Ismail Sabri Yaakob sebelum pembubaran Parlimen, dan matlamat UMNO ialah untuk membersihkan BN daripada anasir-anasir Bersatu melalui PRU15. Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pula bercita-cita untuk menguasai kerajaan serta menjadi Perdana Menteri.

Namun, malang tidak berbau untuk UMNO. Bermacam malapetaka menimpanya, termasuk ketiadaan wang dan sumber untuk kempen PRU15, kebencian orang ramai terhadap Zahid, dan tikam-menikam antara pemimpin dalam parti.

Pada hari penamaan calon pada 5 November, saya menyatakan keyakinan saya bahawa Pakatan Harapan telah melepasi garisan 80 kerusi di Semenanjung manakala BN pula mendapat 49 kerusi sahaja, iaitu sama seperti yang dimenanginya pada PRU14 dahulu.

Bulan lalu, saya telah menjelaskan kepada media bahawa jika jumlah keluar mengundi melebihi 16 juta orang (daripada kesemua 21.17 juta pengundi) dan jika sentimen anti-UMNO dan anti-Zahid meluas, kerusi-kerusi di selatan Kedah dan di negeri-negeri selatan Kedah serta di sebelah barat Banjaran Tititwangsa yang mempunyai sekitar 50-70% pengundi Melayu dan sejumlah besar pengundi bukan Melayu, kita akan melihat Pakatan Harapan meraih banyak kerusi.

Di negeri-negeri kerusi campuran majoriti Melayu ini, jika sebahagian daripada undi Melayu berpindah daripada BN kepada PN sekalipun, robohnya kubu undi UMNO-BN akan tetap memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan.

Saya akui bahawa apa yang saya tidak jangkakan ialah setelah seminggu kempen dijalankan, ada perubahan yang lebih besar sedang berlaku. Kini kita tidak dapat menafikan kemungkinan BN akan kehilangan sokongan pengundi Melayu. Ini bermakna BN mungkin jatuh ke tempat ketiga dalam persaingan tiga gabungan pada PRU15 ini.

Menurut beberapa kajian pendapat Merdeka Center, pada awal Ogos, sokongan Melayu terhadap BN berada pada tahap 47% tetapi ia jatuh kepada 32% pada akhir Oktober manakala pada awal November, ia terus merudum kepada 23%.

Saya telah menyatakan secara terbuka pada 11 Oktober bahawa paling rendahpun kutipan kerusi BN pada PRU ini ialah 35 kerusi di Semenanjung. Tentunya saya terkejut apabila kajian Merdeka Center menunjukkan kerusi yang bakal diperolehi BN mungkin lebih rendah daripada 35. Dalam kajian terbaharunya, Merdeka Center menyatakan Pakatan Harapan akan mendapat 91 kerusi, PN 47 dan BN 26 sahaja.

Jika semua ramalan ini tepat, PRU15 akan menjadi satu kejutan besar seperti mana PRU12 pada 2008 yang telah mengubah landskap politik negara. Pada PRU tersebut, berlaku lebih 30% peralihan undi kaum Cina dan India. Corak pengundian mereka pada setiap PRU tidak banyak berubah sejak 2008.

Apa yang lebih penting ialah kita mungkin menyaksikan keruntuhan sokongan pengundi Melayu kepada UMNO, sesuatu yang tidak pernah dijangkakan.

Semakin jelas bahawa Pakatan Harapan kini merupakan gabungan terbesar, dan dengan hanya empat hari sahaja lagi, semua rakyat Malaysia perlu bersatu hati bergabung tenaga untuk mengundi Pakatan Harapan. Kita memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil, kini dan untuk tahun-tahun mendatang.

Rakyat Malaysia yang bijaksana lagi budiman, inilah masanya.

#KitaBoleh

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi