Suasana perubahan dapat dirasakan

Ucapan Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Kebangsaan Liew Chin Tong di Majli pra-sambutan Tahun Baru Cina di DAP Chamek pada Ahad 11/2 (disiarkan dalam versi bahasa Inggeris pada 14 Februari)

Pada 10 Februari 2015, saya berada di hospital menunggu ibu saya di luar bilik pembedahan. Ibu saya perlu menjalani pembedahan selepas terjatuh. Pada ketika itu saya menerima berita bahawa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini merupakan salah satu ketika yang jarang-jarang terjadi apabila saya tidak hadir dalam peristiwa penting politik Malaysia.

Pada hari itu juga menandakan bermulanya “kekosongan kepimpinan” di Malaysia. Lebih ramai orang Melayu semakin tertekan dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak namun pembangkang juga telah kehilangan beberapa pemimpin terbaik mereka. (Tok Guru Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia dua hari kemudian).

Pada bulan April tahun itu, saya berucap di Australian National University di mana saya melengkapkan pengajian ijazah dalam bidang Sains Politik dan Kajian Asian. Saya bercakap tentang ketiadaan pemimpin orang Melayu. Saya menjelaskan kegagalan Najib menstabilkan semula kuasa dan imejnya selepas kecelaruan pada PRU ke-13, dan bagaimana perkara itu akan membawa kepada penurunan drastik terhadap sokongan teras BN.

Pada masa yang sama, pembangkang terpaksa meneruskan perjuangan tanpa Anwar dan allahyarham Nik Aziz sementara Presiden PAS yang baru Datuk Seri Abdul Hadi Awang cenderung memimpin PAS berpihak kepada Najib. Semua ini hanya membawa satu maksud – terdapat kekosongan kepimpinan dan kita hanya menunggu kemunculan pemimpin politik yang baru.

Susulan perpecahan PAS pada Jun 2015 dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada UMNO sebulan kemudian, saya mengetengahkan idea bahawa tsunami politik Melayu dan ‘gempa bumi politik’ yang ketara akan terjadi dalam masa terdekat. Hanya menunggu masa. Tiada sesiapa yang mengambil serius apa yang saya katakan itu dalam dua tahun pertama, namun kini golongan yang kononnya pakar politik mula mengatakan hal yang sama, dan sesetangah mereka masih cuba bersungguh-sungguh tidak bersetuju dengan saya.

Teori ‘tsunami Melayu’ yang kini menarik perhatian ramai perlu dibaca dengan idea ‘kekosongan kepimpinan Melayu’. Kekosongan ini wujud selepas Anwar dipenjarakan dan Nik Aziz meninggal dunia, sementara Hadi dilihat cenderung menyokong BN.

Najib dan beberapa pemimpin tinggi BN telah mencetuskan kemarahan rakyat biasa Malaysia. Kemarahan rakyat ini tidak dapat diredakan. Sekiranya Datuk Seri Hishammuddin Hussin dan Datuk Seri Khairy Jamaluddin masing-masing dijadikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada 2015, kekosongan kepimpinan Melayu ini dapat diisi dengan mudah.

Tokoh-tokoh ini lebih digemari rakyat Malaysia berbanding Najid dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Tapi kita semua tahu semua itu adalah mustahil kerana Najib perlu pertahankan kuasanya sebagai perdana menteri bagi memastikan beliau tidak dihakimi dan dihukum ekoran pelbagai skandal meganya.

Gempa bumi politik” yang saya maksudkan adalah hakikat bahawa tidak pernah sebelum ini dalam tempoh 61 tahun negara kita menyaksikan dua parti politik Melayu paling besar (UMNO dan PAS) mengalami perpecahan dalaman dan dalam masa yang sama pemimpin mereka (Najib dan Hadi) kehilangan sokongan daripada rakyat. UMNO dan PAS telah kehilangan martabat di mata penyokong mereka.

Bagi saya, sembang di kedai kopi, pasar dan surau menggambarkan perubahan politik yang besar. Apabila penyokong MCA tidak boleh mempertahankan pemimpin parti mereka ketika sembang kedai kopi, apabila ahli akar umbi UMNO tidak dapat menjelaskan skandal 1MDB Najib selepas disoal oleh pengunjung surau lain dan apabila ahli WANITA UMNO terpaksa menanggung peningkatan harga barangan ekoran pelaksanaan GST, itu adalah ketikanya tsunami akan terbentuk. Jangan kita lupa ahli PAS yang tidak dapat menjelaskan kerjasama rapat Hadi dan Najib.

Sama seperti apa yang terjadi pada 2013, orang Melayu yang bekerja di bandar pulang kampung memainkan peranan meyakinkan ibu bapa mereka untuk mengundi pembangkang. Namun kali ini, ia akan terjadi di kalangan komuniti Melayu. Setiap orang Melayu yang tinggal di Kuala Lumpur pulang ke rumahnya di kawasan separa bandar tidak akan mengundi Najib.

Pada 2015, tiada sesiapa dapat menjangkakan kekosongan kepimpinan Melayu akan diisi oleh Dr Mahathir. Namun kini ia sudah terjadi. Dan tsunami Melayu yang disebut-sebutkan semakin hampir.

Liew Chin Tong 

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi