
Dasar Automotif Negara Terkini dan Penubuhan Council of Automotive Eminent Persons (CAEP)

Kereta nasional yang pertama iaitu Proton Saga telah dilancarkan 40 tahun yang lalu pada 9 Julai 1985. Pelancaran Proton Saga menandakan bermulanya industri automotif negara yang terus berkembang sehingga ke hari ini.
Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) adalah dasar terkini yang menetapkan hala tuju pembangunan industri automotif negara. Matlamat utamanya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau berasaskan teknologi, inovasi, dan nilai tambah tempatan.
Di bawah dasar ini, tumpuan utama adalah kepada pembangunan teknologi baharu, termasuk Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicle – EEV), Kenderaan Elektrik (Electric Vehicle – EV), teknologi pemanduan autonomi, dan penerapan konsep Industri 4.0. Pada masa sama, NAP2020 juga menekankan pembangunan vendor tempatan supaya mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Bagi memastikan pelaksanaannya kekal relevan, MITI bersama agensi di bawahnya iaitu Malaysia Automotive Robotics & IoT Institute (MARii) sedang menjalankan kajian Kajian Separuh Penggal NAP2020. Kajian ini melibatkan sesi libat urus secara mendalam dengan pemain industri, pembuat dasar, dan agensi berkaitan bagi memastikan dasar ini sejajar dengan keperluan pasaran semasa dan perkembangan teknologi global.
Sebagai langkah tambahan, MITI telah menubuhkan Council of Automotive Eminent Persons (CAEP) pada Jun 2025, untuk membentuk halatuju baharu bagi industri automotif daripada perspektif berikut:
- mengurangkan penggunaan petrol sebagai bahan bakar utama automotif negara sekaligus mengembalikan status negara sebagai pengeksport minyak; dan
- tumpuan terhadap komponen semikonduktor dalam sektor automotif bagi meningkatkan eksport automotif negara terutamanya komponen.
CAEP dipengerusikan oleh YB Tengku Datuk Seri Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan dianggotai oleh peneraju sektor automotif, teknologi, kewangan, petroleum, dan pembuat dasar. Ahli-ahli CAEP adalah seperti berikut:
- YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri;
- Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI;
- Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI;
- Encik John Patrick Anthonysamy, Setiausaha Bahagian Cukai, MOF;
- Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad;
- Tan Sri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM;
- Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA;
- Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, Perodua;
- Tan Sri Dato’ Sri Yeoh Choon San, Pengerusi Eksekutif, Bermaz Auto Berhad;
- Dato’ Samson Anand George, Ketua Pegawai Eksekutif, Atlantis Motors;
- Azrul Osman Rani, Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Dagangan Berhad;
- Chen Li-Kai, Former Country Head & Managing Director of McKinsey Malaysia;
- Dato’ Omar Siddiq Bin Amin Noer Rashid, Ketua Pegawai Eksekutif, HSBC Malaysia;
- Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Former President & Group CEO Petronas;
- Nor Azah Razali, Independent Non-Executive Director, PNB;
- Mohd Shamsor Mohd Zain, President, Malaysia Automotive Association (MAA);
- Datuk (Dr.) Aminar Rashid, Pengerusi, Malaysia Automotive, Robotics, and IoT Institute (MARii); dan
- Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Automotive, Robotics, and IoT Institute (MARii)
CAEP telah bermesyuarat sebanyak dua (2) kali pada 13 Jun dan 5 Ogos 2025. Kajian yang dihasilkan melalui CAEP akan dibentangkan kepada MITI dan seterusnya Jemaah Menteri sebagai syor strategik bagi memuktamadkan Kajian Separuh Penggal NAP2020. Dasar yang dikemaskini ini akan menjadi pelan induk bagi masa depan automotif Malaysia agar selari dengan trend global seperti penggunaan EEV, mobiliti pintar, dan automasi.
Untuk rekod, jumlah jualan kenderaan baharu pada 2024 adalah 816,747 unit, melepasi paras 800,000 unit buat kali pertama dan menempatkan Malaysia di tangga kedua ASEAN bagi pasaran kenderaan penumpang. Prestasi ini mencerminkan keyakinan pengguna serta mengukuhkan penglibatan vendor tempatan. Pada tahun yang sama, jualan kenderaan janaan elektrik (xEV) termasuk BEV (Battery Electric Vehicle) dan hibrid telah mencatat jualan sebanyak 46,403 unit berbanding 35,723 unit pada 2023. Peningkatan jualan xEV, secara khususnya BEV telah disokong dengan pembangunan kemudahan mengecas di seluruh negara.
Dari segi strategi pasaran, NAP2020 tidak hanya memberi tumpuan kepada jualan kenderaan dalam negara. Sasaran besarnya adalah untuk memperluaskan pasaran automotif Malaysia ke peringkat antarabangsa bagi kenderaan (CBU dan CKD) serta komponen. Oleh itu, Kerajaan telah melaksanakan beberapa strategi, antaranya:
- Memberikan insentif cukai berdasarkan komitmen pelaburan, lokalisasi dan eksport bagi merangsang pembangunan ekosistem industri automotif.
- Meningkatkan daya saing vendor tempatan melalui program Supplier Competitiveness Level (SCL) yang diterajui oleh MARii;
- Membangunkan piawaian dan standard bagi memastikan produk memenuhi kehendak pasaran antarabangsa;
- Menggalakkan aktiviti R&D supaya Malaysia kekal berada di hadapan dalam aspek teknologi;
- Memperluas rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi membuka lebih banyak pasaran eksport; dan
- Mengadakan misi perdagangan untuk mempromosi produk automotif Malaysia di luar negara.
Kesemua inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan industri automotif negara terus berkembang, berdaya saing, dan mampu menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia, bukan sahaja dalam konteks pasaran domestik tetapi juga di pentas antarabangsa.
Ini adalah jawapan saya mewakili MITI kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kepala Batas di Dewan Rakyat pada 18 Ogos 2025.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·