Biar membina, jangan membinasa.

Kenyataan Media oleh Liew Chin Tong pada 24 November 2018 di Kuala Lumpur.

Saya amat kesal dengan satu lagi tuduhan tidak berasas dilemparkan terhadap saya kononnya saya “penuh dengan muslihat”, “dikhuatiri akan mendedahkan sesetengah perkara yang melibatkan polisi keselamatan” dan sebagainya.

Saya telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Jaringan Melayu Malaysia JMM, Dato Azwanddin Hamzah yang mengeluarkan tuduhan tersebut, serta www.thirdforce.net yang mencetak semula tohmahan tersebut tanpa usul periksa.

Ini bukan kali pertama JMM dan presidennya Dato Azwanddin Hamzah melontarkan tuduhan liar dan fitnah terhadap saya. Dakwaan beliau bahawa saya memakai uniform ala-komunis telah dibuktikan sebagai suatu fitnah, dakwaan palsu dan langsung tidak berasas.

Saya tidak berhasrat untuk membazir terlalu banyak masa melayan atau membalas tohmahan dan fitnah sedemikian yang tidak berasas, berbaur perkauman, berunsur hasutan serta berniat jahat.

Saya percaya, semasa Pilihan Raya 9hb Mei 2018, rakyat berbilang kaum dan agama telah mengundi  dan memberi mandat kepada Pakatan Harapan supaya kerajaan baru boleh melakukan reformasi institusi dan membawa politik baru kepada tanah air tercinta. Saya juga percaya, rakyat sudah tidak mahu berkompromi dengan politik perkauman dan kebencian, serta cuba meraikan perbezaan pendapat dan kepelbagaian budaya.

Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Malaysia yang matang, moderat dan berfikiran terbuka untuk menolak serta menentang politik perpecahan, manipulatif dan kurang rasional yang dimainkan oleh pihak tertentu.

Saya pernah mengatakan secara terbuka bahawa saya tidak menganggap diri saya sebagai Timbalan Menteri berketurunan Cina. Saya adalah anak Malaysia yang setia dan hanya berkhidmat untuk seluruh rakyat serta kepentingan terbaik negara Malaysia.

Sejak Tuan Haji Mohd Sabu memulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan Malaysia pada 22 Mei 2018, dan saya memulakan tugas sebagai timbalan beliau pada 18 Julai 2018, kami telah bekerja untuk mewujudkan polisi yang dapat mempertingkatkan kekuatan pertahanan negara serta keselamatan sempadan, perairan dan ruang udara negara.

Di bawah pimpinan Mat Sabu, kementerian sedang berusaha: i) mengamalkan prinsip ketelusan, ii) menjadikan innovasi sebagai asas industri pertahanan tempatan supaya mengurangkan budaya agen komisen, iii) menghasilkan Kertas Putih Pertahanan yang akan menggariskan halatuju dan strategi keseluruhan pertahanan Negara masa depan, iv) menambahbaikkan kesejahteraan anggota dan veteran tentera; serta v) menyusun semula diplomasi dan kerjasama pertahanan serantau.

Kita perlu akui, kerajaan bukannya sempurna, apatah lagi sebuah kerajaan baru yang cuma mentadbir untuk 6 bulan.

Oleh itu, kerajaan Pakatan Harapan memang harus mendengar pendapat dan cadangan dari akar umbi. Akan tetapi, juara pendapat dalam kalangan masyarakat atau NGO digalakkan mengkritik atau membahas dasar dan pentadbiran kerajaan secara rasional dan waras, bukannya tenggelam dan ketagih dengan politik berunsur hasutan, perkauman, kebencian dan fitnah tidak berasas yang akhirnya cuma membawa padah kepada negara.

Suarakan kritik atau cadangan yang munasabah. Jangan membantah demi kerana membantah, atau menghancur demi kerana menghancur; seperti amalan sesetengah pihak.

Biar membina, jangan membinasa.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi