Perikatan Nasional Belum Serik, Masih Berangan-angan Jadi Kerajaan “Tebuk Atap”

Dalam satu ceramah semalam, Dato’ Seri Azmin Ali mengakui bahawa usaha pembangkang Perikatan Nasional memenangi pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu adalah langkah pertamanya untuk menjatuhkan kerajaan.

Semua orang tahu PN hanya pandai tikam belakang dan rampas kuasa sahaja. Setelah melalui pilihan raya umum pada 2022, enam pilihan raya negeri pada 2023 dan beberapa PRK, modus operandi PN, terutamanya Bersatu, masih tidak berubah. Tanpa banyak dasar membantu rakyat, mereka hanya tahu membakar emosi pengundi bagi menimbulkan kemarahan rakyat. Tujuan mereka – mengulangi “kejayaan” Langkah Sheraton yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada awal 2020.

Sepanjang PRU 2022 hingga PRN 2023, PN hanya ada satu modal, iaitu membangkitkan kemarahan pengundi Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan. Ini, kata mereka, akan membuatkan pengundi Melayu memilih PN yang akan menang di banyak negeri, dan “Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kembali menjadi Perdana Menteri minggu depan”. Namun, keputusan PRN 2023 menunjukkan tiada sebarang perubahan. Malah, politik perkauman PN menyebabkan pengundi kawasan pelbagai kaum menolak mereka.

Namun, walaupun gagal menewaskan Kerajaan Perpaduan dalam PRN lalu, PN masih berdegil dan terus mencari jalan untuk menubuhkan kerajaan secara “tebuk atap”.

Pada 2019, Dato’ Seri Azmin yang pada masa itu merupakan Timbalan Presiden PKR telah bersubahat dengan Tan Sri Muhyiddin daripada Bersatu untuk menimbulkan keraguan terhadap kerajaan mereka sendiri. Niat mereka adalah untuk mencipta persepsi bahawa rakyat benci dengan kerajaan PH, dan ia kemudiannya membawa kepada pengkhianatan Langkah Sheraton.

Akibat perancangan dan perbuatan mereka, ketegangan timbul di antara pengundi Melayu dan bukan-Melayu. Hampir semua isu yang dibangkitkan oleh media arus perdana serta media sosial upahan menambah kemarahan kaum sehingga tiada lagi jalan tengah untuk menyelesaikan masalah. Kerajaan PH dilanda tekanan tidak puas hati bukan sahaja dalam kalangan Melayu tetapi juga daripada kaum bukan-Melayu.

Dalam keadaan yang tidak menentu ini, pengundi telah menolak calon PH dalam PRK Parlimen Tanjung Piai pada November 2019. Kekalahan ini dijadikan platform untuk Langkah Sheraton yang diterajui Azmin dan Muhyiddin.

Kini, kedua-dua mereka bersama dengan PN serta kumpulan-kumpulan lain yang enggan menerima mandat rakyat kepada Kerajaan Perpaduan terus berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan pada separuh penggal melalui cara yang sama, iaitu membakar sentimen perkauman.

Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa komplot Azmin untuk Langkah Sheraton 2.0 bukan sahaja membahayakan negara tetapi juga memburukkan lagi keharmonian hubungan antara kaum.

Saya merayu kepada pengundi rakyat Malaysia amnya dan pengundi KKB khususnya agar terus berpegang kepada amalan “Jalan Tengah Malaysia” yang sederhana, bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain.

Semoga kita tidak mudah tergoda dengan suara-suara esktrem yang sengaja mahu menimbulkan huru-hara sekadar untuk menang PRK. Saya yakin warga KKB akan terus mengekalkan keamanan, keharmonian dan kemesraan, dengan menolak politik benci kaum yang dibawa oleh PN.

Kongsi artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel yang berkaitan