
Indahnya perasaan apabila jangkaan meleset
- 25 Februari 2018
- Negara
Oleh Wan Hamidi Hamid
Saya merupakan seorang wartawan akhbar nasional ketika Parlimen dibubarkan sedekad lalu pada bulan Februari untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Pada ketika itu, saya bukan lagi wartawan muda yang naif. Namun, di sebalik persimisme yang bermusim, saya tetap mengharapkan satu perubahan besar.
Lebih kurang setahun lebih sebelum itu, saya berkenalan dengan beberapa anak muda yang meminati dan aktif politik. Sebagai wartawan, saya sering hubungi mereka, sesetengahnya sebagai sumber, sesetangahnya sebagai pemerhati dan penganalisis politik. Saya lebih suka mereka berbanding profesor yang boleh disuruh berkata apa yang wartawan mahu kerana pemikir-pemikir muda itu sering memberikan pandangan yang segar.
Salah seorang daripaa mereka adalah Liew Chin Tong, aktivis politik ‘skema’ yang merupakan muka baru dalam DAP. Pada ketika itu, beliau merupakan penyelidik di ibu pejabat DAP.
Era di antara 2004 dan 2008 merupakan tahun-tahun politik yang pelik. Selepas persaraan Tun Dr Mahathir Mohamad, penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Barisan Nasional menang besar dalam PRU11. Ramai yang percaya dengan janji-janjinya untuk melaksanakan reformasi pentadbiran. Sehubungann itu, pilihanraya umum 2004 menyaksikan pembangkang hampir terkubur. DAP hanya menang 12 kerusi Parlimen, PAS tujuh, dan PKR satu sahaja.
Namun tak sampai dua tahun selepas itu, Abdullah menjadi sangat tidak popular sehingga pembangkang mempunyai peluang untuk meraih sesuatu. Himpunan Bersih dan Hindraf yang disertai puluhan ribu rakyat di Kuala Lumpur pada November 2007 menjadi petanda kemarahan besar.
Bagaimanapun, untuk menterjemahkan kemarahan rakyat itu menjadi undi kepada pembangkang adalah satu hal yang berbeza. Pada penghujung 2007, tak ada pakatan pembangkang yang rasmi atau sebarang perjanjian pilihan raya. Hanya selepas demonstrasi rakyat itu barulah pembangkang yang belum berpadu pada masa itu mula membincangkang agihan kerusi.
Pada ketika itu, bagi kebanyakan wartawan arus perdana – termasuk saya – menanggapi situasi semasa dengan sinis. Kami tahu rakyat marah namun sejarah pilihan raya telah membuktikan BN akan sentiasa menang dengan dua per tiga majoriti.
Bukan kerana BN kuat. Tapi sebaliknya kerana BN sudah biasa menyalahgunakan jentera kerajaan. Undang-undang dan peraturan dipinda beberapa kali sejak sekian lama bagi memastikan kemenangan BN.
Bagi PRU12, Chin Tong bertanding di Bukit Bendera. Saya mempunyai keraguan terhadap anak muda berumur 30 tahun itu untuk memberi tentangan yang serius. Apatah lagi, kerusi Parlimen yang ditandinginya merupakan kubu kuat BN yang disandang oleh Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye, yang juga merupakan salah seorang kenalan media saya.
Saya berada di Pulau Pinang beberapa kali untuk membuat liputan sepanjang kempen pilihan raya tersebut. Saya turut mengikut Chin Tong dalam beberapa program turun padang beramah mesranya dengan pengundi. Beberapa hari sebelum hari pencalonan pada 24 Februari 2008, saya tidak rasa ada apa-apa yang istimewa, tidak rasa kagum pun. Saya malah memberitahu Chin Tong: “Kalau saudara kalah sekalipun, janganlah bersedih. Anggaplah ia kekalahan yang hebat.”
Bagaimanapun saya terbukti salah, kerana pada 8 Mac 2008, BN hilang dua pertiga majoriti Parlimen sementara lima negeri termasuk Kelantan jatuh ke tangan pembangkang. Ia merupakan kekalahan paling teruk BN. Dan Chin Tong menang di Bukit Bendera.
Lima tahun kemudian, saya mempunyai keraguan yang sama apabila beliau mahu bertanding di Johor. Pada ketika itu, saya sudah bekerja bersamanya. Beberapa bulan sebelum PRU13, kami ke Kluang untuk meninjau kawasan.
Saya dapati tiada suasana yang menunjukkan pengundi mahu perubahan di Kluang. Johor yang sudah terlepas daripada tsunami politik 2008 seperti masih belum bersedia untuk perubahan pada 2013. Beberapa pekedai dan penduduk tempatan dengan sopan memberitahu kami bahawa mereka selesa dengan BN.
Namun, apabila Parlimen dibubarkan, suasana pilihan raya di kawasan bandar di Johor, seperti kebanyakan bandar dan pekan di Malaysia, berubahan sepenuhnya. Suasananya begitu teruja dan menggalakkan. Pada Mei 2013, Chin Tong menang di Kluang.
Sedekad selepas itu, pada hari ini, sebagai Pengerusi DAP Johor, Chin Tong disebut-sebut akan bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam. Sekiranya benar spekulasi itu, hati saya tetap ragu dengan keadaan ini, untuk kesekian kalinya.
Sejak kerusi parlimen itu diwujudkan pada 1974, ia sentiasa merupakan kerusi MCA. Ahli Parlimen sekarang adalah Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Wee merupakan penyandang di Ayer Hitam sejak 2004.
Sekiranya Chin Tong bertanding di Ayer Hitam, ia akan menjadi cabaran politik paling besar untuknya. Selain merupakan kubu BN, Ayer Hitam juga merupakan kerusi majoriti pengundi Melayu, iaitu kumpulan pengundi yang menjadi sandaran MCA untuk menang.
Ia bakal menjadi pertarungan kalah mati untuk Chin Tong, untuk Pakatan Harapan dan untuk Malaysia. PRU14 akan menjadi satu pertempuran yang sengit untuk semua parti politik. Ia akan menentukan survival semua pihak. Ia merupakan titik penting yang menentukan nasib rakyat Malaysia.
Bagi saya, memang indah rasanya jika pesimismedan jangkaan saya dibuktikan meleset, sekali lagi. Bagi kebanyakan kita, PRU14 adalah masanya untuk berubah, untuk sebuah kerajaan baru yang akan membawa kita ke era baru yang mengangkat keadilan, kemakmuran dan maruah serta harga diri.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!