PAS tak dapat selamatkan UMNO

Kenyataan media Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pad 14 Februari 2018.

Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden Wee Ka Siong melalui kempen media menyebarkan dakwaan bahawa DAP cuba “menyingkirkan” MCA, maka pengundi Cina perlu menyelamatkan MCA agar kaum Cina mempunyai pihak yang boleh melakukan “semak dan imbang”.

Selamatkan MCA? Bukankah yang perlu diselamatkan adalah Malaysia? Kenapa mereka tidak bercakap tentang “semak dan imbang” terhadap kuasa berlebihan yang diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kuasa yang dengan jelas disalahgunakan beliau, terutama dalam menguruskan skandal 1MDB, sehingga menyebabkan rakyat Malaysia menjadi mangsa?

Wee malah pergi lebih jauh dengan mendakwa DAP cuba menggantikan MCA sebagai sekutu UMNO dalam kerajaan. Dakwaan ini sangat mengarut. Dakwaan MCA ini berdasarkan idea bahawa kapal UMNO tak akan tenggelam. Mungkin mereka tidak sedar UMNO sedang bertungkus-lumus dan tak ada sesiapa yang beritahu mereka kemungkinan UMNO akan kalah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

UMNO menang 88 kerusi pada PRU 2013, yang mana 14 kerusi berkenaan adalah di Sabah dan satu kerusi di Labuan. UMNO mempunyai 73 kerusi parlimen di Semananjung.

Populariti Najib dan UMNO menjunam sejak 2015. Peninjau dan pengulas pilihan raya meletakkan UMNO pada 40% dalam meraih sokongan Melayu, iaitu 20% penurunan sejak PRU 2013.

Satu-satunya penyelamat UMNO adalah PAS. Sesetangah peninjau berpendapat dalam senario pertembungan tiga penjuru, sekiranya sokongan teras terhadap PAS tidak menurun atau sekiranya pengundi yang tidak menggemari Najib menukar undi menyokong PAS, UMNO akan menang. Namun perkiraan seperti itu adalah cetek.

Sokongan teras PAS jelas menurun kerana PAS sendiri risau kemungkinan kalah di Kelantan. Pengundi yang membenci Najib sedar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang cenderung berpihak kepada Najib.

Tiada sesiapa yang seharusnya mengambil mudah sokongan pengundi. Jangan anggap pengundi boleh diperbodohkan dengan strategi tiga penjuru untuk mengekalkan kuasa UMNO dan Najib. Meskipun PAS merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi keputusan pilihan raya, PAS tidak boleh menyelamatkan UMNO di Kedah, Johor dan Sabah.

Di Kedah, Pakatan Rakyat kalah enam kerusi pada 2013 berbanding 2008 dan sokongan Melayu terhadap BN meningkat 6% ketika itu atas faktor Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tun Dr Mahathir Mohamad (selain sentimen anti-Azizan Razak – Azizan merupakan Menteri Besar PAS ketika itu). Kali ini, faktor Mukhriz dan Mahathir memihak kepada Pakatan Harapan. Selain kerusi yang dimenangi Mukhriz untuk BN pada 2013 yang kini termasuk kerusi Pakatan Harapan, markas Mahathir di Langkawi dan Kubang Pasu, dan juga markas Mukhriz di Jerlun bakal memberi saingan yang kuat kepada BN buat pertama kali dalam sejarah. Terdapat kemugkinan yang realistik BN akan kalah antara 7 hingga 10 kerusi parlimen di Kedah. Faktor PAS tidak begitu berpengaruh di negeri ini.

Daripada 26 kerusi parlimen di Johor, Pakatan Harapan memiliki 6 daripada kerusi itu ketika ini, BERSATU 1 kerusi, PKR 1 kerusi, sementara DAP memegang 4 kerusi. Daripada 20 kerusi selebihnya, 10 merupakan kerusi marginal yang dimenangi BN melalui majoriti tipis pada 2013. Ayer Hitam tidak termasuk dalam senarai itu, namun kini bakal memberikan saingan untuk BN. Dan faktor PAS juga tidak memainkan peranan di Johor.

Pembangkang menang tiga kerusi di Sabah pada 2013 namun BN menang empat kerusi lain dengan kurang daripada 50% undi yang disebabkan oleh pertembungan lebih daripada dua penjuru di kawasan pengundi Kadazan. Sebuah laporan berita menarik baru-baru ini yang mengatakan kerajaan BN Sabah kini berhasrat menarik 13 kerusi baru yang diwujudkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 2016 seakan-akan kerana perselisihan dalaman BN. Cerita sebenar adalah, separuh daripada kerusi berkenaan merupakan kawasan majoriti pengundi berbangsa Bajau yang merupakan kubu kuat Shafie Apdal. Kerusi ini diwujudkan dengan tanggapan bahawa Pantai Timur Sabah menyokong BN, yang mana bukanlah hakikat sebenar pada ketika ini. Sekiranya Pakatan Harapan Sabah dan Parti Warisan boleh bekerjasama dalam satu gabungan untuk Sabah, BN mungkin kalah sehingga 10 kerusi parlimen di negeri itu.

Oleh itu, Sabah, Johor dan Kedah berpotensi menyumbang sehingga 30 kerusi untuk kerajaan baru Pakatan Harapan.

Selain daripada itu, sekiranya terjadi 15% pertukaran undi daripada pengundi Melayu yang sebelum ini mengundi BN pada 2013 kepada Pakatan dalam PRU akan datang, Pakatan Harapan boleh menang lagi 5 kerusi masing-masing di Perak, Selangor dan Pahang, dan sekurang-kurangnya dua kerusi daripada Negeri Sembilan dan Melaka.

Daripada 73 kerusi UMNO di Semenanjung, hanya 30 yang selamat untuk BN. Selebihnya bakal memberi saingan yang hebat kepada BN dan PAS sekali pun tak dapat selamatkan UMNO, apa lagi MCA. MCA hanya menjadi liabiliti UMNO yang bergantung kepada UMNO untuk sokongan Melayu. MCA tidak mempunyai apa-apa fungsi dalam menyelamatkan kapal UMNO yang sedang tenggelam.

Pimpinan utama MCA sekadar cuba mencari simpati. Namun pilihan raya akan dtaang bukanlah tentang keberlangsungan parti komponen BN itu. PRU ke-14 adalah tentang rakyat masa depan rakyat Malaysia. PRU akan datang adalah tentang rakyat memilih kerajaan baru dan tentang UMNO menjadi parti pembangkang yang baru.

Liow dan Wee sepatutnya terima kenyataan bahawa PRU akan datang tak ada kaitan dengan MCA. Ia adalah pilihan raya untuk rakyat.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi