Isu Parkir Di Johor Bahru: Nampak Kecil Tetapi Akan Menjadi Masalah Besar Jika Tiada Perancangan Serius

Sewaktu melawat Pasar Awam Taman Perling hujung minggu lalu, ramai peniaga dan orang ramai mengadu kepada saya lagi tentang tempat letak kereta untuk pengguna pasar telah diambil oleh orang yang bekerja di Singapura.

Walaupun masalah ini bukan sahaja berlaku di Perling, ia menimbulkan pelbagai masalah di bandaraya Johor Bahru kerana ruang parkir sudah “dikuasai” oleh mereka yang mahu ke Singapura dengan menaiki bas di perhentian bas yang berhampiran sejak awal pagi.

Keadaan ini menyusahkan orang ramai dan peniaga pasar kerana terpaksa mencari tempat letak kereta yang lebih jauh. Malah, ada pengguna kecewa yang tidak jadi datang ke pasar apabila tidak mendapat tempat parkir, dan ini menjejaskan perniagaan di pasar awam.

Pada masa yang sama, saya percaya mereka yang berulang-alik ke Singapura juga menghadapi masalah kerana tiada tempat letak kereta jangka masa panjang disediakan khas untuk mereka. Walaupun Kerajaan Negeri Johor pernah berjanji untuk membina kemudahan parkir bertingkat di Bukit Indah, ia belum lagi dilaksanakan.

Namun, saya berharap kita tidak menganggap isu ini sebagai masalah di antara peniaga serta pengguna, dan pekerja yang berulang-alik ke Singapura. Yang penting, kita perlu melihatnya dari sudut cabaran perancangan yang memerlukan penyelesaian menyeluruh daripada pihak berkuasa.

Sudah banyak kali saya mencadangkan supaya sistem parkir dua jam diperkenalkan bersama dengan penguatkuasaan yang tegas bagi membolehkan pengguna dan pelanggan datang ke pasar serta kedai-kedai berdekatan. Parkir terhad ini bertujuan mengelakkan perbuatan “menguasai” petak parkir dalam kawasan yang sibuk seperti pasar.

Untuk mereka yang berulang-alik ke Singapura, tempat letak kereta jangka masa panjang khas juga perlu disediakan di samping menambah baik perkhidmatan bas shuttle.

Kali pertama saya kemukakan cadangan ini ialah hampir tiga tahun lalu. Baru-baru ini, saya difahamkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan dasar had masa untuk parkir awam tetapi setakat ini belum ada sebarang pelaksanaan.

Jika masih tiada tempat letak kereta jangka masa panjang khas dan pengangkutan awam yang cekap, masalah yang dialami sekarang akan menjadi lebih meruncing nanti. Ini adalah kerana orang ramai akan terus berebut tempat letak kereta di sekitar perhentian serta laluan bas, dan ini akan menyebabkan beban berterusan kepada peniaga dan penduduk setempat.

Saya berharap Kerajaan Negeri yang dibentuk selepas pilihan raya negeri kali ini akan memberi tumpuan yang lebih serius terhadap masalah ini kerana ia bukan sahaja penting kepada orang ramai dan peniaga tetapi juga demi menjaga imej Johor Bahru sebagai bandaraya antarabangsa.

Kongsi artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel yang berkaitan