Selamat Hari Pekerja 2025

Memastikan pekerja menikmati kehidupan yang lebih baik telah lama menjadi impian saya. Malah, saya percaya ini merupakan asas kepada usaha menggubal dasar ekonomi.

Apabila pekerja mendapat pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal, barulah mereka benar-benar mempunyai kuasa membeli sebagai pengguna, dan di sinilah lahirnya kelas pertengahan yang kukuh. Dengan itu juga, ekonomi kita akan berkisar dalam kitaran murni.

Sepanjang amalan ekonomi negara, kita terikat dengan strategi industri yang bergantung kepada eksport yang meletakkan Amerika Syarikat sebagai destinasi terakhir. Sehubungan itu, dalam keghairahan memenangi persaingan eksport ke Amerika Syarikat, industri kita telah menekan gaji pekerja agar tidak naik.

Perang perdagangan global yang sedang berlaku sekarang membuktikan bahawa strategi ini tidak lagi berkesan. Untuk membina ketahanan ekonomi, pekerja kita perlu dibayar gaji yang lebih tinggi supaya kehidupan mereka terjamin serta keyakinan diri ditingkatkan. Apabila ini dapat dilaksanakan, mereka akan berbelanja dalam ruang ekonomi domestik, dan seterusnya menyumbang kepada peluang pekerjaan dan perniagaan untuk warga Malaysia yang lain di dalam ekonomi negara.

Amalan lama yang bergantung kepada industri berasaskan eksport sahaja sudah tidak relevan lagi. Kita memerlukan model yang baharu.

Gaji median pekerja Malaysia adalah RM3,045 pada Disember 2024, dan ia meningkat daripada RM2,764 pada Oktober dan November sebelumnya. Walaupun secara amnya ia masih rendah, ini tetap merupakan kejayaan Kerajaan Madani, kerana berjaya meningkatkan gaji median daripada RM2,424 pada 2022.

Sebanyak 29.2% pekerja sektor formal mendapat gaji kurang daripada RM2,000 sebulan. Gaji yang rendah ini tidak dapat menampung usaha mewujudkan masyarakat berdaya tahan.

Malah, gaji pekerja di Malaysia “ditentukan” di Bangladesh dan Singapura. Maksudnya, kita mengimport banyak tenaga buruh tidak mahir dari Bangladesh manakala banyak tenaga mahir Malaysia pergi bekerja di Singapura. Satu anjakan pemikiran baharu diperlukan untuk memperbaiki ketempangan ini.

Sempena sambutan Hari Pekerja, marilah kita sama-sama berusaha membina ekonomi yang mampu membayar gaji yang lebih baik kepada warga Malaysia. Ini akan memastikan industri Malaysia tidak lagi bersaing untuk menyekat kenaikan gaji pekerja, sebaliknya membina ekonomi yang berasaskan tenaga mahir, berteknologi, dan mempunyai daya produktivi tinggi.

Kongsi artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel yang berkaitan