Apabila usia saya mencecah 40

Saya sudah menjadi Ahli Parlimen selama hampir sedekad dan ditambah beberapa tahun lagi sebagai orang yang biasa hadir di pentas awam. Namun saya jarang bercakap tentang diri saya sendiri. Kerana saya mencecah umur 40 hari ini pada 27 November 2017, izinkan saya berkongsi beberapa cerita yang membentuk diri saya hari ini.

Bagaimana saya tertarik dengan politik
Minat saya dengan politik bermula sejak 1986, ketika umur saya 9 tahun.
Ibu dan ayah saya bersua buat kali pertama di Kuala Lumpur pada 1970an ketika mereka menjadi anggota koir Cina – salah satu daripada sejumlah kecil organisasi sosial “sihat” dan tidak politikal untuk anak muda selepas tragedi 13 Mei. Setelah mereka mampu, sebagaimana keluarga kelas pekerja yang mengidam ingin menjadi kelas pertengahan, mereka menghantar saya dan kedua-dua adik perempuan saya ke kelas seni dan piano – kedua-dua subjek ini bukan minat saya. Saya kemudian “dimerdekakan” daripada kedua-duanya apabila kewangan keluarga saya merosot akibat krisis ekonomi pada 1985. Piano itu terpaksa dijual – hal yang menyedihkan buat ibu-bapa saya namun memberi kegembiraan untuk jiwa nakal saya.

Sukatan pelajaran sekolah juga tidak menarik minat saya. Sejak 1986, saya meluangkan sekurang-kurangnya dua jam sehari membaca akhbar bahasa Cina dari muka surat depan ke muka surat belakang, cuba memahami sendiri semua drama-drama utama dunia.

Salah satu drama yang mendapat liputan sepanjang awal tahun 1986 adalah kematian jutawan waris Loh Boon Siew, Kah Kheng di Batu Feringghi, Pulau Pinang. Sebagai kanak-kanak yang membesar di Subang Jaya saya tidak pernah membayangkan dua dekad selepas itu saya akan menjadi Ahli Parlimen untuk kawasan yang menempatkan rumah banglo Boon Siew sehingga hari ini.

Saya dapat lihat keterujaan ketika pilihan raya umum Ogos 1986. Tiba-tiba jalan raya berwarna-warni dan meriah dengan poster dan bendera parti politik. Mendiang Poh Ah Tiam, rakan seperniagaan ayah saya, bertanding sebagai calon MCA di Melaka. Beliau seterusnya menang dan menjadi Exco.

Tahun itu, sentimen awam menentang MCA, antara lain disebabkan skandal koperasi pengambilan deposit yang menyaksikan beberapa ahli politik berprofil tinggi MCA disabitkan kesalahan menipu duit simpanan rakyat Cina biasa.

Rakanseperniagaan lain ayah saya berjenaka sinis di belakang Poh bahawa “kolar” dan “lengan baju” adalah bahagian paling kotor. Perkataan Cina untuk untuk pemimpin, “ling xiu” (领袖) mengandungi perkataan “kolar” dan “lengan baju”. Sebagai seorang kanak-kanak sembilan tahun, saya ambil masa sehari untuk faham maksud sebaris ayat itu.

Kebetulan, Poh meninggal dunia kerana menghidap kanser pada 15 Mac 2007, hari sama saya dilantik untuk tugas pertama bagi DAP kebangsaan. Saya dilantik sebagai Penasihat Strategi Pilihanraya kepada Setiausaha Agung DAP, dua minggu selepas pelantikan Tony Pua sebagai Penasihat Ekonomi, yang merupakan usaha Lim Guan Eng melatih pemimpin baru sempena pilihan raya umum ke-12.

Penghujung tahun persekolahan 1987, guru kelas kami di SJK(c) Puay Chai di SS2 Petaling Jaya bertanya kepada setiap anak murid darjah empat di kelasnya cita-cita masing-masing. Ramai yang ingi jadi doktor, guru dan peguam. Guru kelas saya itu terkejut dan rakan sekelas saya yang lain terpinga-pinga apabila saya umumkan ingin menjadi “negarawan/ahli politik” atau bahasa cinanya “政治家”.

Tahun 1987 merupakan tahun yang mencabar untuk Malaysia, namun bagi seorang kanak-kanak yang sedang belajar sendiri tentang politik ia tahun yang hebat. Suratkhabar akan cuba memberi latar belakang cerita yang lebih lanjut apabila sesuatu persitiwa terjadi.

Tahun itu menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dalam merebut kerusi presiden UMNO dengan kemenangan tipis; ketegangan kaum marak antara pemuda UMNO dan kumpulan pendidik Cina; Prebet Adam mengamuk dan menembak orang awam pada 17 Oktober di Chow Kit (yang menyebabkan hanya empat orang rakan sekelas saya hadir keesokan harinya); dan sudah tentu, Ops Lalang pada 27 Oktober. Lim Kit Siang yang dipenjarakan dilihat sebagai wira sementara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim adalah penjahat.

Saya mempunyai sifat yang suka memberontak. Ketika saya darjah enam, saya menulis surat kepada guru besar mengadu tentang seorang guru. Beberapa tahun kemudian, pada 2013, ayah saya memberitahu bahawa guru itu memanggil ibu saya ke sekolah dan menengkingnya di depan orang ramai tentang anaknya yang dikatakan “berperangai seperti Lim Kit Siang”.

Kenyataanitu sebenarnya bermaksud untuk mencela, kalau-kalau ada orang anggap Lim Kit Siang sentiasa dihormati masyarakat Cina. Pada dekad sebelum 2008, DAP merupakan parti golongan kelas pekerja dan keluarga miskin, sementara ramai yang lain melihat mereka sebagai golongan yang pelik.

Namun, dengan takdir yang aneh, hampir sejak sedekad lalu, saya bekerja di sisi Kit Siang, dan satu ketika Anwar dan kini Dr Mahathir. Saya tidak nafikan ia adalah pengalaman istimewa dapat bekerja bersama nama-nama besar ahli politik yang saya dengar sejak zaman kanak-kanak. Pilihan raya umum ke-14 yang akan berlangsung dalam beberapa bulan saja lagi bakal menyaksikan sesuatu yang luar biasa. Bagi nama-nama besar ini yang telah menjadi watak utama dalam politik Malaysia sejak 1960-an, ia seakan-akan bakal menjadi pertarungan terakhir mereka. Untuk kali pertama, Kit, Anwar dan Dr Mahathir bersatu bagi membawa negara kembali ke landasan yang betul demi generasi akan datang.

Bagaimanapun, memikirkan penghinaan yang ibu saya terima daripada guru itu pada 1989, yang mungkin memandang rendah kepada kami anak beranak kerana kami jual tiket loteri di tepi jalan, membuat saya rasa pilu.

Kepayahan ekonomi dan belas kasihan
Kepayahan hidup yang dilalui keluarga saya mengajar saya erti belas kasihan, yang saya anggap merupakan perwatakan paling utama yang perlu ada bagi seseorang ahli politik, dan membuat saya betul-betul faham kesan ekonomi dari keputusan serta tindakan kerajaan kepada rakyat biasa tanpa mengira kaum.

Ibu bapa saya datang dari kawasan perumahan paling miskin di Kuala Lumpur. Rumah keluarga ayah saya terletak di kawasan perkuburan di Sungai Besi. Pada 1987, ketika ayah saya mengalami tekanan ekonomi, beliau mempertimbangkan untuk menjual rumah di Subang Jaya dan memindahkan kami sekeluarga ke rumah yang dikelilingi kubur. Membayangkang hal itu cukup menakutkan saya. Jaminan kerja dan kewangan tidak hanya memberi kesan kepada identiti diri ketua keluarga yang mencari rezeki tapi juga kesihatan psikologi anak-anak mereka.

Ayah saya merupakan antara pelajar terbaik di dalam kelas namun beliau tidak mempunyai kemampuan kewangan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Selepas saya lahir, beliau kerja sebagai pemandu bas mini. Ekonomi keluarga kami semakin baik sehingga satu hari pegawai polis pencen Cawangan Khas pemilik permit ayah membuat keputusan untuk tidak lagi menyewakan permit kepadanya. Ayah kemudian menjadi pemandu teksi sebelum membuka kedai menjual peralatan sembahyang Cina. Perniagaannya tidak begitu menjadi dan akhirnya beliau terpaksa menyertai syarikat pemasaran pelbagai peringat (multi-level marketing).

Pada tahun berikutnya selepas kemerosotan ekonomi pada 1985, angka-angka pada statistik tertentu menunjukkan ekonomi Malaysia meningkat dengan ketara. Namun, kami tidak dapat merasakan hal itu. Sekitar 1988, ketika kerja ayah di Melaka tidak menjadi, saya dan ibu berjalan kaki beberapa kilometer ke kewasan perumahan mewah berhampiran dan menjual syampu dan barangan lain dari pintu ke pintu. Kami tidak mempunyai duit yang cukup untuk membeli barangan dapur. Itu mungkin pengalaman yang mengajar saya untuk mengetuk dari satu pintu ke pintu yang lain sebagai ahli politik yang meraih undi.

Hujung bulan Disember 1988, ayah pulang dari tempat kerja di Melaka dan memberitahu dia telah kehilangan semuanya dalam perniagaan kecilnya, selain kini menanggung hutang. Untuk sebulan, beliau tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saya hanya boleh melihat dengan penuh kesedihan.

Ibu bekerja sebagai kerani sehinggalah adik perempuan saya lahir. Ibu kemudian menjadi suri rumah selain membantu perniagaan kecil ayah.

Pada Januari 1989, ada orang memberitahu kami tentang tiket loteri (Big Sweep) akan dilancarkan. Ibu mengambil peluang itu menjadi penjual tiket loteri dan sering bekerja sehingga 16 jam sehari, tujuh hari seminggu. Di antara 1989 dan 1991, saya juga ikut menjual tiket loteri di tepi jalan pada sebelah malam dan ketika cuti sekolah.

Oleh kerana kami biasanya menjual tiket loteri di kawasan gerai, apabila hujan berlarutan seminggu, ia menjejaskan hasil jualan kerana tidak ramai orang makan di luar rumah. Hasil jualan juga dipengaruhi oleh faktor ekonomi lain atau tindakan dan keputusan kerajaan. Golongan yang berada di tangga paling bawah ekonomi, terutama mereka yang berada di sektor tidak formal seperti ibu bapa saya, selalunya lebih mudah terjejas dan sukar untuk bangkit semula. Mengunjungi kedai pajak gadai atau mencari wang RM50 untuk menunaikan cek RM10,000 adalah pengalaman yang saya tidak akan lupa.

Malah, ketika zaman ekonomi pesat sekitar 1990an pun kami cuma hidup sekadar cukup makan kerana masih berhutang, sehingga krisis 1997 mencampak kami semula ke garis mula. Kerana saya menjadi saksi pecahnya gelembung ekonomi buih pada 1997, saya sering menasihati rakan-rakan agar tidak mudah rambang mata dengan pinjaman perumahan apabila harga sedang naik.

Wacana ekonomi di negara ini dicemari dengan sentimen perkauman. Sering kali, baik pemimpin politik Melayu atau usahawan Cina, mereka menggambarkan seolah-olah semua orang Cina adalah kaya belaka. Idea-idea perkauman telah membutakan kita daripada hakikat sebenar bahawa memang ramai Cina miskin, yang berkongsi pengalaman sama dengan orang Melayu, India, Kadazan dan Dayak yang turut berada di tangga paling bawah sistem ekonomi.

Saya benci dengan segolongan elit yang menganggap golongan yang tidak begitu berjaya dari segi ekonomi adalah mereka yang kurang cerdik atau pemalas. Ibu bapa saya cerdik, jujur dan rajin, namun sering kali nasib tidak menyebelahi mereka kerana setiap kali krisis ekonomi terjadi golongan yang paling bawah akan terasa kesannya. Rasa empati adalah kunci untuk sebuah masyarakat yang lebih baik.

Reformasi dan menyertai DAP
Saya menyerahkan permohonan menjadi ahli DAP pada Disember 1999, beberapa minggu selepas pilihan raya paling teruk untuk parti itu pada 29 November 1999 yang menyaksikan kekalahan mengejut Kit Siang dan Karpal Singh, masing-masing di Bukit Bendera dan Jelutong.

Propagandis UMNO sering kali menggambarkan DAP sebagai parti besar dan mempunyai niat jahat. Saya beritahu mereka apa yang saya beritahu ahli DAP yang lebih muda daripada saya: Kekuatan DAP tidak datang daripada sumber, dana atau jawatan kerajaan. Kekuatan kami terletak pada hakikat bahawa kami pernah hilang segala-galanya sebelum ini (pada 1999), namun kami berjaya bertahan. Selepas melalui pelbagai kesukaran itu, kami sudah dipersiapkan untuk memacu sebuah gerakan dari kosong.

Semua ini banyak dipengaruhi oleh kekuatan Kit Siang sebagai pemimpin.
Bill Clinton bercakap tentang mengunjungi JFK di rumah putih ketika beliau seorang pelajar muda. Pada 1990, saya menyertai kunjungan parlimen yang dianjurkan oleh guru di sekolah saya, Sekolah Menengah Kwang Hwa di Klang. Guru itu aktif dengan DAP dan akhirnya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan untuk satu penggal.

Pada ketika itu, Parlimen mula bersidang pukul 2.30 petang. Kami bertuah dapat menyaksikan perbahasan di antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang. Kit Siang menuduh Dr Mahathir tidak bersikap demokratik namun Mahathir membalasnya dengan berkata “apabila anda bercakap, saya duduk dan dengar.”

Hari ini, kita tidak boleh harap Perdana Menteri Najib Razak berani berdepan dengan pembangkang atau berbahas dengan sesiapa saja di Parlimen tanpa skrip.

Kali kedua saya melihat Kit Siang adalah pada Jun 1996. Kit Siang dijangka berucap dalam sebuah forum bahasa Inggeris yang dianjurkan DAP Klang. Bilik itu hampir kosong. Sekitar lima belas orang hadir. Saya kira sekurang-kurangnya sepuluh daripada mereka adalah ahli DAP. Saya dan rakan sekelas adalah sebahagian kecil yang merupakan orang awam dalam forum itu yang disasarkan untuk orang awam.
Saya berumur 19 tahun dan mempunyai pandangan kritis terhadap DAP.

Kebanyakan orang berpendapat sebegitu selepas kekalahan besar mereka pada pilihan raya umum April 1995. Hanya beberapa hari sebelum itu, saya membuat kesimpulan bahawa apa yang DAP lakukan untuk mendekati golongan muda tidak begitu dekat di hati generasi saya ketika itu.

Saya masih ingat jawapan ramah Kit Siang: “Orang muda, ketahuilah bahawa orang-orang hebat semua mempunyai fikiran yang sama. Namun untuk melihat perubahan, anda perlu melibatkan diri dan melakukan sesuatu.”

Perlahan-lahan, dengan mula menghadiri acara-acara DAP saya mengenali beberapa pemimpin. Sehingga hari ini, saya ketawa apabila terkenang kisah Teresa Kok meminta saya menjadi pemandu Kit Siang setelah mendapat tahu saya terpaksa berhenti belajar pada akhir 1997 akibat Krisis Kewangan Asia. Teresa, dengan sifat ramah dan baik hatinya, tidak bertanya pun sama ada saya mempunyai lesen memandu. Mudah benar dia percayakan saya. Yang menjadi ironi sejak 20 tahun lalu, Kit Siang tidak pernah mempunyai pemandu peribadi yang konsisten meskipun merupakan pemimpin politik veteran yang ternama.

Sejak awal 1990-an, saya menghadiri banyak ceramah di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur. Saya berjumpa Hew Kuan Yau (yang juga dikenali sebagai Superman) pada Julai 1997, selepas beliau pulang dari China menamatkan ijazah sarjana. Untuk dua tahun berikutnya, saya menghadiri kelas falsafahnya hampir setiap minggu. Saya dikecualikan daripada membayar yuran kerana beliau rasa saya mempunyai potensi dalam politik.

Tahun 1998 adalah tahun yang penuh pergolakan. Daripada menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan di Program Ijazah Amerika di kolej swasta, saya beralih untuk menjadi salah satu kumpulan pertama pelajar di New Era College, kolej tempatan yang ditubuhkan oleh golongan pendidik Cina. Apa yang saya fikirkan ketika itu adalah, meskipun saya tidak mampu belajar di luar negara, lebih baik saya kekal dalam suasana kolej berbanding berhenti sepenuhnya belajar yang akan saya kesal kemudian hari.
Saya mengambil jurusan sastera Cina. Namun selama dua tahun di sana, saya sebenarnya lebih banyak terlibat dengan “jurusan” Persatuan Pelajar (saya merupakan Presiden pengasasnya) selain turut terlibat dalam gerakan sosial (kami turut serta dalam pelbagai demonstrasi yang dianjurkan selepas Anwar dipecat pada 2 September 1998.)

Pada 6 September, saya merupakan antara pelajar dan aktivis muda Cina yang mengunjungi rumah Anwar di Bukit Damansara, di mana diadakan ceramah solidaritu setiap hari. Kami barangkali merupakan antara kumpulan Cina terawal yang datang, memandangkan Anwar rapat dengan kumpulan aktivis Muslim.

Keesokanharinya di New Era College, Kua Kia Soong dan Lee Ban Chen tidak gembira dengan kunjungan kami itu. “Bagaimana kamu boleh percaya dengan Anwar sedangkan dia adalah Menteri Pendidikan pada 1987 ketika ketegangan di antara Pemuda Umno dan pendidik Cina terjadi?”
Apabila Dr Mahathir melancarkan Dekarasi Rakyat pada Mac 2016, saya memberitahu ramai golongan yang ragu-ragu agar memberi peluang untuk bekerjasama dengannya dan tidak tergesa-gesa menolaknya, kerana sesetengah yang dulu enggan percaya Anwar pada 1998 akhirnya menjadi penyokong setianya.
Gerakan Reformasi merapatkan jurang di antara kumpulan pelajar Cina dan kumpulan pejar Melayu/Muslim yang mesra dengan Anwar. Ia adalah tahun yang saya banyak kenal dan bekerjasama dengan orang lain. Anthony Loke ketika itu sedang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia yang melarang aktiviti parti pembangkang. Kami sama-sama bekerjasama menganjurkan program dengan pemimpin pembangkang di New Era College yang tidak jauh dari UKM agar rakan-rakannya yang lain dapat hadir. Hampir dua dekad kemudian, kami masih bekerjasama.

DAP lemah dan mudah goyah ketika itu. Guan Eng dihantar ke penjara Kajang pada 25 Ogos. Perselisihan dalaman paling teruk dalam sejarah DAP yang menyaksikan cabaran yang paling tersusun dan kuat terhadap kepimpinan Kit Siang yang hadir sebagai KOKS (Kick Out Kit Siang/Karpal Singh), baru saja diselesaikan dalan Kongres Kebangsaan pada 23 Ogos.
Pada 1999, saya juga rapat dengan rakan-rakan di Parti KeADILan Nasional. Ketika itu Tian Chua adalah idola anak muda.
Hew Kuan Yau bertegas agar saya berkempen untuk DAP dalam pilihan raya 1999, yang mana saya setuju dan terlibat. Selepas Parlimen dibubarkan pada 11 November, saya ditahan di kompleks Kota Raya pada 17 November ketika menyebarkan risalah. Ia pengalaman yang agak lucu. Saya agak kurus ketika itu. Polis barangkali menganggap semua anak muda kurus dan mengesyaki mereka sebagai penagih dadah.

Polis berpakaian preman yang menyamar sebagai penggilap kasut menanyakan kad pengenalan saya. Kami sudah dilatih oleh SUARAM untuk bertanya semula: “Tunjuk kad polis anda”. Dia terkejut dan kemudian menunjukkan kad bertugasnya. Kemudian dia mahu mencatat nombor kad pengenalan saya. Saya minta kad bertugasnya dan mahu mencatat nombor kad pengenalan polisnya.

Tiba-tiba dia marah dan menggari saya dan menyumbat saya ke dalam kereta Black Maria ke IPK KL. Saya ditahan di sana lebih kurang sejam. Pihak polis cemas apabila mereka mendapati pegawai mereka menahan seseorang yang terlibat dengan parti politik.

Ketika Hew Kuan Yau menghantar saya pulang rumah daripada balai polis, beliau beritahu bahawa beliau akan melepaskan jawatan sebagai setiausaha Kit Siang jika menang kerusi yang ditandingi dan akan mencadangkan saya kepada Kit sebagai setiausaha baru. Saya terkejut dengan cadangan itu kerana ketika itu saya tidak mempunya apa-apa ijazah.

Bagaimanapun, Kit, Karpal, Kuan Yau dan ramai lagi kalah dalam pilihan raya 29 November itu. Kit Siang meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP, diganti oleh Kerk Kim Hock. Semua ahli parti terkejut. Buat pertama kali sejak 1969, Kit Siang tidak mempunyai kerusi di Parlimen. Yang pasti, beliau bukan lagi Setiausaha Agung DAP.

Akhbar arus perdana mendesak Kit Siang setiap hari meminta beliau bersara daripada politik sepenuhnya. Hanya dua bulan selepas itu pada Februari 2000, Kit Siang mengumumkan beliau akan teruskan perjuangan meskipun didesak untuk bersara.

Saya setuju bekerja dengan Teresa Kok sebagai kakitangannya yang pertama seminggu selepas pilihan raya. Saya mula bekerja dua minggu selepas itu; dan pada minggu ketiga Disember, saya akhirnya membuat keputusan untuk menyertai DAP secara rasmi.

Pada ketika itu, tiada sesiapa yang menjangka DAP dapat bangkit semula tidak sampai sedekad pada 2008, begitu juga tiada siapa menjangka Kit akan mengambil peranan memimpin ke landskap politik baru pada pilihan raya umum 2013. Tidak boleh diragukan lagi Kit Siang adalah seorang yang mampu bangkit semula dalam keadaan yang paling tidak dijangka.

Ketika itu, saya pula terfikir untuk mengambil peranan kecil saya sendiri untuk membantu menyelamatkan parti yang dihormati. Seperti hidup ini, perjalanan selepas itu begitu memuaskan dan menaikkan semangat. Apapun, perjuangan perlu diteruskan.

Share this article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Harmonising ESG practices

In the 1970s, Milton Friedman talked about the purpose of a corporation. He argued that a corporation had only one purpose — to make profits for its shareholders. For over…
Read More