DAP Johor pada Tahun 2017

2017 bakal menjadi tahun penuh cabaran buat Malaysia untuk tempoh 60 tahun ini. Dalam misi merencana agenda perubahan, negeri Johor memainkan peranan amat penting. Di atas latar inilah, DAP Johor akan melakukan yang terbaik bagi menawarkan pilihan yang jelas kepada rakyat untuk menentukan masa hadapan Johor dan Malaysia.

3 Nilai Sebagai Asas
Adil, Bersih dan Solidariti akan menjadi 3 nilai asas kami dalam melakar halatuju Johor. Masyarakat yang adil dengan sistem pemerintahannya yang bersih dan solidariti atau semangat persaudaraan sesama rakyat adalah asas utama kepada Impian Johor.

Bangsa Johor
Bangsa Johor merupakan idea dan identiti yang sedang popular kini. Bagaimanakah kita dapat memastikan semangat Bangsa Johor ini dapat mengubah kehidupan rakyat terbanyak ke tahap yang lebih baik?

Menjawab persoalan ini, DAP komited agar idea desentralisasi dan penurunan kuasa yang lebih dari Kerajaan pusat kepada pentadbiran Negeri direalisasikan segera. Dasar-dasar pengangkutan, perbandaran, pendidikan dan kesihatan contohnya, mestilah diletakkan dibawah pentadbiran Kerajaan Negeri. Sebahagian jumlah yang tertentu dari hasil kutipan cukai negeri (contoh; 50%) mestilah disalurkan untuk kegunaan dan manfaat negeri ini.

Isu-isu dasar
Pilihan Raya Umum mungkin diadakan selepas sambutan Hari Malaysia 2017. Namun, kita tidak boleh menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri Johor akan dijalankan lebih awal dari itu. Walaupun Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Menteri Besar Khaled Nordin telah menafikan berita yang dipaparkan menerusi akhbar The Star, ia menunjukkan bahawa pilihan raya berasingan di peringkat negeri Johor adalah suatu yang tidak mustahil.

Justeru, DAP tidak boleh sekadar bergantung pada isu-isu nasional semata-mata. Sebaliknya, DAP harus tampil dengan agenda-agenda negeri yang lebih komprehensif dan meyakinkan.

DAP merupakan sebuah parti yang ideal dan bergerak atas idealisma dan kejituan idea. Sejak 3 tahun lalu, kita konsisten mendesak Kerajaan Johor agar memberi tumpuan yang lebih dalam isu pengangkutan awam dan pengurusan air. Kita perlu terus menjuarai isu dasar ini memandangkan kedua-duanya masih belum berada pada tahap yang memuaskan.

DAP Johor untuk tahun 2017 juga akan menumpukan agenda-agenda polisi berikut:

‘Property bubble’ dan perumahan
Kerajaan Johor perlu memberikan fokus yang serius terhadap isu gelembung hartanah atau ‘property bubble’ yang tidak dapat dielakkan kini dan mengemukakan solusi kepada isu perumahan khususnya melibatkan golongan sederhana dan kebawah di Johor.

Jurang bandar-luar bandar
Kerajaan Johor perlu memberikan tumpuan yang lebih untuk merapatkan kesenjangan pembangunan yang jelas kelihatan antara bandar dan luar bandar termasuklah antara Wilayah Iskandar dan pekan-pekan kecil di Johor tengah dan Johor selatan.

Krisis pekerjaan
Umum mengetahui keadaan ekonomi hari ini yang bergerak amat perlahan. Dalam kekangan ini, DAP akan terus berusaha keras memastikan Kerajaan Johor tidak mengabaikan tanggungjawabnya untuk menyediakan infrastruktur serta persekitaran yang kondusif agar rakyat memiliki pekerjaan yang baik khususnya melibatkan anak muda dan wanita.

Alam sekitar dan kebersihan
Rakyat memiliki harapan dan ekspetasi yang tinggi dalam memastikan kehidupan mereka dilingkari persekitaran yang lestari dan bersih. DAP perlu menjadi juara dan suara untuk rakyat dalam mengetengahkan isu ini dan mendesak Kerajaan Johor agar bertindak sewajarnya.

DAP akan konsisten berjuang dan menjadikan agenda untuk memastikan Kerajaan Johor terus berdaya saing, bertanggungjawab dan telus dalam urustadbir negeri sebagai agenda yang utama.

Cabaran
Untuk mejayakan agenda-agenda yang telah digariskan, kita harus berhadapan dua cabaran besar;

Pertama, DAP Johor bersama-sama Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat akan berkerjasama menerusi Pakatan Harapan untuk menjajarkan semula politik dan meluruskan garis-garis berikut:

– Antara yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri Najib dan; mereka yang menentangnya.

– Antara yang terus menutup mata terhadap skandal serta korupsi yang berlaku di Malaysia dan; mereka yang berjuang demi sebuah Malaysia baru yang bersih dan adil.

– Antara yang berterusan memecahbelahkan rakyat melalui sentimen sempit perkauman serta mempergunakan agama dan; mereka yang berusaha menyatupadukan rakyat atas semangat luhur Bangsa Johor dan Bangsa Malaysia.

Penjajaran ini akan berhadapan pelbagai cabaran. Namun demi masa hadapan yang lebih baik, kita akan terus berjuang dan tidak akan menyerah kalah.

Kedua, saban tahun DAP telah dimomokkan dengan pelbagai label yang negatif. Justeru, kita mestilah menyantuni seberapa ramai rakyat Johor tanpa mengira latar perbezaan untuk meyakinkan mereka bahawa;

– DAP adalah parti untuk seluruh Bangsa Johor dan Bangsa Malaysia;

– DAP adalah parti yang ideal dan bergerak atas idealisma dan asas idea yang jitu dan segar serta;

– DAP adalah parti untuk masa hadapan rakyat Malaysia.

(Ucapan Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong yang disampaikan di mesyuarat tahunan DAP Negeri Johor pada 23hb Oktober 2016, dan untuk siaran media pada 24hb Oktober 2016. )

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More