
Berkenaan Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART)

Saya merujuk kepada kenyataan media bersama oleh Ahli Parlimen Pandan Dato’ Seri Rafizi Ramli, Wong Chen (Subang Jaya), dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) berhubung isu Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART). Izinkan saya memberi penjelasan.
Dalam kenyataan media itu, mereka menyebut bahawa:
“Setelah penelitian dan perbincangan yang mendalam, kami yakin bahawa Perjanjian ini sangat berat sebelah dan memihak kepada Amerika Syarikat. Kami juga mengambil maklum bahawa Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Liew Chin Tong, dalam satu forum awam pada 3 November 2025, menyatakan bahawa Malaysia telah dipaksa untuk memasuki rundingan ini dan bahawa ia bukan satu perkongsian setara.”
Adalah dikesali sikap Ahli-Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan ini yang memetik ucapan saya secara terpilih (selective) tanpa menjelaskan keseluruhan maksud dan konteksnya. Ini merupakan satu tindakan berniat buruk yang membuka ruang untuk salah tafsir isi kandungan ucapan saya yang sebenar.
Yang mereka petik secara terpilih itu adalah daripada ucapan saya di satu panel perbincangan di Persidangan Perniagaan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengenai Belanjawan 2026, Cukai SST, dan Perkembangan Terkini Perdagangan Antarabangsa.
Ucapan saya perlu didengar dan difahami dalam konteks luas merangkumi perdagangan antarabangsa pada masa sekarang. Apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenakan tarif yang tinggi terhadap rakan-rakan dagangnya pada 2 April lalu, semua negara termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam, dan Kesatuan Eropah, perlu mengadakan rundingan untuk mengurangkan kadar tarif tersebut. Malaysia juga berada dalam kedudukan yang sama.
Apa yang saya sampaikan dalam forum tersebut ialah, dalam jangka panjang, Malaysia dan negara-negara dagang perlu membangunkan permintaan domestik dan serantau masing-masing, serta mempelbagaikan perdagangan bagi mengurangkan pergantungan kepada pasaran AS sahaja.
Walaupun dalam keadaan global yang menyukarkan, kita tetap berjaya dalam rundingan untuk menurunkan beban tarif AS daripada 24% – 25% kepada 19% di bawah perjanjian ART, serta meluaskan akses pasaran kita. Semua yang terkandung dalam perjanjian ini memberi jaminan kepastian (certainty) yang akan menstabilkan ekonomi Malaysia. Kestabilan ini amat penting bagi Malaysia yang sedang berusaha membina semula serta mengukuhkan ekonomi kita.
Semua ini berjaya dilaksanakan tanpa menjejaskan kedaulatan negara kita. Tuduhan oleh ketiga-tiga Ahli Parlimen itu yang mendakwa Artikel 5.1, 5.2, dan 5.3 menyekat hak Malaysia atau memaksa kita mengikut telunjuk AS menggambarkan betapa sengaja mereka mengada-adakan isu, mengulang-ulang tuduhan, dan buat-buat buta dengan realiti sebenar perjanjian ini.
Komitmen kedua-dua negara dalam perjanjian ini mesti dilaksanakan dengan memastikan ia tidak menjejaskan kedaulatan Malaysia. Malah, Artikel-Artikel yang mereka sebutkan itu dengan jelas telah disusun perkataan dan ayat yang menjamin kedaulatan Malaysia seperti “mengikut undang-undang dan peraturan dalam negara” (in accordance with its own domestic laws and regulations) dan apabila timbul “kebimbangan bersama ekonomi atau keselamatan negara” (shared economic or national security concerns).
Dengan itu, cadangan-cadangan tiga Ahli Parlimen tersebut seperti menuntut penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dan mendesak Malaysia kembali berunding dengan AS, serta berapa cadangan lain, jelas tidak perlu, malah ia menunjukkan mereka kurang faham tentang terma-terma dalam ART dan konteks perdagangan antarabangsa yang lebih luas. Jika cadangan mereka dituruti, ia akan menjejaskan pasaran dan ekonomi negara kita.
Menteri MITI Tengku Zafrul Aziz dan saya bersama para pegawai Kementerian sentiasa bersedia untuk memberi taklimat kepada Ahli-Ahli Parlimen tentang hal-ehwal perdagangan antarabangsa. Sebagai seorang Ahli Parlimen yang mula dipilih pengundi sejak 2008, saya sentiasa komited kepada pemantauan Parlimen tetapi sebarang teguran perlulah dilakukan dengan niat baik.
Percubaan untuk menonjolkan imej buruk negara serta membangkitkan rasa curiga dengan tuduhan-tuduhan separuh benar tidak akan membantu masyarakt umum memahami isi kandungan sebenar ART dan kesulitan serta masalah yang dihadapi semua negara pengeksport.
Kerajaan dan MITI jelas pandangan dan hala tuju. Kita berada di sini untuk melindungi pekerjaan warga Malaysia dan pasaran eksport kita yang masih bergantung kepada pasaran AS buat masa ini. Namun, pada masa yang sama, kita tetap berusaha untuk membina daya ketahanan domestik, mengukuhkan perpaduan ASEAN, dan mempelbagai hubungan perdagangan.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·