Doktrin Mahathir dan Hubungan Malaysia-China

Kepulangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia mungkin merupakan peluang yang jarang-jarang terjadi dalam sejarah bagi ASEAN, China dan Amerika Syarikat merumuskan perjanjian baru bagi Laut China Selatan, serta memulakan perjanjian baru antara Malaysia dan China secara meluas dan komprehensif.

Pertukaran kerajaan memberi manfaat kepada hubungan dua hala yang melibatkan negara kita. Sepintas lalu, hubungan Malaysia-China kelihatan memerlukan penyelarasan memandangkan kerajaan di bawah Perdana Menteri Dr Mahathir berhasrat merunding semula projek infrastruktur yang dilihat tidak begitu menguntungkan Malaysia.

Kebanyakan penyelarasan ini kelihatan sukar, ia mungkin akan berbaloi untuk kedua-dua pihak ketika Malaysia menjauhkan diri dari transaksi penggubalan dasar luar cara pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kepada yang dibina atas kepercayaan Malaysia sebagai “kuasa tengah” yang mempunyai kredibiliti antarabangsa dan mempunyai pengaruh domestik yang kuat.

China akan mendapat manfaat berurusan dengan kerajaan Malaysia yang dilihat bukan merupakan “pelanggan tetap” mana-mana negara. China juga mendapat manfaat kerana Malaysia mempunyai pengaruh yang kuat di dalam ASEAN dan di mata dunia. Dengan pengaruh yang kuat dan kredibiliti domestik, kerajaan pakatan Harapan mampu merumuskan dasar luar jangka panjang yang akan mendapat sokongan popular yang meluas dan berterusan.

Pemilihan semula Dr Mahathir dan kenyataannya agar “tiada kapal perang di Laut China Selatan” – yang saya gelarkan sebagai Doktrin Mahathir – bukan saja memberi suara baru kepada ASEAN di Laut China Selatan tapi juga pada masa yang sama membuka peluang untuk membentuk kerjasama persefahaman antara ASEAN dan China dengan sasaran jangka panjang untuk mencapai diplomasi yang mengikut peraturan di rantau ini.

Dr Mahathir tidak dikenali sebagai pengagum Amerika Syarikat, tapi pada masa yang sama mengaku terdapat perbezaan antara Malaysia dan China. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Laut China Selatan menjadi antara kebimbangan utama di peringkat antarabangsa, kerana dari pandangan China, ia disebabkan tindakan presiden AS ketika itu, Barrack Obama terhada Asia yang menyebabkan reaksi. Namun, bagi negara kecil seperti Malaysia, sama ada ia masalah AS atau China, Laut China Selatan tetap melibatkan negara kita. Kita terpaksa menangani sebarang implikasi sekiranya terjadi sesuatu yang buruk di Laut China Selatan.

Maka, Doktrin Mahathir menarik kerana sukar mencari orang lain yang dapat mengatakan hal berhubung perkembangan itu yang akan memberikan kesan tertentu. Mungkin China, dan seluruh dunia, dapat mengmbil peluang ini untuk memikirkan semula tentang Laut China Selatan. Kita akan mempunyai peluang untuk memikirkan semula hubungan Malaysia-China.

Empat Pakej Hubungan Malaysia-China

Saya mencadangkan agar hubungan Malaysia-China dilihat dari empat sisi dan pakej dalam empat perkara ini – i) Keselamatan; ii) Perdagangan iii) Hubungan antara rakyat; iv) Pelaburan. Empat sisi ini berkait rapat dan ‘pakej penyelesaian’ Tawaran baru yang komprehensif dapat membuka jalan ke depan untuk kesefahaman. Pemahaman dan penjelasan lanjut antara hubungan sisi-sisi ini dapat membantu kita untuk ke peringkat seterusnya apabila tiba masanya.

Keselamatan/laut China Selatan: Kemunculan Doktrin Mahathir – melarang kapal perang luar berada di perairan Laut China Selatan – merupakan peluang yang tepat yang ditawarkan kepada China, AS, dan ASEAN. Ia memberi peluang untuk semua pihak menetapkan semula agenda di rantau ini tanpa perlu berkecil hati. China dilihat lebih aktif dan tegas di Laut China Selatan sejak 2012, dan Doktrin Mahathir memberi peluang kepada China untuk jalan keluar terhormat dan merupakan waktu yang tepat untuk mengendurkan pendirian tegasnya ke atas Laut China Selatan, serta dalam masa yang sama memberi isyarat kepada Amerika Syarikat penyelesaian untuk Laut China Selatan dianggap sebagai bahagian Asia yang neutral. Ketokohan Mahathir sebagai negarawan penting dalam memecahkan kebuntuan di perairan Laut China Selatan. Tambahan pula, kerjasama antikeganasan dan pembanterasan jenayah antarabangsa akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Perdagangan: Hubungan dagangan antara Malaysia dan China sangat meluas dan tidak terhad kepada infrastruktur, pembinaan dan hartanah. Eksport pertanian ke China, pembelajaran jentera berat daripada China, sektor ICT, pelancongan dan sebagainya layak mendapat pertimbangan dan komitmen baru daripada kedua-dua negara.

Hubungan rakyat: Hubungan Malaysia dan China lebih daripada sekadar hubungan rasmi. Diplomasi di sisi lain perlu dipupuk dengan menguatkan hubungan antara badan pemikir, universiti dan pegawai bersara kerajaan. Kita perlu melihat peluang baru untuk memberikan pengaruh dengan meningkatkan kerjasama dalam pendidikan, bahasa, budaya, sukan dan urusan visa. Kerjasama antara kedua-dua negara di peringkat negeri dan kerajaan tempatan perlu digalakkan.

Pelaburan: Untuk membawa ekonomi Malaysia ke peringkat lebih tinggi, pelaburan dengan China sangat membantu. Malaysia, di bawah teraju Mahathir kini mempunyai peluang bersejarah untuk menggalakkan China mengkaji semua modus operandi dalam melabur di negara kecil agar tidak menyebabkan lambakan pembuatan terhadap pemindahan teknologi dan proses penciptaan peluang pekerjaan. Pemimpin China perlu menyedari bahawa ini merupakan satu-satunya jalan bagi hubungan ekonomi yang memanfaatkan kedua-dua pihak secara lestari. Projek kontroversi yang melibatkan laluan kereta api dan saluran paip dapat dilihat dari perspektif ini agar dipertimbangkan semula.

Laluan Kereta Api Singapura-Kunming/Pan-Asia

Mengambil pendekatan dari pandangan mikro berhubung laluan kereta api yang melibatkan China tidak begitu sesuai. Lebih baik jika melihat dari sisi yang lebih luas sebelum melihat perincian lanjut. Malaysia dan China mungkin mahu mempertimbangkan semula idea laluan Kereta Api Singapura-Kunming/Pan-Asia yang pernah diketengahkan Mahathir sebelum ini. Jika ia menjadi realiti, kepentingan strategik Laut China Selatan akan berkurangan, yang sekali gus meredakan ketegangan politik di perairan itu. Menarik untuk diteliti bahawa ketika Belt & ROad Initiative diperkenalkan, Asia tenggara dilihat dari perspektif maritim: Jalan Sutera Maritim Abad ke-21. Namun negara yang menghubungkan Asia Tenggara tidak harus diabaikan dan perlu diberi pertimbangan baru.

Dengan mempertimbangkan Laluan Kereta Api Pan-Asia juga akan memperlihatkan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Laluan Kereta Api (HSR) Singapura sebagai idea yang tidak difikir semasak-masaknya. Bagi saya, dengan adanya kerajaan baru di Malaysia dan makulmat strategik yang lebih jelas, ia perlu diberi nafas baru/

Kepentingan dagangan dengan China menyebabkan sering diperkatakan idea untuk memintas Selat Melaka seperti idea membuka terusan Kra, yang tidak memberi manfaat ekonomi. Pihak yang mempromosi ECRL sering menggunakan hujah-hujan ini bagi meyakinkan pihak di China berhubung ECRL.

Pulangan ekonomi dari projek ini tidak begitu menguntungkan. Sekurang-kurangnya tiga hari diperlukan untuk menyeberang semenanjung Malaysia, selain terpaksa melakukan lebih banyak kerja pemunggahan naik-turun barangan yang dibawa. Ini tidak bermakna negeri di pantai Timur tidak memerlukan perkhidmatan kereta api yang lebih baik, tapi ia dapat dilakukan dengan membuat landasan kembar dan mempertingkatkan perkhidmatan Gemas ke Tumpat yang sedia ada.

Malah, kita boleh mewujudkan laluan dari Kuala Lumpur ke Mentakab, merentasi kawasan tengah bagi menghubungkan Gemas-Tumpat. Dalam skema yang lebih besar, Tumpat juga boleh menghubungkan ke Thailand melalui Laluan Pan Asia.

Sementara itu, HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura tidak akan mampu menarik jumlah penumpang seperti HSR antara Beijing dan Shanghai.

Untuk memastikan laluan Singapura-Kunming memberikan kesan, meluaskan laluan kereta api di Malaysia semestinya adalah idea yang baik. Ia juga seharusnya tidak hanya membawa penumpang, tapi juga barangan memandangkan mustahil akan ada HSR yang lebih laju berbanding menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur Ke China untuk tujuan membawa penumpang, maka dengan mempunyai kereta api yang beroperasi dari Pelabuhan Klang ke China merupakan alternatif yang realistik untuk memintas Laut China Selatan.

Dalam kata mudahnya, ECRL dan HSR yang dicadangkan oleh pentadbiran BN sebelum ini tidak menguntungkan dari segi ekonomi dan perlu dikaji semula secara drastik oleh semua pihak yang terlibat untuk kebaikan semua negara di Asia.

Malaysia dan China mempunyai hubungan rapat dan dengan adanya Doktrin Mahathir ia akan menawarkan permulaan baru untuk masa depan yang lebih baik dengan asas yang lebih kukuh.

Tulisan ini merupakan suntingan transkrip oleh Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong di Forum Era Asia Baru yang diadakan di Universiti Malaya pada 10 Julai 2018.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi