
Bakat Muda DAP

Sepanjang dua minggu sewaktu berkempen di merata tempat di Johor, ramai yang menyuarakan kebanggaan mereka dengan bakat-bakat muda DAP yang diketengahkan untuk pilihan raya negeri Johor kali ini.
Di bawah kepimpinan Pengerusi DAP Johor Sdri Teo Nie Ching, sejarah dicatatkan apabila parti yang meletakkan hampir separuh calon wanita (8 daripada 17), melebihi daripada kuota 30% yang sering dituntut
Memupuk bakat bukan suatu kerja mudah, apatah lagi untuk parti politik. Petugas parti biasanya menyumbang banyak masa dan tenaga mereka, malah ada sanggup meninggalkan peluang kerjaya yang lebih baik. Tidak cukup dengan itu, apabila berdepan dengan orang ramai, kadang-kadang terpaksa menerima kritikan dan kemarahan. Namun, semuanya mereka laksanakan demi perjuangan untuk kesejahteraan rakyat.
Hanya beberapa belas jam saja sebelum hari mengundi, izinkan saya sekali lagi memperkenalkan calon-calon muka baru DAP yang telah lama berkhidmat dengan parti dan kerja-kerja kemasyarakatan. Dalam usia muda, mereka sebenarnya sudah banyak pengalaman, khususnya bersama rakyat di peringkat akar umbi.
🔺 Calon DUN Skudai Sdri Kartiyaini Jeyapalan – Beliau merupakan seorang peguam yang pernah berkhidmat sebagai pembantu dasar di Pejabat Exco Kerajaan Negeri sewaktu pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan pada 2018. Kemudian beliau menguruskan Pejabat ADUN Perling yang saya wakili.
🔺 Calon DUN Tiram Sdri Nor Zulaila Abdul Ghani – Beliau menyertai DAP sejak 2014, dan mula bertugas di Pejabat Ahli Parlimen pada tahun yang sama. Pada 2018 dilantik menjadi Ahli Majlis, dan sejak 2023 merupakan Setiausaha Sulit saya di Pejabat Timbalan Menteri MITI, dan kemudiannya di Pejabat Timbalan Menteri Kewangan. Selain mengendalikan isu-isu pihak berkuasa tempatan, beliau juga terlibat dalam perbincangan dasar Kementerian.
🔺 Calon DUN Johor Jaya Sdri Lee Wern Yiing – Beliau menjadi pelatih/intern di pejabat saya pada 2014 sewaktu saya menjadi Ahli Parlimen Kluang. Pada 2018 beliau berkhidmat dengan penyandang ADUN Johor Jaya Sdri Liow Cai Tung, termasuk menjalankan tugas di Pejabat Exco Kerajaan Negeri. Ini membolehkan beliau mengutip pengalaman lapangan dan pentadbiran kerajaan negeri.
🔺 Calon DUN Yong Peng Sdri Yong Hui Yi – Beliau menjadi pelatih/intern di pejabat Sdri Wong Shu Qi pada 2016 sebelum menyertai DAP pada 2018, iaitu selepas menamatkan pengajian dalam bidang sains politik. Sepanjang lapan tahun lalu, beliau berkhidmat dengan pejabat Ahli Parlimen Kluang dan Kulai serta Jabatan Organisasi di Ibu Pejabat DAP Johor.
🔺 Calon DUN Bukit Permai Sdr Mohamad Shafwan Ani – Graduan sains politik yang telah berkhidmat sebagai pembantu Ahli Parlimen Kulai Sdri Teo Nie Ching sepanjang sembilan tahun lalu. Kerajinan dan ketabahannya bertugas merupakan kekuatannya, selain tahu selok-belok kawasan Bukit Permai.
🔺 Calon DUN Parit Raja Sdr Shazwan Dzainal Abidin – Beliau memulakan khidmatnya sebagai pembantu ADUN Penggaram Sdri Gan Peck Cheng pada 2018. Apabila Sdri Gan menjadi Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor, beliau turut membantu dalam hal-ehwal perundangan. Sepanjang lapan tahun lalu, beliau menimba pengalaman di lapangan dan pentadbiran awam. Pada PRU 2022, beliau bertanding kerusi Parlimen Pontian yang dipertahankan oleh tokoh UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan. Beliau sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang cabaran.
Calon-calon muka baru DAP yang lain adalah Sdri Chu Poh Yee bagi DUN Mengkibol, Sdr Dr Ruban Arumugam (Paloh), Sdri Felicia Poh Rui Ling (Penggaram) dan Sdri Tay Yok Jiuen (Bekok).
Saya merayu kepada semua pengundi Johor tanpa mengira kaum agar memberi peluang kepada calon-calon Pakatan Harapan, khususnya anak-anak muda yang bersedia untuk menyumbang tenaga ke arah kesejahteraan Johor. Undilah Pakatan Harapan!
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·