Ekonomi untuk semua rakyat, bukannya segelintir orang

Kenyataan media oleh Calon Pakatan Harapan untuk Parlimen Ayer Hitam merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong, di Ayer Hitam pada 30 April 2018

Hari Pekerja 1 Mei bukan sekadar cuti umum kerana ia juga merupakan hari peringatan tentang kejayaan hak, ekonomi dan sosial bagi pergerakan pekerja.

Pakatan Harapan akan menjadi sebuah kerajaan yang mempertahankan hak rakyat berbanding kerajaan kleptokrat Barisan Nasional yang hanya memperjuangkan manfaat untuk segelintir orang. Harapan kita adalah supaya setiap seorang perkerja harus dilayan dengan penuh hormat dan bermaruah. (

Selama 9 tahun Datuk Seri Najib Razak telah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Tetapi dasar ekonomi Najib jelas tidak dapat menolong rakyat.

Penanda aras ekonomi sesebuah negara bukannya hanya dinilai dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga jumlah rakyat yang mendapat manfaat daripada dasar ekonomi tersebut. Apa gunanya pertumbuhan ekonomi yang tinggi tetapi hanya membawa faedah kepada segelintir orang.

Perlaksanaan GST, kemerosotan nilai ringgit, dan pengurangan peruntukan kesihatan dan pendidikan, merupakan antara perkara yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat seperti pengangguran orang muda, ketidakmampuan untuk membeli rumah, inflasi dan kenaikan kos sara hidup. Keluhan rakyat yang tidak dipedulikan ini sudah menjadi cerita yang kian merebak ke seluruh Malaysia.

Setiap hari seramai 300,000 orang menyeberangi jejantas Johor-Singapura untuk mencari rezeki, dan jumlah itu telah meningkat sejak tahun 2013 yang mana pada masa itu hanya 200,000 orang yang bekerja di Singapura. Sebenarnya, tiada siapa yang suka meninggalkan keluarga untuk berhijrah mencari rezeki.

Pakatan Harapan selalu membangkitkan isu-isu hak pekerja, antaranya untuk menambah baik persekitaran kerja, meningkatkan gaji secara menyeluruh, menjamin pekerja dilayan dengan bermaruah. Kita mahukan ekonomi yang bergaji tinggi, berkemahiran tinggi, dan produktiviti yang tinggi. Kita perlu menyelesaikan masalah pekerjaan 3D (Difficult, Dirty, Dangerous), melalui kemajuan teknologi, bersama gaji yang tinggi, dalam masa yang sama mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Manifesto Barisan Nasional menjanjikan 3 juta pekerjaan untuk orang muda di Malaysia tetapi BN tidak memahami situasi dan masalah bidang pekerjaan sekarang. Laporan Bank Negara 2017 menunjukkan bahawa pada tahun 2016, antara pekerjaan baru di Malaysia, 81.5 peratus adalah untuk pekerja asing. Maknanya daripada 10 pekerjaan baru yang diwujudkan, 8 adalah untuk pekerja asing.

BN mungkin berpendapat bahawa berulang alik untuk bekerja di Singapura adalah satu pilihan dan kebebasan individu tetapi Najib tidak sedar bahawa dasarnya – yang digelar Najibeconomics – telah gagal. Kegagalan ekonomi Najib telah mengakibatkan semakin ramai orang terpaksa mencari rezeki halal di luar negara.

BN gagal menangani masalah ekonomi, tidak mampu menyelesaikan dilema yang dihadapi rakyat, sebaliknya mereka menggalakkan pula rakyat bekerja sambilan melalui menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Grab. Ini menunjukkan kerajaan Najib langsung tak faham kesengsaraan rakyat.

Penggubalan dasar ekonomi mestilah berasas kepada prinsip keprihatinan terhadap rakyat. Kerajaan mestilah melindungi maruah rakyat dan menggubal dasar yang boleh memanfaatkan rakyat. Dalam situasi politik masakini, kita perlu memilih di antara Ekonomi Rakyat atau Ekonomi Najib yang telah gagal.

Mereka yang telah meninggalkan tanah air untuk mencari kehidupan yang lebih adil dan selesa, kita harap mereka akan kembali untuk sama-sama membangunkan negara agar semua rakyat dapat berhidup dengan bermaruah.

Ini Kalilah! Marilah kita memenuhi hasrat semua rakyat! Raikan Hari Pekerja dengan semangat baru untuk membawa perubahan.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi