

Johor sebagai batu asas Kerajaan Perpaduan
Sebagai permulaan, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung DAP Sdr Anthony Loke Siew Fook, dan tokoh veteran DAP Sdr Lim Kit Siang, serta anda semua yang hadir pada Konvensyen DAP Johor 2022 di sini hari ini.
Saya juga ingin berterima kasih kepada para pemimpin parti-parti Pakatan Harapan yang hadir sebagai tetamu hari ini. Dalam Pakatan Harapan, kita semua telah mengharungi segala cabaran bersama. Salam solidariti dari saya buat semua rakan seperjuangan.
Konvensyen 2022 ini sepatutnya diadakan pada 13 November 2022 tetapi terpaksa ditunda bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15. Kemudian ia dijadualkan semula pada 5 Mac 2023, tetapi sekali lagi ditangguhkan kerana banjir besar yang melanda Johor.
Untuk pengetahuan hadirin yang dihormati, barisan kepimpinan Jawatankuasa DAP Negeri Johor yang ada di hadapan anda ini telah dipilih oleh para wakil pada 2 Mei 2021, ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, termasuk Malaysia. Salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Negeri ini adalah penubuhan ibu pejabat DAP Negeri baharu di Kulai.
Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Sdr Alan Tee Boon Tsong yang telah berjaya menyiapkan projek ini yang berkonsepkan ibu pejabat dalam taman. Bangunan ini telah diguna pakai sebagai pusat operasi sepanjang semua pilihan raya yang diadakan tahun lalu.
Satu lagi usaha Jawatankuasa Negeri ini adalah kerja-kerja bantuan Covid-19, banjir dan bencana yang lain, melalui Unit Tindak DAP Johor. Saya amat menghargai kepimpinan Sdr Ho Bao Kheong selaku Ketua Unit Tindak yang mengetuai pasukanya dengan cekap.
Pilihan raya negeri Johor
Jawatankuasa Negeri yang saya ketuai bersama dengan Timbalan Pengerusi Sdri Teo Nie Ching sentiasa peka dengan semua situasi. Kami rasa bahawa selepas pilihan raya negeri diadakan di Sabah, Melaka dan Sarawak, ia juga bakal dilaksanakan di Johor. Memang tepat jangkaan kami apabila Dewan Negeri Johor dibubarkan pada 22 Januari 2022 untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan. Hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac 2022.
Sepanjang pilihan raya negeri Johor, berikutan kekalahan kita di Melaka dan Sarawak, setiap hari sentiasa ada orang memberitahu saya bahawa DAP Johor akan kalah teruk. Malah, kalau mampu bertahan pun, hanya akan tinggal 4 daripada 14 kerusi yang kita perlu pertahankan.
Memang saya tahu cabaran menghadapi pilihan raya negeri Johor sangat berat tetapi saya juga yakin setiap ahli dan pemimpin DAP Johor mampu menghadapi segala rintangan yang ada. Malah, seperti yang anda semua tahu, saya telah meramalkan secara terbuka sebelum hari pengundian bahawa DAP Johor mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 9 daripada 14 kerusi kita. Selepas kiraan undi, terbukti DAP Johor menang 10 kerusi.
Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya Negeri Johor yang dipimpin oleh Sdri Nie Ching. Dan kepada semua ahli dan pemimpin DAP dari seluruh negara yang datang membantu kami, ketahuilah bahawa kita telah sama-sama berjaya mengharungi pelbagai cabaran, termasuk perintah kawalan pergerakan atau PKP, dan peratus keluar mengundi yang kurang, serta sentimen lemah dalam kalangan penyokong kita sendiri.
Pilihan raya umum ke-15
Selepas selesainya pilihan raya negeri Johor, saya lega kerana kita telah berjaya melepasi cabaran yang paling berat. Kita telah jatuh ke kedudukan yang tercorot tetapi kita tahu keadaan akan kembali pulih semula.
Ini bukan cakap besar atau sekadar kata-kata untuk naik semangat. Ini benar-benar berasaskan analisis kerana kepimpinan DAP Johor sedar bahawa ramai tidak mengundi kerana PKP atau kerana mereka merasakan seolah-olah undi mereka tidak bermakna. Hanya selepas PKP ditamatkan, semangat pengundi timbul untuk mengubah hala tuju negara. Mereka akan keluar mengundi, dan kita yakin mereka akan memilih Pakatan Harapan.
Pada pilihan raya negeri Johor Mac 2022, Barisan Nasional mendapat 599,753 atau 43.11% undi; pada pilihan raya umum November 2022, Barisan Nasional mendapat 598,244 atau 30.64% undi. Melihat kepada jumlah undi yang diperolehi, tiada sebarang perubahan sokongan kepada Barisan Nasional. Jumlah undinya sama sahaja. Ia hanya mendapat kurang 1,509 undi sahaja berbanding pilihan raya negeri.
Perikatan Nasional pula mendapat 334,457 atau 24.04% undi pada bulan Mac dan 519,661 atau 26.62% undi pada bulan November, iaitu bertambah 185,204 undi.
Yang mencatatkan kejayaan besar adalah Pakatan Harapan. Kita mendapat 367,525 atau 26.42% undi pada bulan Mac, dan pada bulan November pula, Pakatan Harapan memperolehi 825,182 atau 42.26% undi, iaitu bertambah 457,657 undi.
Apa yang boleh kita pelajari daripada pilihan raya di negeri Johor adalah, walaupun kubu kita agak kecil, jika kita dapat meyakinkan pengundi atas pagar, maka kemenangan akan dicapai. Yang penting, kita perlu yakin dengan kemampuan kita sendiri serta kerjasama dengan rakan-rakan seperjuangan.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya Umum yang dipimpin oleh Sdr Andrew Chen.
Penghormatan buat Sdr Lim Kit Siang
Seperti yang saya katakan, walaupun banyak pihak tidak yakin dengan kemampuan kita, DAP Johor telah berjaya menempuh segala rintangan. Kita bersabar, bertabah dan berjuang. Di sini kita perlu berterima kasih kepada seorang tokoh parti yang berani meninggalkan kerusi selamatnya untuk datang merempuh kubu lawan di Johor, satu dekad yang lalu.
Dua hari yang lalu merupakan ulang tahun satu dekad PRU 5 Mei 2013. Walaupun kita belum berjaya menang untuk menubuhkan kerajaan ketika itu, penghijrahan Sdr Kit Siang ke Johor telah berjaya mematahkan mitos kononnya negeri ini adalah kubu kuat Barisan Nasional.
Gelombang yang dicetuskan oleh Sdr Kit Siang pada PRU 2013 telah menjadi pencetus untuk melahirkan DAP Johor yang bersemangat waja. Kita telah menghadapi pelbagai cabaran, namun kita tidak pernah undur. Kepada anda yang telah mengalami turun naik dalam perjuangan sepanjang satu dekad yang lalu, terutamanya Sdr Kit Siang, dengan rendah hatinya saya mengucapkan jutaan terima kasih.
Sdr Kit Siang, kepimpinan anda di Johor sejak 2013 telah mengubah landskap politik di negeri ini; malah Johor telah menyerahkan kunci kuasa kepada Pakatan Harapan untuk membuka pintu gerbang Putrajaya.
Daripada 26 kerusi Parlimen Johor, Pakatan Harapan menang 18 kerusi pada PRU 2018, termasuk Pagoh dan Tanjung Piai (walaupun kita kehilangan Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil pada 2019). Pada PRU 2022, Pakatan Harapan Johor menang 15 kerusi. Kita hanya kalah di Simpang Renggam.
Pada PRU 2018, Pakatan Harapan Johor menyumbang 18 daripada 98 kerusi Parlimen yang dimenangi di Semenanjung. Pada 2022, Pakatan Harapan Johor menyumbang 15 daripada 82 kerusi Pakatan Harapan untuk seluruh negara.
Johor sebagai batu asas Kerajaan Perpaduan
Kini kita sedang memasuki fasa baharu dalam sejarah DAP dan sejarah negara.
Pada 20 Mac 2022, para wakil DAP Kebangsaan telah memilih pemimpin generasi ketiga, iaitu Sdr Anthony Loke Siew Fook untuk menerajui parti. Dalam sejarah parti kita, pimpinan generasi pertama dibarisi Sdr Kit Siang, Sdr Chen Man Hin dan Sdr Karpal Singh. Generasi kedua pula diwakili mendiang Sdr Kerk Kim Hock, Sdr Lim Guan Eng dan Sdr Tan Kok Wai.
Setahun setelah Sdr Anthony Loke mengambil alih kepimpinan, semakin jelas kepada semua bahawa beliau bukan sahaja seorang pemimpin strategik tetapi juga pelaksana idea. He shows to the nation that he and the DAP are in for the long haul, and we are thinking and acting as nation builders.
Saya yakin bahawa suatu hari nanti peranan penting Sdr Anthony Loke sepanjang 20 hingga 24 November 2022 akan dicatatkan dalam sejarah negara.
Apa yang berlaku adalah, pada malam kiraan undi PRU 2022, Sdr Anthony Loke sedar bahawa satu-satunya jalan untuk memastikan sebuah kerajaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hanya boleh ditubuhkan jika DAP bersama Pakatan Harapan sanggup bergabung dengan UMNO dan Gabungan Parti Sarawak atau GPS.
Pengalamannya yang bertahun-tahun berhadapan dengan semua pihak dalam politik telah memudahkan Sdr Anthony menangani cabaran-cabaran untuk membentuk sebuah kerajaan baharu. Beliau sedar realiti yang melibatkan persaingan dan permusuhan di antara DAP dan UMNO serta GPS sebelum ini.
Namun, beliau juga sedar bahawa negara kita berada di persimpangan. Jika kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim gagal dibentuk, ini bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sokongan PAS akan kembali memerintah. Dan jika ini berlaku, Malaysia akan terus dirundung malang.
Dengan pemikiran strategik dan kesanggupan merendah diri, Sdr Anthony Loke memimpin DAP untuk memberi sokongan kepada usaha menubuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Di sini, Johor mempunyai peranan yang penting untuk memastikan kejayaan Kerajaan Perpaduan. Jika dicampur kesemua kerusi Parlimen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Johor, jumlahnya adalah 24 daripada kesemua 26 kerusi.
Di peringkat negeri, Pakatan Harapan bukan sebahagian daripada Kerajaan Negeri. Syukurlah, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, telah bertitah bahawa pembangkang negeri kini dikenali sebagai Pengimbang. Ketua Pengimbang Dewan Negeri Johor adalah Sdr Andrew Chen. Tahniah saya ucapkan kepada Sdr Andrew.
Kita menjunjung kasih kepada Tuanku yang turut menitahkan supaya Pakatan Harapan memainkan peranan semak dan imbang atau check and balance dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor sentiasa terjamin, malah ditambah baik lagi.
Saya faham, bukan mudah untuk DAP, Pakatan Harapan dan UMNO menyesuaikan diri dalam keadaan yang baharu ini. Tetapi di sinilah kita semua mempunyai misi yang bersejarah.
Kita perlu ingat bahawa Kerajaan Perpaduan tidak ditubuhkan semata-mata kerana kita tidak mahu Perikatan Nasional menjadi kerajaan.
Kerajaan Perpaduan ditubuhkan kerana kita tahu bahawa Pakatan Harapan yang semakin menyerlah prestasinya sepanjang PRU 2008, 2013, 2018 dan 2022 kini telah menjadi satu kuasa penentu politik yang penting. Kita adalah satu formidable political force.
Dengan itu, UMNO yang bertahun-tahun sejak 2008 cuba menyingkirkan Pakatan Harapan daripada arena politik negara telah sedar dan menerima hakikat bahawa bekerjasama serta menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan kita adalah lebih baik daripada terus bermusuhan.
Kerajaan Perpaduan juga berperanan untuk menyatukan musuh-musush politik lama dalam sebuah kerajaan yang stabil untuk satu jangka masa yang panjang kerana kita perlu berganding bahu untuk mengembalikan semula kegemilangan Malaysia.
Kita bersatu matlamat untuk membawa Malaysia menuju lonjakan kedua ekonomi atau a second take-off supaya semua rakyat dapat hidup bermaruah dan penuh sejahtera.
Kita semua perlu bergabung tenaga untuk melahirkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu, seperti mana cita-cita Bangsa Johor, untuk mengangkat Malaysia di persada dunia. Tentunya impian ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia merupakan tanggungjawab yang berat. Namun saya yakin, dengan Johor sebagai batu asas Kerajaan Perpaduan, Johor juga mampu untuk menjadi batu asas kepada Bangsa Malaysia.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!