Malaysia Di Persimpangan Yang Kritikal

Peristiwa 13 Mei 1969 mengakhiri pentadbiran era Merdeka, iaitu gabungan pelbagai kaum pimpinan Melayu yang dianggotai UMNO, MCA, dan MIC dengan sedikit-sebanyak ciri-ciri demokrasi. Darurat diisytiharkan seketika, dan kemudian ditamatkan, tetapi segala-galanya berubah selepas itu.

Antara punca utama rusuhan 1969 adalah keresahan kaum dan kesenjangan ekonomi. Antara punca gabungan Perikatan hilang sokongan rakyat pula ialah apabila generasi baby boomer yang lahir selepas Perang Dunia Kedua mula putus asa pada dekad 1960-an. Seperti keresahan Gen Z hari ini, mereka pada masa itu mahu pekerjaan yang lebih baik, gaji setimpal, dan peluang untuk kehidupan yang lebih terjamin.

Namun, dasar ekonomi pasaran bebas Perikatan yang bersifat 𝘭𝘢𝘪𝘴𝘴𝘦𝘻 𝘧𝘢𝘪𝘳𝘦 menyebabkan tidak banyak peluang pekerjaan dapat disediakan, dan akibatnya ramai anak muda menganggur.

Selepas peristiwa 13 Mei, Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri. Walaupun hanya sempat memegang jawatan itu kira-kira lima tahun sahaja apabila meninggal dunia pada usia 54 tahun, beliau berjaya membina tatanan politik baharu daripada tragedi 1969 yang bertahan begitu lama sehingga 2018.

Allahyarham Tun Razak telah menyusun semula pentadbiran negara:

• Daripada gabungan Perikatan pimpinan Melayu kepada koalisi Barisan Nasional yang didominasi kuasa Melayu dengan diterajui UMNO;

• Daripada ekonomi pasaran bebas laissez faire kepada ekonomi campur tangan kerajaan, sesetengahnya dianggap baik, seperti menghasilkan pekerjaan melalui perindustrian, walaupun kemudiannya Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melahirkan pula fenomena kronisme;

• Daripada dasar luar negara pro-Barat kepada dasar bebas berkecuali, satu legasi penting negara yang sangat saya hargai; dan

• Daripada pentadbiran separa demokrasi kepada kerajaan hampir kuku besi sejak dekad 1970-an.

Tun Razak bersama timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman berharap dasar yang mereka perkenalkan itu sebagai transisi untuk membina semula negara sejak peristiwa 13 Mei. Mereka sedar bahawa ciri-ciri keras pentadbiran hanyalah langkah sementara yang akan berakhir apabila DEB mencapai matlamatnya untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan menjelang 1990.

Tun Razak dan Tun Dr Ismail mempunyai wawasan yang jauh ke hadapan. Namun tidak semua cita-cita mereka dapat dicapai, struktur dan pentadbiran autoritarian tidak berakhir pada 1990.

Menjelang dekad 1990-an, satu generasi baharu pemimpin Melayu muncul dengan penuh yakin dan berwawasan yang berpaksikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pada Februari 1991, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkan wawasan 2020 dan idea Bangsa Malaysia. Anwar menyusul dengan membawa konsep “Melayu Baru”, dan kemudiannya diperluaskan melalui idea “Kebangkitan Asia”.

Tahap keyakinan Malaysia pada 1990-an memang tinggi. Slogan “Malaysia Boleh” dipegang bersungguh-sungguh dengan penuh semangat, walaupun kemudiannya ia hanya menjadi kata-kata dipandang sinis. Anak-anak muda Malaysia ketika itu berasa yakin tentang masa hadapan negara. Generasi kami menghormati kaum-kaum lain dan tidak mudah terperangkap dengan sikap perkauman berbanding generasi sebelumnya.

Namun, Krisis Kewangan Asia 1997 menghancurkan harapan Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang agung. Dr Mahathir memecat Dato’ Seri Anwar pada September 1998 yang menyebabkan krisis terus meruncing yang turut mengikis keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Pada 2001, apabila China menyertai Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) dan menjadi negara tumpuan perdagangan dan pelaburan dunia, Malaysia semakin dilupakan. Negara kita diketepikan dan terpinggir hampir tiga dekad lamanya.

Tetapi benih harapan 1990-an telah tumbuh dengan baik dan sudah matang walaupun rejim semasa sentiasa cuba melenyapkannya dari awal lagi. Ini bermakna harapan untuk Malaysia masih bersinar.

Pada 1999, sewaktu di penjara, Dato’ Seri Anwar membuat keputusan yang berani. Beliau menolak pelawaan untuk menyertai PAS, sebaliknya menubuhkan sebuah wadah pelbagai kaum Parti Keadilan Nasional, yang kemudiannya berkembang menjadi Parti Keadilan Rakyat pada 2003.

Ramai orang terpikat dengan idea bahawa Malaysia mampu menjadi sebuah negara penting di rantau ini di samping menjadi kuasa ekonomi serantau yang mana semua rakyat dapat menggembleng tenaga untuk membina bersama negara. Semakin ramai rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, yakin bahawa negara kita tidak semestinya sentiasa dikuasai rejim kuku besi, dan mampu berubah menjadi sebuah negara demokrasi.

Tentunya wawasan politik pelbagai kaum yang diterajui Melayu yang dibawa oleh Anwar menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan. Golongan yang menyuarakan Ketuanan Melayu mahu meneruskan pemerintahan kuku besi bagi melindungi perbuatan korup mereka. Mereka melakukan pelbagai cara untuk mengaburi pandangan rakyat, khususnya orang Melayu, daripada menerima wawasan demokrasi yang lebih terbuka, progresif dan adil.

Namun, kuasa rakyat terserlah. Tatanan politik lama yang dibawa oleh UMNO tersungkur pada pilihan raya umum 2018 apabila rakyat Malaysia sudah tidak tahan lagi menanggung kesan, malah malu tahap global, berikutan skandal mega 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, walaupun rejim cuba menyembunyikannya.

Sejak itu, golongan tatanan politik lama masih cuba menghidupkan kembali idea lapuk mereka yang berteraskan pemerintahan autoritarian. Melalui propaganda mereka, golongan demokrat yang percaya kepada idea kepelbagaian kaum digambarkan sebagai pengkhianat, walaupun kita tahu tuduhan itu adalah fitnah semata-mata.

Kita kini berada di persimpangan, iaitu berhadapan dengan dua wawasan yang amat berbeza: Malaysia sebagai negara autoritarian dan Malaysia sebuah negara demokratik.

Menjelang sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan Malaysia tahun hadapan, dan dalam suasana kita perlu menghadapi banyak pilihan raya sekarang, rakyat Malaysia perlu membuat pilihan – di antara wawasan 1970 yang telah ditolak dan aspirasi 1998 yang mencetuskan harapan baharu.

Pilihan yang tepat dapat membawa Malaysia yang lebih matang berfikir, bersatu padu, dan berjaya membawa kemakmuran untuk semua dalam tahun-tahun mendatang ini.

Kita perlu membuat pilihan, sama ada menerima yang baik atau yang buruk, dan jika kita gagal berbuat demikian, Malaysia yang kita cintai akan menjadi sebuah negara yang hodoh.

Kongsi artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel yang berkaitan